.

Khamis, 12 April 2018

BILA NAK TANGKAP JHO LOW





BILA NAK TANGKAP JHO LOW

Pelik tetapi benar. Benar tetapi  masih pelik. Ramai bertanya siapa China tembam yang bernama Jho Low ini. Kenapa polis Malaysia tidak diberi arahan  untuk menangkap Jho Low. Kenapa pula China Merah bermurah hati membenarkan Jho Low yang dikhendaki oleh Jabatan Keadilan Amerika (DOJ) dan FBI  kini tinggal bebas di China Merah.

Mengikuit laporan akhbar The Australian keluaran 14/12/17 dahulu Si Jho Low ni sedang enak bersantai menginap disebuah hotel mewah di Shanghai China. Harian  Australia ini juga membocorkan berita bagaimana kapal mewah  Equanimity milik Jho Low sering berpeleseran di Papua, Bali, Siam dan di Kamboja.

Kapal milik Jho Low ini tidak lagi berlabuh di Miami atau dipantai-pantai  Laut Mediterranean. Hakikatnya Equanimity  sedang melarikan diri buruan  ajen-ajen FBI dan CIA.

Tup tup kapal ini tersadai di Bali. Pada 28 Febuari yang lalu kapal milik Jho Low berharga 1 bilion ringgit ini telah ditahan oleh   FBI, CIA, Jabatan Keadilan Amerika (DOJ)  dan kerjasama  polis dan soldadu Indonesia. Presiden  Jokowi  memainkan peranan yang amat penting dengan membenarkan kuasa asing  negara kapir menangkap kapal milik negara jiran yang dipimpin oleh seorang Muslim yang warak.

Kenapa Pak Jokowi menyebelahi dan mengikut kerenah permintaan kuasa negara kapir dan tidak mempertahankan harta milik pemimpin yang serumpun  dan sebangsa? Ini juga menjadi pelik.

Lalu timbul cerita dongeng bahawa apa yang berlaku adalah sambungan perlawanan Panglima Jawa Seri Santa Bentara yang berjaya mengalahkan Ratu Putar Alam Mandulung Pindulung Lanun Bugis. Kesah dari kitab Jawa Kuno ini  berulang kembali.  Hishamuddin Rais tidak perlu menerangkan siapa Panglima Jawa dan siapa Lanun Bugis. Cukuplah anak semua  bangsa di Malaysia ini senyum puas dan berterima kaseh kepada PaK Jokowi dari Indonesia.

Pelik lagi memelikkan - kawan baik Jho Low  yang bernama Mat Najib langsung  tidak bersuara membantah penahan  Equanimity. Najib tak ambil pot. Najib buat donno. Walau pun satu dunia tahu kapal ini adalah hasil duit curian 1MDB yang dijalankan bersama oleh Jho Low dan Najib.

1MDB. Pencuri. 1MDB. Pencuri. Perkataan ini semakin lantang kita dengar. Kemana sahaja kita pergi dua perkataan ini - Pencuri dan 1MDB  - akan  kedengaran.

Di Tanah Melayu ini ada satu sosok   yang paling selalu ,paling kerap, paling heboh tanpa henti-henti  bercakap tentang pencuri yang beranama Najib. Sosok ini ialah  Mahathir Muhamad yang  bakal  menjadi Perdana Menteri selesai sahaja PRU14.

Mahathir dalam pembukaan ucapan di Pasir Gudang  Johor pada Jumaat malam 6/4/18   yang lalu telah meminta maaf kepada Bangsa Johor dan juga kepada semua rakyat Malaysia. Mahathir minta maaf kerana dirinya telah berkempen dan menyokong untuk menjadikan Najib Perdana Menteri.  Mahathir minta maaf kerana dia telah melantik Najib seorang pencuri, penyamun dan penyangak.

Mahathir kemudian meminta Bangsa Johor bersama-sama warga yang lain berkerjasama  untuk menggulingkan Najib dan meruntuhkan  parti United Malays National Orgaisation. Walau pun dari segi sejarah parti ini bermula di Johor. 

Tapi kini parti ini telah menyimpang jauh  dari perjuangan asal. Kini United Malays National Organisation telah menjadi parti Najib - parti  yang dikepali oleh seorang pencuri. Inilah isi ucapan Mahathir Muhamad kemana sahaja dia berceramah.

Ada satu pekara yang mungkin ramai terlepas pandang. Apa dia? Pasir Gudang di Johor. United Malays National Organisation ditubuhkan pada 11/05/1946  di Johor. Apa lagi? 

Ada satu lagi yang maha penting ia itu Singapura disebelah Johor.  Itu saja? Sabar dulu. Ada kesah disebalik kesah. Ada cerita dibelakang cerita. Ada todak didalam laut. Ada Temasek di belakang todak.

Sebenarnya Johor, United Malays National Organisation, Singapura, Najib dan Jho Low - semuanya kait berkait.  Semuanya sambung bersambung. Semuanya ulang tayang. Babak babak dan drama 1MDB yang kita lihat ini pernah berlaku. Watak Jho Low ini telah pernah  wujud lebih dari 200 tahun dahulu. Amin.

Disekolah kita diajar bahawa Singapura telah ditemui oleh Sir Stamford Raffles pada tahun 1819. Ini fakta bohong. Singapura telah sedia wujud  ketika Si Raffles ini masih lagi bergulung dalam kerandut telor ayahnya. Singapura adalah sebahagian dari Bumi Melayu di Alam Nusantara.

Raffles ini hanyalah seorang kerani kecil atau Tambi dalam Syarikat British East India Company (BEIC). Anugerah Sir ini datang kemudian kerana Si Raffles telah berjaya menipu Sulan Hussein untuk menjual Singapura kepada British.  

Bagaimana Rafffles berjaya mendapatkan Pulau Singapura untuk menjadi tanah jajahan British. Bagaimana Singapura  tergadai kepada British East India Company?

Senang sahaja. Sultan Hussein yang berkuasa keatas Singapura telah diperkenalkan dengan candu. Sultan Johor ini menjadi pemadat. Menjadi  Mat Gian. Sultan Johor jadi Mat Pet.

Jangan lupa sejarah.  Fakta sejarah telah membuktikan bahawa tokan  candu yang paling besar diera zaman kolonialisma ialah British East India Company.  Syarikat ini mengambil candu di India dan menjual ke pelusuk dunia - hingga ke China. Jangan lupa Perang Candu 1839-1860 di China. Hasilnya Hong Kong tergadai kepada British hingga ke tahun 1997.

Candu pada ketika itu adalah bahan perniagaan yang dijual beli secara terbuka. Pengeluar  candu ketika itu ialah British kerana India - Pakistan dan Afghanistan tempat candu ditanam pada ketika itu dibawah jajahan British.

Raffles memberi candu secara percuma kepada Sultan Hussein. Pasti lama kelamaan Si Hussein ini mejadi pemadat tegar. Tanpa candu Si Sultan tidak dapat bangun tidur. Mungkin hanya bangun sesudah jam 1 tengah hari untuk menanda tangani surat menyurat.

Maka pada ketika inilah Si Raffles ini masuk jarum. Pertamanya bekalan candu Sultan Hussein ditamatkan. 

Bayangkan betapa Mat Pet ini gelabah cuba mencari bekalan. Bayangkan betapa ramai gundek dan sida yang dihuru hara di Istana apabila candu dari Raffles tak sampai.

Tup tup Raffles muncul dengan bekalan candu. Mata Sultan Hussen terbelik. Tetapi Raffles mengenakan syarat. Kalau mahu candu maka Pulau Singapura perlu dijual kepada BEIC. Sultan akan dapat gaji bulanan dan juga bekalan candu yang tidak akan putus putus.
Maka pada 7 Jun 1823 - tergadaiah Singapura kepada BEIC. Pulau dihadapan Tanjung Puteri milik kerajaan Johor ini terus menjadi milik Orang Lain hingga ke hari ini. 

Apa hubungan babak sejarah gelap Alam Melayu ini dan watak  Sir Stamford  Raffles, Brtish East India Company,candu, Sultan Hussein, Jho Low , Najib dan Singapura dengan pencurian duit 1MDB.

Mari disini saya terangkan. Pulau Singapura pada hari ini ialah Tanah Melayu Malaysia.  Sultan Hussein hari ini ialah Najib Razak. Sir Stamford Raffles hari ini ialah Jho Low.  Candu hari ini ialah hutang. Siapa pula yang akan mengambil  watak British East India Company yang akan membeli Pulau Singapura? 

British East India  Company hari ini ialah China Merah. Jho Low pada ketika ini yang tinggal di Shanghai adalah ajen perniagaan  China Merah. Ini sama saperti peranan dan watak  yang dimainkan oleh Raffles ketika merancang untuk memerangkap Sultan Hussein.

Jika jho Low tidak memiliki peranan penting memberi ‘dadah hutang’ kepada Najib mustahil China Merah akan memberi perlindungan kepada Jho Low yang sedang dicari oleh FBi dan CIA. 

Raflles menjadikan Sultan Hussein pemadat. Sultan Hussein gian kepada candu. Peranan Jho Low ialah menawarkan hutang dari China Merah. Menyusun dan mengatur pelabagi bentuk jenis perniagaan dan projek untuk memastikan Najib akan terus berhutang. 

Hutang Najib kepada China Merah ini pada satu ketika nanti  akan memerangkap Najib untuk menggadaikan Tanah Melayu. Pada tahun 1823 Sultan Hussein mengadaikan Singapura kepada BEIC. Pada tahun 2018 ini semakin jelas Najib sedang menjual dan mengadaikan Tanah Melayu kepada Chian Merah.

Justeru - amat jelas - Jho Low kepada China Merah adalah Raffles kepada Empire British. Raffles dianugerah pangkat Sir kerana  berjaya mendapatkan Singapura. Jangan hairan satu hari nanti Jho Low akan menjadi warga  China Merah kerana berjaya dengan projek menjadikan Tanah Melayu ini sebagai provinsi  China Merah. 

Apakah - anak semua  bangsa tidak melihat apa yang sedang berlaku ini? Apakah anak semua bangsa tidak  sedar akan peranan Jho Low. Apakah anak semua bangsa tidak mengetahui bagaimana Pulau Singapura tergadai kepada penjajah British?

Apakah sejarah berulang.

Sejarah berulang jika kita tidak memahami dan sedar akan sejarah. Kita boleh membatalkan pengulangan sejarah.

Justeru pada Sabtu 14/4/18 ini jam dua petang akan diadakan satu Perhimpuan Tangkap Pencuri - Tangkap Jho Low. Himpunan ini bertujuan untuk mengagalkan  projek Jho Low dan China Merah dari berjaya menaklok Tanah Melayu. 


Himpuanan ini akan mengagalkan pengulangan sejarah. 

Pada 1820 dahulu anak anak muda di Sembawang, di Changi atau di Seletar tidak ada kesedaran untuk melawan projek Raffes. Tapi kali ini pada tahun 2018 telah wujud kumpulan anak muda yang mula sedar akan peranan jahat  Jho Low dan China Merah.
Himpunan Sabtu di hadapan Sogo ini bertujuan untuk menyelamatkan Tanah Melayu dari menjadi  provinsi China Merah. Najib yang sedang ketagih hutang ini telah tidak dapat diselamatkan. Jika Najib tidak dinyahkan dalam masa lima tahun ini maka Tanah Melayu pasti akan menjadi provinsi China Merah. Justeru mari bersama turun ke Sogo Sabtu ini. (tt)



NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanggan 
akhbar mingguan ini
sila pukul talipon
03-92-21-10-45

--------------------

1 ulasan:

panglimo potaseh berkata...

Jomm Anak Muda.. kita turun ke Sogo. Bagaimano pulo dongan anak bagindo-bagindo.. tak kan siang malam mogang botol jo. Sok yang sonang bagindo-bagindo gak. Den dongan anak-anak mudo cam tu jo. Tak tau lah Kok Chino Merah morintah bagindo-bagindo makin sonang.. dapek pogang botol samsu lak. Atau bagindo tak baco sejarah.. apo jadi pado keturunan Bagindo Hussien?