Rabu, 10 Oktober 2018

MERAKAM SEJARAH - MAHATHIR BELOT






MERAKAM SEJARAH

MAHATHIR BELOT

Laporan The New York Times (NYT) garapan Louise Story telah meledak pada 8 Febuari 2015. Heboh heboh heboh seluruh dunia. Nama Jho Low dan Riza Aziz menjadi sebutan.

Malah tak semena mena nama pelukis Van Goh, Picasso, Monet dan Bisquit  melekat sama.Rupa-rupanya duit samun ini telah juga digunakan untuk membeli lukisan sebagai bentuk pelaburan. Ciss. Si Jho Low  berlagak sebagai pemiliki cita rasa yang sopistikated.

Tak cukup dengan Picasso si Tembam ini juga menggunakan duit samun  untuk bercanda-canda dengan Minah dan Mamat Hollywood. Maka nama Martin Scorsese dan De Caprio juga muncul. Opps.. hampir terlupa si Temban ini ada ‘taste’ terhadap  Minah Kaya Langsing Cik Siti  Paris Hilton.

Sabenarnya heboh heboh ini  hanya permulaan. Ketika heboh merancak saya mengambil kesempatan untuk  memasang tajur. Saya sedang manajur  satu lagi politik jalan raya. 

Saya amat amat yakin tanpa politik jalan raya mustahil Najib dan United Malays National Organisation dapat dikalahkan. Saya tidak pernah berganjak dari pandangan ini.

Sayugia diingati politik turun ke jalan raya untuk Bersih  bukan satu yang mudah diurus. Ramai jaringan kaum kerabat Bersih yang mengambil garis ‘ kami NGO  tak  campur politik’. 

Ada juga yang membuat dasar bahawa sebagai NGO  mereka wajib ‘ no partisan’ tidak menyebelahi mana mana pihak.  Walau pun pihak itu penyamun dan pembunuh… we are non partisan. Ada juga  NGO  yang sakit jiwa tidak mahu regime change atau menjatuhkan kerajaan  opps… menganti kerajaan. 

Hairan bin Pelik inilah garis pandang banyak Ngo dalam negara kita. Adoh! Dari kangkang kera mana NGO ini  belajar membuat dasar sabagini hanya Guru Nanak sahaja yang tahu. Amin.

Dari pengalaman - yang paling mudah menganjurkan  politik jalan raya ialah  dengan Mat Sabu. Ini pengalaman saya merancangan dan menyusun Hari Kebangkitan Rakyat pada 12 Januari 2013.  

Idea dilambung. Tarikh dipilih. Kemudian kami ke hulu ke hilir - keseluruh Semenanjung menghasut rakyat untuk turun ke jalan raya.  Secara jelas kami berkempen menimbulkan kebencian terhadap Najib, Rosmah dan United Malays National Organisation.

Hasilnya hampir 400,000 anak semua bangsa turun ke Stadium Merdeka. Jumlah ini lebih ramai berbanding dengan  kedatangan peminat bola Manchester United  lawan  Arsenal di Wembley Stadium.

Sesudah 8 Febuari 2015 nasib saya bertambah  baik. Tajur dan hasutan saya menjadi lunak. Umpan saya mengena. Saya wajib akui bahawa jawapan bangang lagi bodoh dari Najib membantu   tajur saya menjerat Bersih. 

Dari awal lagi si Najib bersilat lidah bila berhadapan dengan kes 1MDB dalam  tulisan NYT.  Kini kes 1MDB berpindah dari NYT ke akhbar Wall Street Journal (WSJ).  Akhbar WSJ adalah suara hati kaum pemodal dunia. WSJ  yang berpengkalan di New York bertambah ganas menyerang Najib.

Awalnya mengikut jawapan Najib - duit 2.6 bilion adalah duit sedekah jariah dari Tok Arab. Bukan untuk kegunanan Najib anak beranak. Bukan untuk Najib membeli quinoa. Dunia tahu duit ini dari Jho Low yang memasukkan  ke akaun pribadi Najib di Ambank. 

Najib menerangkan kepada orang ramai bahawa Tok Arab beri duit sedekah  kerana Najib berani melawan Isis.  Kenyataan Najib ini menjadi lawak bodoh Ini kerana ketika  duit ini masuk ke akaun Najib  kempen anti Isis belum wujud.

Kemudian Najib bersilat lagi. Najib bersilat untuk orang Islam  Parti Pas. Mengikut Najib duit untuk memperkukuh dan membantu kemenangan kerajaan Islam Najib. Ertinya duit ini  untuk PRU13. 

Sebagai bukti satu juta ringgit diberi kepada Shahril Samad YB Johor  Bahru. Dua juta ringgit untuk kerja politik  kawasan Ahmad Maslan. Dua-dua penyokong Najib mengakui telah menerima duit sedekah Tok Arab ini.

Saya pantas mengambil kesempatan. Bila ada sangkut paut dengan pilihan raya maka  tajur saya mengena. Bersih terjerat. Saya mengolah persetujuan dengan membuktikan bahawa dana kemenangan Najib dalam PRU13 ditaja oleh dana  dari luar. 

Saya laungkan jika orang luar campur tangan maka Bersih wajib bertindak. Mamat dan Minah NGO yang non partisan yang mengaku lebih suci dari sabun Fab  tidak ada piihan tapi wajib menyokong. 

Meyokong apa? Sokong Bersih turun  ke jalan raya.

Tarikh dipilih. Saperti biasa - mengikut ajaran Mat Sabu kita ada tiga pilihan tempat berhimpun. Pertama Dataran Merdeka. Kedua Dataran Merdeka dan Ketiga Dataran Merdeka. Datuk Bandar  dan Ketua Polis Dang Wangi boleh melompat dan mengambur untuk membuat pilihan. 

Demo kali ini berlangsung selama dua malam. Satu pembaharuan. Tapi saya memerlukan lebih dari ini. Saya amat yakin jumlah yang  turun  akan melimpah. Kes 1MDB memang  menjadi umpan tajur. 

Rosmah dengan beg tangan Birkin memang menimbulkan kebencian. Najib dengan sedekah Tok Arab menjadikan hasutan saya bergetah dan melekat.

Tapi saya masih perlukan sesuatu pembaharuan. Dari pemerhatian saya rasa  Bersih3 ada  serangan ganas dari Najib. Jika ini berlaku sekali lagi  maka imej Bersih akan melambong tinggi. Media luar negara akan menjadi batu api.. Lagi ramai penunjuk perasaan kena gasak lagi rancak media  luar negara menyerang Najib. 

Saya  yakin akan fakta media luar ini. Hakikatnya satelah tulisan  Louise Story  muncul di NYT semakin banyak media luar negara merasa selesa untuk menibai Najib dan United Malays National Organisation.

Tarikh untuk Bersih4 makin hampir. Saya berbincang dengan Amin Blak yang menghubungkan saya kembali  dengan Orang Tun. Hanya satu permintaan dari saya -  meminta  Mahathir turun sama dalam Bersih 4.

Ini satu permintaan yang sukar. Sejarah telah merakamkan bagaimana pada  pagi Selasa  3  Disember  1974 saya telah menganjurkan demo kaum pelajar Universiti Malaya (UM) untuk menyokong kaum tani dan penoreh getah di Baling Kedah. 

Pada subuh Ahad 8 Disember 1974 soldadu dan polis menceroboh masuk ke dalam kampus UM dan Universiti Kebangsaan untuk menangkap pemimpin pelajar dibawah ISA. Ketika ini Mahathir ialah Menteri Pelajaran.

Mahathir Muhamad memiliki falsafah bahawa demo bukan budaya kita. Setiap kali Mahathir berucap dia akan mengeluarkan falsafah ini. Mengikut pandangan Mahathir keluar berdemo membuang masa. Justeru pelajar wajib menumpu pada pelajaran bukan berdemo.

Meminta Mahathir turun berdemo? Maknanya meminta  Mahathir belot?

Permintaan ini lebih sulit untuk dikabulkan  dari permintan hantaran  Puteri Gunung Ledang kepada Sultan Mahmud. Saya sedar hal ini. Selama ini Mahathir yang dicap Mahafiraun diera Reformasi  amat benci kepada tunjuk perasaan jalan raya.

Amat jelas Hishamuddin Rais dan Mahathir Muhamad dua sosok yang memiliki falsafah  yang berbeza-beza dalam hal tunjuk perasaan.  Saya percaya kepada politik jalan raya. Mahathir  benci dan menentang politik jalan raya.

Bersih secara resmi tidak mempelawa Mahathir untuk turun berdemo dalam Bersih4. Tapi saya secara gelap-gelap telah berunding dengan Orang Tun. Semua  ini saya lakukan tanpa pegetahuan anggota Pemandu Bersih. Saya sedar dalam kepimpinan Bersih ada beberapa Mamat Non Partisan. Justeru saya langkahi mereka.

