Sabtu, 12 Ogos 2023

KERAJAAN ANWAR DI NILAI



PRN 6 negeri, referendum terhadap kerajaan Anwar

Kurang setahun pentadbiran kerajaan campuran, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berdepan dengan cabaran terbesarnya di enam negeri yang menjadi medan tempur politik bersempena Pilihan Raya Negeri (PRN) hari ini.

PRN di Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu dilihat sebagai satu referendum penerimaan rakyat terhadap Anwar dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang kini bergabung dengan Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, perhatian tertumpu kepada Selangor, negeri terkaya di Malaysia yang menyaksikan kemaraan Perikatan Nasional (PN) di beberapa kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Sebanyak 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menjadi perebutan yang bakal menyaksikan sama ada kerajaan negeri di bawah pimpinan menteri besar sementara Amirudin Shari kekal atau bertukar tangan.

Pertukaran kerajaan di Selangor, menurut beberapa pemimpin PN, akan mengakibatkan pertukaran kerajaan pusat di Putrajaya.

Misteri undi BN, undi kaum bukan Melayu

Beberapa dinamik perlu diperhatikan dalam PRN kali ini yang menjadikannya unik dan berbeza berbanding PRU15.

Antaranya ialah faktor pemindahan undi penyokong BN kepada PH.

Ini kerana berdasarkan laporan di peringkat akar umbi, BN khususnya Umno masih tidak dapat menerima keputusan parti itu untuk bergabung dengan PH yang menjadi musuh ketat selama ini.

Selain itu, pengundi bukan Melayu yang sejak lebih sedekad lalu dianggap deposit tetap PH tampak lebih fleksibel sehingga menggusarkan DAP.

Prospek DAP dan PH yang mahu terus mendominasi golongan itu, terutama di Selangor tidak nampak begitu baik.

Faktor kemasukan parti Muda ke gelanggang pertempuran, selain pergolakan dalaman DAP Pulau Pinang membabitkan beberapa pemimpin etnik India mungkin mengakibatkan PH tidak lagi boleh mendabik dada mengenai monopoli undi kaum bukan Melayu.

Helikopter Anwar, angkat tangan Sanusi

Kedua-dua blok turut menampilkan peribadi dan karisma pemimpin utama mereka sebagai “unique selling point”masing-masing.

Wajah Anwar terpampang di papan-papan iklan seluruh negara selain program-program jelajah di keenam-enam negeri.

Langkah agresif ini sebenarnya bermula lebih awal, iaitu ketika kerajaan pusat mengadakan rumah terbuka Aidilfitri membabitkan enam negeri yang terlibat PRN.

Perdana menteri ke-10 itu tampak bersungguh-sungguh berkempen Selangor dan Kedah, yang mana sepanjang tempoh ini beliau menggunakan helikopter milik kerajaan untuk memudahkan pergerakan beliau.

Anwar turut mengumumkan apa yang disifatkan pengkritik sebagai “gula-gula” PRN kepada penjawat awam.

Pesawah yang berada di utara negara juga menjadi segmen tumpuan beliau yang mengumumkan kenaikan subsidi padi kepada RM500 untuk satu tan.

Ceramah Grand Finale ahli Parlimen Tambun itu di Padang Keramat AU2 Khamis malam lalu yang penuh dengan kemeriahan adalah simbolik kepada keinginannya mematikan karier bekas protegenya, Mohamed Azmin Ali yang bertanding di Hulu Kelang.

Di sebelah PN, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mendapat gelombang tersendiri apabila didakwa di mahkamah di bawah Akta Hasutan.

Cara angkat tangan beliau selepas kesnya dibicarakan menjadi bahan kempen dan mencipta gelombang tersendiri.

“Panglima perang” PN itu menjadi watak utama yang bertempur dengan menteri-menteri persekutuan seperti Rafizi Ramli dan Saifuddin Nasution Ismail berhubung beberapa isu antaranya projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim dan elemen nadir bumi.

Sanusi yang terkenal dengan gaya “selamba” dan “kasar” itu berjaya membangkitkan semangat rakyat Kedah yang mungkin berasa negeri Jelapang Padi itu tidak dilayan dengan baik oleh persekutuan. 

Beliau tidak hanya popular di Kedah, malahan namanya yang sentiasa meniti di bibir pimpinan PH menyebabkan status beliau menjadi seakan pemimpin nasional, dan strategi ini mungkin makan diri untuk PH.

Kontroversi Amirudin, manifesto PN

Di Selangor, beberapa isu menjadi hangat antaranya projek pembinaan Laluan Rel Keretapi Pantai Timur (ECRL) termasuk di Gombak, kawasan di mana Amirudin berkubu.

Amirudin yang mempertahankan kerusi DUN Sungai Tua itu juga terbabit kontroversi projek Selangor Maritime Gateway, iaitu projek bernilai RM10 bilion dengan 600 ekar tanah di sepanjang Sungai Kelang mungkin diberikan kepada pemaju swasta.

Beliau kelihatan tekad untuk mengekang gelombang PN dengan memperkenalkan slogan “Arus Merah Kuning” sebagai jenamanya di Selangor.

PN Selangor di bawah Azmin menggembleng sepenuh tenaga untuk menawan Selangor, dengan tekad ingin menafikan ramalan pemerhati bahawa negeri itu mengekalkan status quo di bawah PH.

Gabungan tersebut yang menyasarkan sekurang-kurang 33 kerusi di Selangor mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM2 bilion sebagai tawaran kepada pengundi di Selangor.

Saman-menyaman

Selain isu nasional dan isu tempatan, kempen sepanjang dua minggu itu turut diwarnai dengan tindakan saman-menyaman antara pimpinan utama kedua-dua blok yang bertanding. 

Antaranya Anwar yang menyaman bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin pada hujung Julai lalu yang mana pengerusi PN itu turut mengemukakan saman kepada Anwar membabitkan isu pelupusan hutang Felda. 

Sanusi menghantar surat saman kepada Saifuddin Nasution awal bulan ini berhubung dakwaan salah peruntukan dana Sistem Maklumat Rekod-rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) dan isu sumber nadir bumi (REE).

Sanusi pula disaman oleh Amirudin dan taikun Berjaya Group, Vincent Tan berhubung kenyataan pengarah pilihan raya PN itu mengenai projek SMG.

Sementara Amirudin disaman oleh aktivis politik Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard selepas beliau mendakwanya boleh dibeli.

Pengerusi DAP Lim Guan Eng pula menuntut Azmin memohon maaf berkait tuduhan “lansi” dan salah guna kuasa.

Pada PRN kali ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan 572 kertas penamaan calon diterima melibatkan keseluruhan 245 kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen Kuala Terengganu.


INI UJIAN

AWAL UNTUK

KERAJAAN ANWAR

AMIN

APAKAH LULUS

CEMERLANG

ATAU

GAGAL MELESET

AMIN

KITA NANTI

JAWAPAN MALAM

LEPAS JAM 8 

KHALAS

 

Tiada ulasan: