Kenaikan harga makanan haiwan peliharaan tak dapat dielak, kata peniaga
KENAIKAN harga makanan dan aksesori haiwan menyebabkan orang ramai berhemah ketika membeli barangan keperluan haiwan kesayangan mereka.
Pengusaha kedai haiwan peliharaan yang ditemu bual The Malaysian Insight berkata, harga makanan kering anjing dan kucing naik sebanyak 30% sejak beberapa bulan lalu, manakala makanan basah dalam tin meningkat 15%.
Menurut pemilik JF Paw Doggie House, Force Chea, kenaikan ini tidak dapat dielakkan kerana telah ditetapkan oleh pembekal dan pengedar.
Harga makanan haiwan peliharaan juga bergantung kepada negara produk itu dikeluarkan, yang kebanyakannya dari Jepun, Thailand, China dan Eropah, katanya.
“Perbezaannya antara RM20 dan RM60 bergantung kepada negara pengeluar.
“Ada sesetengah jenama naik 10% setiap dua bulan. Tetapi, secara keseluruhan harga produk semua jenama meningkat antara 15% hingga 20% atau lebih,” kata Chea.
Tambah beliau, pembekal mungkin akan menaikkan lagi harga jika kos makanan mentah meningkat.
“Semua harga ditetapkan oleh pembekal, jadi kami terpaksa ikut harga mereka.
“Selain itu, kami juga cuba mencari jenama lain (harga yang mampu dibeli pelanggan),” ujar Chea yang memiliki kedai di Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur.
Katanya lagi, peningkatan harga makanan dan aksesori haiwan peliharaan menyebabkan jumlah pelanggan susut kira-kira 10%.
“Pelanggan juga kurang beli aksesori dan barangan lain, mereka lebih utamakan makanan haiwan.
“Kebanyakan pelanggan sekarang akan tengok dulu harga barang sebelum beli, tak macam dulu,” kata Chea.
Beliau juga berkata lebih 30% pelanggannya kini membandingkan harga di platform beli-belah dalam talian seperti Shopee dan Lazada.
Produk alternatif lebih murah
Sementara itu, pengurus perniagaan The Petcare Shop Tanya Abraham juga mengesahkan produk haiwan peliharaan berjenama terkenal meningkat sebanyak 15% hingga 30%.
Pembekal memaklumkan kenaikan itu berpunca dari gangguan logistik dan peningkatan harga bahan mentah untuk menghasilkan makanan haiwan peliharaan.
“Tetapi disebabkan sayang pelanggan sanggup berbelanja untuk haiwan peliharaan mereka.
“Sekurang-kurangnya 20% hingga 25% pelanggan mencari produk alternatif yang lebih murah.
“Kami juga terpaksa bersaing dengan platform dalam talian yang menawarkan harga yang lebih murah,” kata Tanya, menambah ada juga pelanggan dan rakannya yang memasak makanan untuk haiwan peliharaan mereka bagi menjimatkan kos.
Harga tak masuk akal
Pengurus komunikasi korporat V Sumitra dan suaminya T Yogendra yang memelihara empat ekor anjing tidak bercadang untuk menukar jenama makanan haiwan kesayangan mereka.
Pasangan yang menetap di Petaling Jaya itu berkata jika sebelum ini lebih RM500 sebulan diperuntukkan untuk membeli bekalan makanan anjing-anjing mereka, kini jumlahnya meningkat kepada RM660 sebulan.
“Bagi kami kenaikan ini tak masuk akal. Tetapi kami tiada pilihan kerana anjing-anjing kami sudah biasa dengan jenama makanan yang kami beli,” kata Sumitra.
Tambahnya haiwan peliharaan mereka sebelum ini biasa diberi makan hati, hempedal dan daging ayam, tetapi terpaksa dikurangkan selepas harga ayam naik.
“Dulu kami boleh dapat hati dan hempedal ayam percuma, tetapi sekarang peniaga kenakan bayaran.
“Anjing-anjing kami sebelum ini makan ayam lapan kali sebulan. Sekarang kami kurangkan kepada enam kali. Kami kurangkan ayam dan campurkan dengan nasi. – 14 Julai, 2022.
1 ulasan:
Bagi makan organ dalam hayat binatang tak lama. Jangan biar mereka mati dalam nikmat. Tegas dalam pemakanan binatang peliharaan.
Catat Ulasan