Deepavali disambut meriah seperti sebelum pandemik Covid-19
Kemeriahan sambutan pesta cahaya itu turut dirasai warga Switzerland, Edward McCulhy, 38, yang mengunjungi Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves.
“Saya baru tiba di sini (Malaysia) beberapa hari lalu dan apa yang boleh saya katakan, Malaysia sangat menarik dan berwarna-warni dengan makanan, masyarakat serta perayaannya. Ini peluang untuk saya merasai pengalaman meraikan Deepavali,” katanya yang sedang bercuti di Malaysia selama dua minggu.
Perayaan itu juga memberi peluang buat mereka yang menyambutnya untuk berkumpul dengan saudara-mara dan jiran tetangga tanpa mengira kaum sambil menikmati pelbagai juadah termasuk kari ayam dan kambing, muruku serta manisan.
N Munisamy, 44, yang ditemui di kediamannya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Belakang Bomba di Gua Musang, Kelantan berkata dia mengadakan rumah terbuka untuk rakan Cina dan Melayu sebelum berkunjung ke rumah rakan serta keluarga lain pada sebelah petang.
Lee Man Theng, 41, pula melahirkan rasa gembira apabila dapat menghadiri rumah terbuka Deepavali rakannya itu dan merasai sendiri semangat Keluarga Malaysia.
Di Kota Kinabalu, Sabah pula, lebih 600 masyarakat pelbagai kaum dan agama memeriahkan sambutan Deepavali anjuran Persatuan Kuil Hindu Kota Kinabalu dan Kuil Sri Pasupathinath Alayam di Bukit Padang dengan pelbagai juadah dihidangkan kepada tetamu.
Sementara itu, sambutan Deepavali sedikit terjejas berikutan penduduk di beberapa kawasan di daerah Kota Setar, Kedah mengalami gangguan bekalan air sejak semalam.
S Darshini, 33, yang ditemui di Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam berkata keluarganya terpaksa menempah beberapa jenis makanan dan kuih kerana tidak dapat memasaknya sendiri akibat tiada bekalan air di rumah yang terletak di Taman Mergong. – Bernama, 24 Oktober, 2022.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan