Ismail Sabri wajar ambil peluang teruskan MoU, kata pembangkang
PEMIMPIN pembangkang menyeru Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob agar tidak terburu-buru membubarkan Parlimen bagi menyegerakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Mereka tidak mahu Ismail termakan umpan golongan kluster mahkamah Umno yang disyaki mengugut perdana menteri itu untuk mengadakan pilihan raya umum lebih awal.
Sebarang usaha mengadakan pilihan raya umum juga perlu dirundingkan terlebih dahulu dengan pembangkang, kata wakil rakyat ini yang mahu Ismail meneruskan usaha reformasi Parlimen.
Antaranya Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tse Tzin yang menggesa Ismail menyambung Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dengan pembangkang.
Dokumen yang dimeterai pada 13 September 2021 itu boleh disambung menjadi MoU versi kedua atau 2.0, katanya kepada The Malaysian Insight.
“Ismail Sabri kena ambil peluang melaksanakan lebih banyak reformasi dan inisiatif yang boleh membantu rakyat sebelum mengadakan PRU15.
“Maka (beliau) ada peluang buat reformasi dan lebih baik untuk mendapatkan sokongan bipartisan untuk lakukan kebaikan kepada negara.
“Jadi MoU 2.0 patut dilaksanakan hingga sampai betul-betul tempoh PRU15,” katanya yang melihat banyak perkara dapat dapat dilaksanakan melalui MoU itu dengan kerjasama pembangkang.
Tambahnya tidak pernah berlau dalam sejarah pembangkang dan kerajaan dapat bekerjasama dan menjalankan beberapa pindaan Perlembagaan penting bersama-sama.
“Jadi jangan sia-siakan peluang ini, ada banyak lagi yang boleh dibuat,” kata Sim.
Beliau bagaimanapun menegaskan PKR sentiasa bersedia sekiranya Ismail memilih untuk menuruti kehendak pimpinan Umno supaya Parlimen dibubarkan lebih awal dan pilihan raya dilaksanakan.
“Kita sentiasa bersedia dari segi PKR kerana tugas kami sentiasa siap sedia untuk pilihan raya. Ini kerja politik parti.
“Walaupun sedang melalui proses pemilihan tetapi memang kita boleh sedia. Contohnya, kita masih boleh sertai Pilihan Raya Negeri (PRN). Kita boleh laksanakan.
Walaupun terkejut, tapi boleh dapatkan calon bagus, berwibawa, agenda dan manifesto boleh disiap sediakan. Memang perancangan (persiapan hadapi PRU15) telah dibuat selama ini,” kata Sim.
Melalui MoU itu, pentadbiran Ismail melakukan beberapa perkara seperti pelaksanaan Undi 18, dan juga sedang merundingkan untuk memperkenal akta antilompat parti.
MoU itu dibentuk sebaik Ismail menggantikan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri, selepas sebahagian wakil rakyat Umno menarik sokongan ke atas presiden Bersatu itu.
Desakan untuk mengadakan PRU15 awal itu ditimbulkan kumpulan ahli Parlimen Umno yang dilabel sebagai kluster mahkamah, antaranya presiden parti itu Ahmad Zahid Hamidi.
Turut dirangkum dalam kumpulan itu bekas presiden Najib Razak, dan beberapa lagi individu yang menghadapi perbicaraan atas tuduhan salah guna kuasa, rasuah dan pengubahan wang haram.
Kumpulan itu mendesak supaya PRU15 diadakan lebih awal dan kerajaan pimpinan Ismail tidak lagi menyambung MoU dengan pembangkang kerana ia merugikan Umno.
Pembangkang juga melihat Ismail diumpan dan diugut untuk bertindak demikian melalui tawaran Umno yang menamakan beliau untuk kekal sebagai perdana menteri jika parti itu menang PRU15.
Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar berkata, Ismail tidak harus termakan dengan umpan kluster mahkamah yang pada masa sama turut mengugutnya dengan mengadakan PRU15 lebih awal.
“Saya lihat keputusan Umno lebih kepada umpan dan ugut Ismail, umpan jawatan perdana menteri dan mengugutnya dengan tempoh MoU mesti tamat, maknanya untuk PRU15.
“Ini mengugut dan mengumpan perdana menteri. Kalau perdana menteri terima keputusan itu, bermakna kita ada perdana menteri yang lemah dan termakan umpan dan ugutan ini,” kata Mahfuz.
Beliau merujuk keputusan Majlis Kerja Tertinggi Umno dalam mesyuarat yang terkini minggu lepas yang memutuskan Ismail calon perdana menteri Umno, dan menggesa MoU itu tidak disambung.
Selain itu, MKT Umno juga berpendirian Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti harus segera direalisasikan.
Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, sebagai perdana menteri Ismail harus mengambil kira kepentingan rakyat agar pilihan raya umum dapat dijalankan secara serentak di semua negeri.
Jelasnya, negeri ditadbir Pakatan Harapan (PH) seperti Pulau Pinang dan Selangor, serta negeri Kelantan, Terengganu, dan Kedah bawah PAS enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) jika pilihan raya dijalankan lebih awal.
“Tiada keperluan adakan pilihan raya umum berasingan. Perdana menteri kena bincang dengan negeri ini supaya capai kata sepakat diadakan serentak apabila dibuat dan pembubaran perlu bersama DUN.
“Ini berikan faedah besar kepada negara kerana kita akan berjaya elak satu kos pembaziran,” kata ahli Parlimen Pokok Sena itu.
Seperti Sim, Mahfuz juga menegaskan PH siap sedia jika PRU15 diadakan lebih awal.
“Semua parti politik bersedia hadapi sebarang kemungkinan tetapi itu bukan isunya, apakah kita rela korbankan wang negara dan rakyat demi kepentingan politik.
“Kalau dibuat juga (PRU15 disegerakan) bermakna kita sedia hadapi, tetapi persoalannya apakah Ismail sedia tunduk tuntutan kelompok kluster mahkamah,” soal Mahfuz.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke pula menegaskan sebarang tindakan yang bakal diambil Ismail berkaitan MoU harus melibatkan perbincangan dengan pembangkang.
“Dia (Ismail) nak sambung (atau tidak) dia kena bincang dengan kita,” kata Loke.
Ahli Parlimen Seremban itu juga dalam kenyataannya sebelum ini menegaskan urusan berkaitan MoU hanya melibatkan urusan kerajaan dengan pembangkang.
Oleh itu, Majlis Kerja Tertinggi Umno tidak terlibat untuk memutuskan sama ada MoU berkenaan diteruskan atau tidak, katanya.
MoU itu menetapkan Parlimen tidak akan dibubarkan sebelum 31 Julai ini dan tidak menyatakan dengan jelas tempoh MoU itu berkuatkuasa. – 22 April, 2022.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan