MERAKAM SEJARAH
KITA BERKHALWAT
Saya menangguhkan semua siri tulisan Merkam Sejarah yang bersangkutan dengan keadaan politik tanah air sesudah Mahathir meletak jawatan. Pada hemat saya - pada saat dan ketika ini saya memaksa diri saya untuk menulis, merakam dan memberi pendapat tentang kaeadaan negara kita yang sedang diserang oleh Virus Karona – COVID-19.
Saya mahu merakam sejarah yang saya anggap lebih besar dari pertukaran pentabiran kerajaan. Yang lebih besar dari Perdana Menteri baru. Yang lebih besar dari segala-segala yang besar yang pernah kita ketahui dahulu.
Saya menerima satu pesanan ringkas dari Rahmat Harun kawan dan juga penyunting di portal MalaysiaKini. Isinya pendek padat dan amat amat mengejutkan. Pesanan ringkas itu berbunyi: THE GREAT RESET - terjemahan dalam bahasa Melayu berbunyi : semuanya sekali lagi akan diubah.
Pesanan ringkas ini memaksa saya befikitr. Pesanan ringkas ini memaksa saya melihat diri. Melihat makna kehidupan. Mencari makna perjalanan hidup dalam dunia ini. Melihat dan menilai modeniti. Melihat dan menilai politik. Memikirkan apa saterusnya. Saya jangka perasaan sademikian bukan saya seorang sahaja yang merasakannya.
Anak semua bangsa dibumi manusia pada bulan March 2020 ini pasti sama saperti saya – bertanya, befikir, bertanya apa sesudah ini.
Ketika saya mengetik tulisan ini Malaysia telah memasuki hari ke enam berkurung. Saya mengunakan perkatan berkhalwat. Anak semua bangsa – warga semua agama diminta oleh kerajaan untuk duduk berkhalwat dirumah.
Berkhalwat dari padangan agama dan budaya Melayu kita seharusnya menjadi tenang. Merehatkan jiwa dari alam maya. Tetapi berkhalwat pada bulan March 2020 ini tidak sama saperti Hang Tuah berkhalwat sebelum dan sesudah bertikam dengan Hang Jebat.
Berkhalwat tahun 2020 - duduk dihadapan computer menjadikan jiwa gelisah. Amin.
Sayugia saya rakamkan bahawa berkhalwat ini bukan hanya kita di Malaysia malah seluruh dunia sedang berkhalwat. Virus Karona sedang mengampoh, mengamuk untuk menyerang penduduk dunia. Virus ini tidak mengenal Melayu, China , India atau Iban. Virus ini tidak mengenal ahli parti PKR, DAP, UMNO , BERSATU atau PAS.
Virus ini tidak mengenal tua muda sida pondan jantan atau betina. Tak kenal miskin kaya. Untuk Karona jika kamu duduk di Country Height Kajang atau di PPRT Kampong Kerinchi semua sama. Virus ini tidak mengenal alim beragama atau tak beragama. Tak mengenal Islam atau bukan Islam. Mangsa pertama di Malaysia seorang Padri manakala mangsa kedua seorang ahli Tabligh. Amin.
Dalam hikayat klasik Melayu yang kita baca kita akan bertemu dengan watak-watak yang menakutkan orang kampong. Kesah burung garuda datang menyerang hinggakan negeri menjadi padang jarak padang terkukur. Kesah naga masuk kampong mencari anak dara. Cerita kumpulan penyamun masuk kampong membunuh sesiapa saja yang cuba menghalang. Cerita seram Nenek Kebayan menjampi anak dara menjadi batu. Semua kesah-kesah ini menakutkan. Tapi Virus Karona lebih menakutkan dari serangan burung Garuda. Lebih menakutkan dari serangan pelisit dan polong. Virus Karona lebih menakutkan dari Raja Bersiong.
Yang amat-amat saheh menakutkan ialah kita semua diberi tahu bahawa pada ketika ini tidak ada ubat atau vaksin yang boleh melawan dan menumpaskan jangkitan virus ini. Amin.
Untuk tulisan pertama ini saya tidak akan menulis tentang asal usul virus Karona. Blog Tukartiub saya menerima banyak surat yang membocorkan pelbagai teori dan pendapat tentang virus ini. Ramai pembaca blog saya mengasak dan meminta saya menulis pencerahan.
Saya sedar dan faham atas segala permintaan ini. Malah saya juga membaca, meneliti dan mengkaji semua fakta yang bersangkutan dengan virus ini. Saya menyelongkar dan mengeledah pebagai laman dan portal yang menulis tentang Karona.
