Konflik Thailand-Kemboja: Lebih setengah juta orang awam dipindahkan
BANGKOK: Lebih 500,000 orang telah melarikan diri dari rumah ke kawasan selamat di Thailand dan Kemboja sejak tercetusnya semula konflik sempadan, kata kedua-dua kerajaan ini.
Ia melebihi jumlah pemindahan semasa pertempuran sama pada awal tahun ini.
"Orang awam terpaksa dipindahkan secara besar-besaran kerana kami menilai terdapat ancaman segera terhadap keselamatan mereka. Lebih 400,000 orang telah dipindahkan ke pusat perlindungan selamat di tujuh wilayah," kata jurucakap Kementerian Pertahanan Thailand, Surasant Kongsiri, pada sidang media.
"Kami mahu mengelak berulangnya serangan terhadap orang awam yang berlaku pada Julai 2025," katanya.
Sementara di Kemboja, 101,229 orang telah dipindahkan ke pusat perlindungan selamat dan rumah saudara mara di lima wilayah, demikian menurut jurucakap kementerian pertahanan negara itu, Maly Socheata, malam tadi.
Negara jiran Asia Tenggara ini berselisih faham mengenai sempadan sepanjang 800 kilometer (500 batu) yang ditetapkan semasa era kolonial, di mana tuntutan terhadap kuil-kuil bersejarah telah mencetuskan konflik bersenjata.
Pertempuran terbaharu minggu ini adalah yang paling maut sejak lima hari pertempuran pada Julai lalu yang mengorbankan puluhan orang dan memaksa kira-kira 300,000 penduduk melarikan diri di kedua-dua belah sempadan sebelum gencatan senjata rapuh dipersetujui, selepas campur tangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Kedua-dua pihak saling menyalahkan antara satu sama lain atas tercetusnya pertempuran semula, pada Selasa yang merebak ke lima wilayah di Thailand dan Kemboja, menurut kiraan rasmi AFP. - AFP


Tiada ulasan:
Catat Ulasan