Kali ini saya telah bekerjasama dengan Zaid Ibrahim sebagai orang perantaraan. Dari apa yang saya difahamkan Zaid ini boleh berhubung terus dengan Mahathir atau dengan tim Mahathir.
Pada 29 Ogos 2015 jam 3 petang saya diberitahu oleh Zaid bahawa Mahathir akan turun pada jam 4.30. Desas desus Mahathir akan turun telah dicium oleh kepimpinan Bersih. 

Jika  Mahathir turun Bersih tidak dapat buat apa-apa. Justeru pimpinan Bersih memberi arahan  - no main stage for Mahathir -  Mahathir diharamkan naik pentas utama Bersih. Ini dasar Bersih pada ketika itu.

Lalu saya merancang dan meminta Mahathir datang ke wilayah LRT Masjid Jamek.Di sana ada pentas kecil. Saya memberi tahu rancangan ini kepada Tian Chua. Bila Mahathir sampai kami akan laungkan - Tun Tun Tun… saya cukup yakin para demonstran akan ikut sama melaung. Laungan ini adalah  desakan orang ramai  untuk memanggil Mahathir berucap dipentas kecil atas Jalan Tun Perak.

Saya juga memanggil Ibrahim Haris juru video  Reuters. Sebelum bekerja dengan Reuters si Brahim ini adalah graduan Universiti Bangsar Utama. 

‘ Kamu nak scoop… tunggu disini.. Mahathir akan datang… sediakan kamera kamu….’ Khalas.

Jam 4 lebih Mahathir sampai ke Pasar Seni.  Brahim, Tian Chua dan saya menunggu di Jalan Tun Perak disebelah Mahkamah lama.Tapi Mahathir tidak muncul-muncul. 

Ombak orang ramai menggila. Kami berasak-asak. Ribuan penunjuk perasaan ini telah mengagalkan Mahathir dari  berjalan dari Pasar Seni ke LRT Masjid Jamek. Media dan orang ramai berpusu-pusu datang untuk  melihat Tun. Projek saya untuk memberi Mahathir berucap di Masjid Jamek gagal.

Gagal? 

Tidak saya tidak gagal. Sejarah  membuktikan saya telah berjaya menghasut Mahathir. Pada 29 Ogos 2015 Mahathir Muhamad telah belot. Mahathir dalam usaha untuk menjatuhkan Najib telah menerima  hakikat bahawa  politik jalan raya adalah salah satu cara untuk menjatuhkan kerajaan zalim. 

Sejarah merakamkan bagaimana pada  petang Sabtu  24 Oktober 1998 saya telah ditahan dihadapan Sogo.  Esok di muka hadapan Mingguan Malaysia - Perdana Menteri Mahathir Muhamad telah menuduh saya sebagai dalang  gerakan Reformasi.

Di Bersih4 Mahathir belot demi kepentingan negara. Mahathir telah meninggalkan falsafah - demo bukan budaya kita. Kini demo telah menjadi budaya politik kita. 

Untuk saya ini kemenangan pribadi. Selama ini saya dicap sebagai musuh negara kerana saya percaya kepada jalan raya. Saya bukan saja menganjurkan  politik jalan raya malah saya menghasut melalui tulisan tentang falsafah politik jalan raya.

Esoknya hari kedua Bersih4  - pada petang Ahad 30 Ogos 2015  Mahathir turun sekali lagi ke jalan raya. Sah  dan saheh Mahathir telah belot. Sah dan saheh Mahathir menerima hakikat bahawa politik jalan raya adalah budaya kita. Lepas belot ini nak buat apa? Tunggu minngu depan.  (tt)


NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanggan 
akhbar mingguan ini
sila pukul talipon
03-92-21-10-45
 







-----------------------

4 ulasan:

Awanama berkata...

Ko ni sama perangai ke susah sgt nak bagitahu sapa mat songel. Pusing sana, pusing sini. Direct YES or NO la brader TT

Awanama berkata...

Benda yang sama je ulang2 macam astro lak rase. . Bukan tt tak percaya pilihanraya ke? Tt sendiri x undikan ? Kah kah kah~

panglimo potaseh berkata...

Dari Mahafiraun jadi Mahabelot ..dari 2 tahun jadi 1 penggal .. dari 1 jadi 2 penggal .. Mahajadi. Nasib kamu lah Abam Nuar sentiasa membontot Tun M .. janji duo-duo raso ngilu dan sodap?

Awanama berkata...

Boleh caya ke artikel ko tulis ni..? Tun M ka Mat Sabu ka x pernah pun sejak menang PRU ada bagi kredit kat ko.. angkat bakul sendiri ka?