Lubnan tak benarkan penerbangan Iran mendarat
LUBNAN: Lubnan tidak membenarkan penerbangan dari Iran untuk mendarat di Lapangan Terbang Beirut selepas Amerika Syarikat (AS) memberi amaran bahawa Israel mungkin menembak jatuh pesawat berkenaan.
Penolakan untuk mendarat itu adalah kali kedua dalam tempoh seminggu selepas insiden pertama berlaku pada Khamis lalu apabila pihak berkuasa Lubnan memaklumkan kepada Iran tidak menerbangkan pesawat menuju ke Beirut.
"Menerusi pihak AS, Israel memberitahu kerajaan Lubnan bahawa ia akan menyasarkan lapangan terbang berkenaan sekiranya pesawat Iran mendarat di situ.
"Pihak AS turut menyampaikan kepada Lubnan bahawa Israel serius dengan ancaman berkenaan,"kata sumber itu.
Selepas berbincang dengan Perdana Menteri, Presiden, Kementerian Kerja Raya dan Pengangkutan Lubnan, mereka menolak permohonan pendaratan pesawat itu, menurut sumber berkenaan.
Mesej berkenaan sudah disampaikan sebelum pesawat berlepas, katanya lagi. Sebuah lagi penerbangan turut dihalang daripada berlepas dari Iran kelmarin dan mencetuskan protes di Lubnan oleh penyokong kumpulan Hizbullah sehingga bertindak menutup jalan menuju ke satu-satunya lapangan terbang antarabangsa negara itu.
"Keselamatan Lapangan Terbang Beirut mengatasi sebarang pertimbangan lain. "Keselamatan penumpang serta rakyat Lubnan adalah perkara yang tidak akan kami kompromi," kata Perdana Menteri Lubnan, Nawaf Salam, semalam.
Israel beberapa kali menuduh Hizbullah menggunakan Lapangan Terbang Beirut untuk membawa masuk senjata dari Iran, namun kumpulan itu serta pemimpinnya menafikan dakwaan terbabit.
Gencatan senjata yang berkuat kuasa di Lubnan sejak 27 November lalu selepas lebih setahun ketegangan dan dua bulan konflik terbuka antara Israel dan Hizbullah di negara itu.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan