Hubungan Pakatan-BN belum kukuh, berisiko hadapi PRN, kata penganalisis
PAKATAN Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) perlu menyelesaikan sebarang perbezaan atau pertikaian jika mahu meyakinkan pengundi mengenai kerjasama politik dua gabungan itu menuju pilihan raya negeri (PRN), kata penganalisis politik.
Mereka berkata kegagalan untuk mencapai penyelesaian akan mencetus kemarahan pengundi yang seterusnya akan menolak kerjasama terbabit atau mengelak untuk mengundi pada PRN di enam negeri tahun ini.
Dan ini sekali gus akan memberi kelebihan kepada pesaing PH dan BN, iaitu Perikatan Nasional (PN) pada PRN kelak, tambah penganalisis ini.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berkata, kerjasama PH-BN ketika ini masih belum kukuh walaupun kedua-duanya berada dalam kerajaan persekutuan.
“Kerjasama antara PH dan BN atau Umno nampak masih longgar,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Menurut beliau, komen kurang menyenangkan yang disuarakan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim dari PKR dan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy (DAP) terhadap Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi boleh menjejaskan kerjasama itu.
Hisomuddin memetik kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Ahmad Shabery Cheek baru-baru ini, yang mengingatkan bahawa kerjasama yang terjalin antara PH dan BN membentuk kerajaan perpaduan ibarat jambatan besi yang menggunakan banyak skru, dan bukannya seperti jambatan konkrit.
Dalam satu catatan di Facebook minggu lalu, Shabery menegur tindakan segelintir pemimpin PH yang gemar menyerang secara terbuka sesama sendiri walaupun bersama dalam satu kerajaan.
“Sama seperti teguran Shabery itu, kerjasama ini bukan konkrit.
“Ini menggambarkan rasa kurang enak apabila pemimpin DAP dan PKR mengeluarkan kenyataan yang menyerang kempimpinan Umno.
“Ramasamy dan Hassan Karim adalah antara mereka yang menyerang Umno secara terbuka,” katanya.
Hisomuddin menambah, sukar bagi PH untuk mendisiplinkan pemimpin seperti ini, malah beliau mengingatkan beberapa kenyataan yang dikeluarkan semasa gabungan itu jadi kerajaan selama 22 bulan mencetus kemarahan orang Melayu.
Sikap berdiam diri Majlis Presiden PH dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno mengenai kerjasama menghadapi PRN juga tidak membantu, ujarnya.
“Sehingga hari ini Majlis Presiden PH dan MKT Umno masih belum memutuskan bagaimana mereka akan menghadapi PRN akan datang.
“Sekiranya kedua-dua gabungan ini gagal menangani perbezaan pendapat dengan baik, saya bimbang akar umbi mereka juga sukar untuk bentuk kerjasama yang baik pada PRN,” katanya.
Menurut Hisomuddin sekiranya tiada tindakan proaktif diambil ini akan memberi kelebihan kepada PN dalam semua enam PRN.
Enam negeri – Selangor, Negeri Sembilan, Penang, Kedah, Kelantan dan Terengganu – memutuskan untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing serentak dengan peringkat Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15.
PRN di enam negeri berkenaan mesti diadakan selewat-lewatnya September tahun ini.
Hanya Pahang, Perak dan Perlis yang melaksanakan PRN masing-masing serentak dengan PRU15. Manakala Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor sebelum ini telah mengadakan PRN masing-masing sebelum PRU15. – 27 Januari 2023.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan