Ada perjanjian pelantikan TPM dengan Ismail Sabri, kata bekas pegawai Muhyiddin
PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob ada membuat perjanjian dengan Muhyiddin Yassin mengenai jawatan timbalan perdana menteri dan disaksikan oleh menteri Bersatu dan Umno, kata bekas ketua setiausaha sulit kepada bekas perdana menteri.
“Saya ingin mengesahkan perjanjian ini wujud,” kata Dr Marzuki Mohamad dalam satu kenyataan, hari ini.
“Ia ditandatangani Muhyiddin dan perdana menteri pada 17 Ogos 2021 dan disaksikan seorang menteri dari Bersatu dan seorang menteri dari Umno.”
Muhyiddin letak jawatan perdana menteri sehari sebelum itu selepas sekumpulan pemimpin Umno diketuai presiden parti Ahmad Zahid Hamidi menarik balik sokongan mereka kepadanya di Dewan Rakyat.
Marzuki yang berkhidmat semasa Muhyiddin jadi perdana menteri, antara Mac 2020 dan Ogos 2021, berkata perjanjian itu bagaimanapun turut dipersetujui tidak boleh diterbit atau dizahirkan dalam apa-apa bentuk.
“Ia hanya boleh disimpan untuk rujukan kedua-dua pihak,” katanya, yang mengaku terlibat secara langsung sebagai pegawai Muhyiddin menyediakan perjanjian berkenaan.
Muhyiddin baru-baru ini mengesahkan beliau sudah bertemu Ismail Sabri dan membincangkan bukan sahaja cadangan rombakan kabinet tetapi pelantikan timbalan perdana menteri.
Katanya, perbincangan mereka selaras dengan perjanjian dengan Ismail Sabri, ketika pihaknya memberikan sokongan untuk beliau jadi perdana menteri.
Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan bagaimanapun berkata tiada perjanjian antara Ismail dan Muhyiddin untuk melantik timbalan perdana menteri.
“Tiada perjanjian setahu saya. Kalau ada perjanjian kenapa sekarang baru kita dengar dakwaannya?” katanya.
Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan kemudian mendedahkan Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa adalah saksi perjanjian yang dimeterai antara Muhyiddin dan Ismail Sabri.
Isu rombakan kabinet berbangkit selepas selepas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Zuraida Kamaruddin keluar Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM), bulan lepas.
Zuraida yang juga ahli parlimen Ampang dilantik menteri atas kuota Bersatu. – 9 Julai, 2022.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan