Jumaat, 10 Ogos 2018

GAMBAR DITURUNKAN





Jahabar Sadiq - DARI MINSIGHT

Episod potret GTF dedah mana hilangnya hormat



RASA hormat, atau hilangnya hormat itu, menyelubungi episod turunnya dua potret rakyat Malaysia dalam pameran foto di Festival George Town (GTF) yang bermula Sabtu lepas.

Pameran itu mengumpulkan foto sejumlah rakyat Malaysia dengan bendera kebangsaan hasil rakaman jurugambar Mooreyameen Mohamed, termasuk Nisha Ayub dan Pang Khee Teik, aktivis lesbian, biseksual, gay dan transgender (LGBT).
Kegiatan LGBT dicemuh, disisih dan diharamkan di Malaysia, sementara kerajaan baru Pakatan Harapan tidak banyak bercakap mengenainya sejak mentadbir pada Mei lalu. Dasarnya tidak jauh berbeza dengan yang dipakai oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dulu.

Menteri persekutuan Mujahid Yusof mengarahkan setiausaha kerajaan negeri Pulau Pinang untuk memberitahu penganjur GTF supaya menurunkan dua potret itu selepas heboh di media sosial kononnya program itu menggalakkan aktiviti sedemikian. Potret itu diturunkan, mencetuskan satu lagi kemarahan.


Inilah masalahnya. Apa hak kerajaan persekutuan mengeluarkan arahan kepada kerajaan negeri untuk menurunkan potret tersebut? Adakah Putrajaya menaja GTF? Adakah ia menapis festival tersebut, yang sudah ada reputasi sejak bertahun-tahun mengangkat dan merayakan kepelbagaian dan keunikan dari serata dunia di George Town, antara bandar raya terbaik di Malaysia?

Yang dipamerkan ialah sekumpulan rakyat Malaysia yang bangga membalut tubuh mereka dengan bendera negara. Yang dipamerkan ialah sekumpulan rakyat Malaysia dari pelbagai layar belakang mengangkat perpaduan dan patriotisme. Yang dipamerkan ialah sekumpulan rakyat Malaysia yang kemungkinan besarnya mengundi dan membayar cukai.

Yang dipamerkan ialah sekumpulan rakyat Malaysia. Wajarkah mereka didiskriminasikan atas seksualiti atau perjuangan mereka?

Wajarkah kerajaan persekutuan tunduk pada sebahagian masyarakat yang percaya pameran itu menggalakkan perkara yang bertentangan dengan kepercayaan mereka? Bagaimana dengan orang lain? Di mana hujungnya semua ini?

Selebihnya, bolehkah kerajaan persekutuan menghormati pengasingan antara negeri dan persekutuan? Undang-undang apakah yang digunakan untuk menurunkan potret tersebut? Boleh kerajaan Pulau Pinang juga menghormati kebijaksanaan penganjur tentang apa yang ia pamerkan?

Mujahid, yang sebelum ini menunjukkan keterbukaannya sebagai ahli parlimen pembangkang, sekarang ini jadi sama seperti pihak yang dikecam oleh pembangkang bertahun-tahun dulu kerana berfikir apa yang mereka rasakan terbaik.

“Kita dapat banyak komen daripada mereka yang kasar terhadap kumpulan  ini, jadi untuk meredakan keadaan saya perlu buat keputusan.

“Kebimbangan saya ialah saya tak nak mereka ini disakiti atau jadi mangsa. Banyak yang marah dengan keterbukaan mereka. Saya mahu melindungin mereka,” katanya, seperti dipetik semalam.

Tahu siapa yang pernah berkata begini lebih kurang 10 tahun lalu?

Syed Hamid Albar, ketika itu Menteri Dalam Negeri pada 2008 mendedahkan bahawa polis menahan seorang wartawan di Pulau Pinang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) demi keselamatannya sendiri kerana melaporkan kenyataan berbaur perkauman yang dibuat oleh seorang pemimpin Umno.

Wartawan Sinchew itu, Tan Hoon Cheng dibebaskan sehari kemudian. Polis turut menahan wakil rakyat DAP, Teresa Kok, yang sekarang Menteri Industri Utama.

Rakyat Malaysia mengundi menyingkirkan BN pada 9 Mei atas banyak sebab, dan bukannya saja kerana laungan PH bahawa kerajaan dulu merompak dan rasuah. Mereka menyingkirkan BN kerana penindasan. Pengundi mahukan kesaksamaan dan kesamarataan. Kegembiraan dan sokongan yang ditunjukkan sejak itu menggambarkan perasaan itu.

Sekarang ini, walaupun belum lagi 100 hari berkuasa, kerajaan PH tidak nampak mentadbir berbeza berbanding BN.

Satu-satu perbezaan ialah PH belum lagi dilihat sebagai pencuri, walaupun episod GTF ini merompak keyakinan bahawa ia boleh menghormati dan mentadbir mengikut kedaulatan undang-undang.– 9 Ogos, 2018





----------------

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Kita mengundi PH bukan utk menghalalkan dan menyuburkan LGBT. Tiada kena mengena dgn PH. Matlamat utama diantaranya ialah utk hapuskan rasuah. Kebebasan beragama tetap dipertahankan. Tlg faham

Unknown berkata...

Ada kah kita boleh pileh TAKDIR..? Sila tanya ULARmak PAS...?