Sabtu, 17 Januari 2015

SUARA ANAK MUDA




PREJUDIS TERHADAP KEBEBASAN BERSUARA, PENDIDIKAN HAK ASASI PERLU DISUBURKAN DI SEKOLAH

Sebuah Negara akan berkembang maju apabila Negara itu ditadbir oleh Kerajaan yang bersedia mendengar suara rakyatnya. Inilah falsafah yang terkandung di sebalik prinsip kebebasan bersuara. Prinsip ini bukan sekadar soal kebebasan individu untuk berfikir dan berekspresi, tetapi juga menekankan peripentingnya kewujudan sebuah masyarakat yang berjiwa besar untuk mendengar. Sikap yang perlu ditradisikan dalam masyarakat bertamadun ialah sikap mahu dan bersedia untuk mendengar tanpa prejudis, dan bukannya memikirkan apa yang perlu dicakapkan oleh orang lain.  

Oleh itu LENSA merasa agak terkilan dengan respon JAKIM terhadap saranan supaya diadakan debat bagi mempertemukan JAKIM dan Eric Poulsen. Walaupun respon sebegitu memang sudah dijangkakan, namun jelas JAKIM gagal memanfaatkan ruang kebebasan bersuara untuk memurnikan keadaan.

Professor Alexander Meiklejohn dalam buku yang berjudul Free Speech and Its Relation to Self-Government , ada mengungkapkan “Perlukah kita, sebagai pejuang kebebasan, mendengar pandangan yang bercanggah dengan pandangan kita, yang boleh menghancurkan cita-cita kita untuk menjadi Kerajaan yang baik?, Perlukah kita mendengar pandangan mereka yang membenci dan ingin memusnahkan kebebasan? Perlukah kita mendengar pandangan pihak yang sekiranya mereka memiliki kuasa, mereka akan memusnahkan Negara ini?, Sudah pasti, kita perlu mendengarnya !, Kita perlu memastikan tindakan kita tidak dikawal oleh mereka itu, tetapi tindakan kita adalah kerana kita sendiri. Kita mendengar, bukan kerana mereka mahu bercakap, tetapi kita mendengar kerana kita perlu mendengar”

Tetapi apa yang menimpa Eric Poulsen dan Major Zaidi di awal tahun 2015 ini memberi petunjuk kepada kita sejauh mana kumpulan berautoriti menghormati konsep kebebasan bersuara ini. Major Zaidi dikenakan hukuman buang kerja hanya kerana mengadakan sidang media bagi mendedahkan dakwat kekal yang mudah luntur semasa Pilihanraya Umum ke 13 lalu. Eric Poulsen pula, hanya kerana beliau mempersoal JAKIM di laman Twitter, beliau terus disiasat di bawah Akta Hasutan dan 20 anggota Polis dikerah untuk menghambat beliau sebelum dikenakan reman satu hari.

Amat malang apabila diusia 58 tahun Merdeka, Malaysia masih memiliki set cara fikir yang begitu prejudis terhadap kebebasan bersuara. Individu yang vokal bukan sekadar tidak didengar, malah digunakan segala jenis undang-undang dan peraturan drakonian untuk mendiamkan individu tersebut.

Ironinya, menggunakan undang-undang drakonian untuk berdepan dengan suara individu jelas menampakkan kebaculan pihak berautoriti. Analoginya, individu A menuduh individu B sebagai pencuri. Individu B tanpa banyak soal periksa terus menumbuk Individu A. Tindakan individu B itu mengundang pelbagai indikasi. Akibat dangkal berhujah untuk mempertahankan diri, B menggunakan kekerasan untuk menutup mulut si A. Tindakan itu juga menguatkan lagi dakwaan A bahawa B seorang pencuri sedangkan tuduhan itu mungkin palsu.

Maka Akta Hasutan ke atas Eric Poulsen dan Undang-undang Tentera ke atas Major Zaidi adalah sama seperti penumbuk yang digunakan si B untuk mendiamkan si A tadi. Bahkan undang-undang seperti ini masih tersembunyi di banyak tempat dalam Negara kita, termasuk peraturan-peraturan yang sedang diamalkan dalam universiti awam dan swasta.