Saya tahu apa yang saya tahu. Saya juga ada pandangan. Saya tahu apa itu biological warfare – perang bioloji. Saya tahu dimana letaknya Wuhan. Saya tahu apa makna imperialisma. Saya tahu peranan modal.
Tetapi buat masa ini pada hemat saya pencerahan jalur ini tidak akan memberikan apa manafaat kepada kita semua. Saya mengharapkan kita semua – anak semua bangsa – warga semua negara – bangsa semua agama selamat dari serangan virus ini. Keselamatan umat manusia untuk terus hidup pada ketika ini pada hemat saya adalah ajenda numero uno – ajenda utama.
“ If the epidemic continues its mathematical rate of acceleration, civilisatioan could easily disappear from the face of the earth within a few weeks… kalau epidemic ini berterusan dengan jumlah hitungan kematian meningkat dalam beberapa minggu umat manusia akan lupus dari muka bumi ini”. Kata-kata dari Victor Vaughan Surgeon General Tentera Amerika. Surgeon General ialah sosok perubatan yang tertinggi dalam ranking bala tentera Amerika.
Ucapan ini dilaporkan pada bulan Oktober 1918 ketika Spanish Flu sedang memuncak menewaskan tentera dalam Perang Dunia Pertama. Spanish Flu ini dilaporkan membunuh lebih dari 50 juta warga Eropah. Flu ini membunuh kedua-dua pasokan soldadu yang sedang berperang dan merabak ke penduduk di Eropah. Ianya hanya dapat dialahkan pada bulan Disember 1920.
Membaca sejarah Spanish Flu ini menjadikan saya takut.
Takut! Arwah Emak dan arwah Abah saya pernah bersurah tentang takut. Mereka merasa takut ketika Jepun melanggar Tanah Melayu dalam perang dunia ke dua. Pada 8 Disember 1941 soldadu Jepun mendarat di Kota Baru. Saya belum lahir lagi.
Keluarga saya pada ketika itu duduk Kampong Tengah Tengkek Negeri Sembilan. Ini wilayah yang dibuka oleh Tok Sidek ayah kepada Zaleha Sidek dan datuk kepada Hishamuddin Rais.
Emak pernah bersurah bagaimana Abah mendirikan pondok dalam paya hutan rumbia dalam sawah. Emak dan Abah menyorokkan kakak saya kerana didesas desuskan soldadu Jepun akan menangkap budak perempuan. Ini hanya desas desus sama saperti desas desus watapps dan facebook hari ini.
Untuk jenerasi ibu dan ayah kita mereka telah mengalami perang dunia. Saya amat yakin masih ramai lagi otai otai yang pernah membesar ketika Jepun mengganas. Untuk otai yang muda pasti mereka ada mengalami perentah berkurung pada bulan Mei 1969.
Saya sendiri pernah dua kali mengalami berkurung. Kali pertama pada tahun 1953 ketika saya berumur 4 tahun. Emak kami seorang guru wajib berpindah dari Sekolah Tapak Jempol Kuala Pilah ke Sekolah Umum Kuala Klawang Jelebu. Pada ketika itu wilayah Jelebu diistihar kawasan hitam. Ini bermakna di wilayah Jelebu ramai Tentera Pembebasan Rakyat Malaya sedang aktif melawan soldadu Inggeris yang menjajah Tanah Melayu.
Saya masih ingat lagi pekan Kuala Klawang mendapat perentah berkurung dari Baginda Queen Elizebeth. Kuala Klawang telah dipagar dengan kawat berduri. Pagar berduri di Kuala Klawang hanya ada 3 pintu. Satu pintu masuk dari Jalan Seremban. Satu pintu keluar masuk ke Titi dan satu lagi pintu masuk keluar ke Peradong. Soldadu Ghurkha – soldadu upahan Baginda Queen – lengkap bersenjata mengawal pintu-pintu ini. Kami diwajibkan berada dalam rumah dari jam 6 petang hingga jam 6 pagi.
Soldadu Ghurka diarahkan untuk menembak mati sesiapa sahaja yang didapati keluar dari rumah ketika waktu berkurung. Hingga ke hari ini pada tahun 2020 setiap kali saya melintasi tiga bekas tapak pintu ini ingatan saya akan datang kembali. Pacaran imej soldadu Ghurkha yang lengkap bersenjata akan segar bermain dikepala.
Dipintu ada khemah khas. Perampuan dibawa ke bilik khas untuk diraba badan agar tidak menyorokan apa-apa – senjata atu makanan. Saya yag memerhati apa yang berlaku akan setia menunggu bila emak saya dipereksa oleh soldadu.
