PN optimis menang, tiada debaran hendak kalah – Sanusi
SIK – Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor selesai membuang undi di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Beris Jaya, hari ini bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri.
Sebaik tiba pukul 10.59 pagi, beliau yang ditemani isteri, Datin Seri Jusmalailani Jusoh bertemu ibunya, Meriam Ahmad, 73, yang tiba lebih awal membuang undi.
Seterusnya, Pengarah Pilihan Raya Negeri Perikatan Nasional itu menyertai orang ramai yang beratur untuk membuang undi di pusat mengundi.
Ketika ditemui media, Muhammad Sanusi gembira dengan sentimen yang ditunjukkan ramai pengundi apabila keluar pada awal pagi dan suasana berlangsung tenang.
“Saya minta pengundi keluar awal mengundi, keluar awal sikit, tengahari akan ramai, sebab ada cakap malas yang pagi ramai, yang penting datang undi jangan tertidur sudah. Cuaca elok ini,” katanya.
Ditanya harapan buat PN, Muhammad Sanusi yakin gabungan itu mencapai kemenangan besar malam ini.
“Alhamdulilah saya opitimis mencapai kemenangan dan debaran kalah itu tak ada, biasanya kalau kita tengok suasana berdebar-debar itu, kalahlah.
“Hari ini tenang, tengok perkembangan bukan tengok hari ini sahaja, dua tiga hari lepas lagi sambutan baik, saya harap, ia diterjemah di kertas undi,” katanya.
Sementara itu, pengundian bagi PRN Ke-15 DUN Jeneri menyaksikan pertembungan satu lawan satu membabitkan Muhammad Sanusi sebagai penyandang dan calon Barisan Nasional (BN), Muhamad Khizri Abu Kassim.
Sanusi memenangi kerusi Jeneri pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) selepas menewaskan penyandangnya, Mahadzir Abdul Hamid dan calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Nazri Abu Hassan dengan majoriti 2,455 undi.
DUN Jeneri mempunyai 35,079 pengundi berdaftar dengan lebih 90 peratus adalah kaum Melayu. –
Tiada ulasan:
Catat Ulasan