Tidak cukup dengan peraturan drakonian, persepsi segelintir masyarakat juga sering menghukum individu-individu yang cuba mempraktiskan kebebasan bersuara. Bermacam-macam label dilemparkan kepada individu seperti Eric Poulsen. Lebih malang apabila label-label yang dilemparkan itu bersifat prejudis dan tohmahan semata-mata seperti seperti anti-islam, anti-melayu dan sebagainya.

Sedangkan sekiranya semua pihak memahami konsep kebebasan bersuara, sudah pasti isu-isu yang dianggap sensitif ini akan dapat ditangani secara lebih efektif. Tempangnya pendidikan hak asasi juga menjadi salah satu punca mengapa begitu sukar sekali untuk dialog dan wacana dibudayakan.

Lensa Anak Muda Malaysia (LENSA) yakin dan percaya, masyarakat yang arif tentang hak asasi akan memahami tanggungjawab dalam mengamalkan hak masing-masing. Sebagai contohnya, setiap  individu mempunyai hak untuk bersuara seperti yang dijamin dalam Prinsip ke 19 Deklarasi Hak Asasi Manusia Antarabangsa (UDHR). Namun dalam masa yang sama, Prinsip ke 12 UDHR juga menetapkan setiap individu atau organisasi mempunyai hak untuk mempertahankan diri daripada sebarang perbuatan yang boleh menjejaskan reputasi dan nama baik. Prinsip ke 12 secara langsung menjadi sempadan kepada hak kebebasan bersuara. Sekiranya hak kebebasan bersuara disalah ertikan dengan tujuan ingin menggangu orang lain, maka individu yang teraniaya boleh mempertahankan diri dengan menggunakan undang-undang secara adil.

Sebagai contoh, sekiranya ada individu yang merasakan dia telah difitnah, maka individu tersebut boleh menggunakan peruntukan undang-undang untuk mempertahankan diri. Di Malaysia, kita memiliki peruntukan Seksyen 499 di bawah Kanun Keseksaan bagi kesalahan fitnah. Orang yang memfitnah boleh diheret ke mahkamah untuk diadili dan jika didapati bersalah, dia berhak dihukum.

Dalam bukunya yang sama, Prof Meiklejohn menyatakan bahawa beliau mengakui kebebasan bersuara sememangnya ada had. Tetapi had itu hanya boleh dilaksanakan sekiranya sesuatu ucapan itu jelas mengganggu hak individu lain.

Sekiranya pendidikan demokrasi disuburkan dalam kalangan masyarakat, LENSA percaya konsep kebebasan bersuara ini akan mampu dihormati oleh semua pihak. Bahkan rakyat akan menjadi lebih prihatin untuk menjaga sensitiviti sesama anggota masyarakat.

Oleh itu LENSA mencadangkan kepada Kerajaan Malaysia agar memberi penekanan pendidikan hak asasi dalam silibus pendidikan Malaysia. Para pelajar perlu didedahkan seawal mungkin mengenai hak asasi manusia bagi memberi kesan jangka masa panjang yang bermanfaat untuk Negara.

Hal ini mungkin dianggap janggal untuk kita, tetapi sudah pun dilaksanakan di negara-negara eropah. Anak-anak kecil seawal pra-sekolah dididik mengenai hak asasi manusia bagi memastikan mereka menjadi generasi yang bukan sahaja faham, tetapi  bertanggungjawab dalam mengamalkan hak asasi.

Apabila rakyat faham tentang hak asasi, maka LENSA percaya Malaysia akan bebas daripada cara fikir ekstrimis. Perbezaan pandangan akan berjaya diurus dengan baik dan semua pihak akan lebih memahami kepentingan dialog sebagai mekanisme terbaik dalam mengurus perbezaan pendapat.

Sekian.
  
Syukri Razab
Penyelaras Komunikasi
Lensa Anak Muda Malaysia (LENSA)









-----------

1 ulasan:

DD KAYBEE berkata...

Mula2 kita kena buang segala taik dalam kepala yang ditabur hari2 oleh atmoafera di malaysia ni.taik ni lagi lama disimpan lagi keras dan bergas..yang mana sedar sebelum 30 an..selamat..leoas 40 an..hancur...bukan taik lagi dha..dha jadi sentimental value taik tu..nak buang sayang..takut rindu...betulah tu...buang dulu kepala taik 6 dekad ni...baru kota tengok..taik baru ni berbau ke dak...kakakakkaka...kasi tunjuk itu taik dalam mangkuk catu plis...kakkakakaakaka