Berkurung ketika itu selain dari tidak boleh keluar rumah makanan warga daerah Jelebu dicatu. Setiap anggota rumah dikira. Berapa kati gula, berapa gantang beras, berapa botol minyak kelapa semuanya ditetapkan oleh Baginda Queen. Satu keluarga memiliki satu permit untuk membeli barang-barang ini. Tanpa permit barang makanan tidak dapat dibeli. Susu tin – cap teko - dan apa saja barang dalam tin akan ditebuk dahulu. Semua ini bertujuan agar gerila Parti Komunis Malaya akan mati kelaparan tanpa penyokong dapat menghantar makanan.
Makanan ke Jelebu akan dihantar melalui ‘convoy’ pada hari Rabu. Lori lori membawa makanan ini datang dari Seremban akan melintas Bukit Tangga. Wilayah hutan yang dikedalikan oleh gerila anti Baginda Queen. Di hadapan dan belakang lori makanan ini ialah kereta perisai soldadu Ghurkha. Convoy ini dikawal ketat oleh soldadu yang lengkap bersenjata.
Rumah kami – kuater guru – betul betul dua ela dari laluan pagar berduri. Malah saya kerap bermain dengan arwah abang saya ditepi pagar berduri ini. Kami amat takut jika terusik pagar atau guli kami terlepas ke luar pagar.
Saya masih ingat lagi tentang takut. Diwaktu malam setiap kali ada ‘ bunyi diluar kebiasaan ‘ mata kami sakeluarga akan berpandangan. Apakah bunyi itu? Apakah Ghurkha sedang berjalan memereksa pagar. Atau gerila anti soldadu Queen sedang beroperasi. Dalam rumah sekeluarga diam senyap.
Kali kedua saya mengalami berkurung ialah pada bulan Mei 1969. Ketika itu saya belajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar. Setiap pagi Senin semua murid akan berkumpul dalam Dewan Hargreaves. Diatas pentas ialah guru besar dan jemaah guru-guru duduk beratur. Guru besar akan berucap. Dormitori terbaik akan mendapat hadiah. Juga nama-nama murid ‘nakal yang yang akan masuk DC - detention class - akan diumum. Bila nama disebut diumum maka murid ini akan ‘bangun malu’ untuk dilihat oleh 500 kawan-kawan sekolah. Mereka yang kena DC tidak dibenarkan keluar ke pekan Kuala Kangsar dihujung minggu. Mereka dikurung dalam kawasan sekolah.
Tetiba pada Jumaat 16 Mei 1969 semua murid diarah berhimpun di Dewan Hargreaves. Saya hairan dan tertanya-tanya. Apa terjadi. Senin 12 Mei kami telah berhimpun. Kenapa minggu ini berhimpun sekalI lagi pada hari Jumaat.
Bila kami masuk ke Dewan Hargreaves maka saya lihat semuanya berlainan. Ini bukan himpunan biasa. Saya masih ingat lagi dibarisan depan ialah OCPD Kuala Kangsar dengan pakaian seragam polis. Tuan Pegawai Daerah, Megat Khas Pengerusi Kolej Melayu dan Dr Underwood ahli Majlis sekolah.
Guru Besar Aziz Ismail memberi taklimat tentang apa yang berlaku di Kuala Lumpur. Pengerusi Kolej Melayu Megat Khas berucap pendek. Kami diberitahu darurat telah diistihar. Parlimen telah digantung. Kami pelajar Kolej Melayu diminta awas berjaga jaga. Makanan akan dicatu. Tapi semua sedang diusahakan.
Ini berkurung pada tahun 1969. Kami tidak ada radio. Akhbar terputus semenjak 14 Mei. Kuala Kangsar yang jauh dari Kuala Lumpur menjadikan suasana tidak tegang. Komunikasi yang terputus tidak menambah keruh keadaan. Pada March 2020 semua ingatan ini datang kembali.
Berkurung kali ini saya bukan di West Wing Dorm19. Saya di Brickfeild. Saya telah berkhalwat semenjak arahan dibuat. Kali ini bukan arahan Megat Khas Pengerusi Kolej Melayu. Bukan arahan OCPD Kuala Kangsar. Bukan kerana pergaduhan Melayu China. Bukan berkurung di pekan Kuala Klawang Jelebu kerana gerila PKM sedang membantai soldadu Baginda Queen. Bukan. Bukan. Bukan.
Kali ini saperti pesanan ringkas dari Rahmat Harun – The Great Reset – sedang berjalan. Virus Karona sedang menyerang. Apa seterusnya. Tunggu minggu hadapan untuk sambungan.( TT)
----------
Tiada ulasan:
Catat Ulasan