Jumaat, 27 Mac 2020

JANGAN DEGIL IKUT ARAHAN







AKIBAT DEGIL
 

4 lelaki ingkar PKP dipenjara sebulan


EMPAT lelaki dihukum penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret Selayang hari ini kerana berada dalam kawasan jangkitan tanpa alasan munasabah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan mulai 18 Mac lepas susulan penularan wabak Covid-19. 

Majistret Nur Hafizah Rajuni menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Faiz Aiwan Muhamad Saffei, 21, penghantar makanan dan juga P. Prathabh, 32,  B. Sinniah, 37, serta  Liew Kok Leong ,41, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Mahkamah memerintahkan kesemua mereka menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada 23 Mac lepas.

Mengikut pertuduhan, mereka masing-masing didakwa dengan sengaja telah berada dalam kawasan tempatan jangkitan tanpa sebarang alasan munasabah yang mereka sepatutnya berada di dalam rumah di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang sedang berkuat kuasa mulai 18 Mac 2020 hingga 14 April.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di jalan utama Taman Indah Perdana Kepong pada 5 pagi 23 Mac lepas.

Kesemua mereka dituduh mengikut Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, yang boleh dihukum di bawah Perkara 7 Peraturan sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Shasha Hidayah Nor Azahar memohon hukuman berbentuk pengajaran memandang kes Covid-19 semakin tinggi malah kerajaan telah berusaha keras untuk membendung wabak ini daripada terus berleluasa.

“Saya memohon hukuman berbentuk pengajaran supaya masyarakat tidak mengambil mudah tentang perintah kerajaan supaya duduk di rumah sepanjang tempoh PKP ini,“ katanya.

Muhammad Faiz Aiwan juga dihukum penjara dua bulan selepas mengaku bersalah atas tuduhan menghalang penjawat awam iaitu anggota polis ketika menjalankan tugas di kawasan Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) pada 1.45 pagi, 23 Mac lepas mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Mahkamah memerintahkan bapa anak dua itu menjalani hukuman penjara bermula tarikh tangkap 23 Mac lepas.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian Muhammad Faiz Aiwan yang memandu kereta telah ditahan pihak polis bagi tujuan pemeriksaan semasa sekatan jalan raya, namun tertuduh telah merempuh palang tol dan melanggar tembok pembahagi jalan.

Pada prosiding hari ini, hanya beberapa media dibenarkan memasuki bilik bicara mahkamah untuk mendengar prosiding tersebut dan berikutan perintah PKP itu mahkamah menghadkan bilangan untuk memasuki mahkamah.

Orang awam tidak dibenarkan masuk dalam mahkamah.

Media juga diarahkan oleh polis mahkamah supaya memakai topeng muka dan duduk berjauhan antara satu sama lain. – Bernama, 27 Mac, 2020.


SEMUA UNTUK

KESELAMATAN

KITA BERSAMA




---------

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Aku sokong sangat warga degil ni disumbat masuk penjara. Depa bosan berkurung dlm rumah, biar depa berkurung dlm penjara pulak. Jenis bodoh, tak hargai langsung pengorbanan petugas keselamatan dan petugas kesihatan yg bertungkus lumus berjihad lawan covid19. Padan muka masuk penjara! Yg sekor tu bapa beranak dua. Sekarang apa jadi dgn keluarga kau? Bodoh!