Hamas mahu tarik diri daripada rundingan gencatan senjata Gaza
GAZA: Seorang pegawai kanan Hamas memberitahu AFP hari ini bahawa kumpulan pejuang itu menarik diri daripada rundingan mengenai gencatan senjata di Gaza.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas menyaksikan 'pembunuhan beramai-ramai penduduk Palestin yang berterusan' dan sikap Israel setakat ini dalam rundingan menerusi negara pengantara Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat (AS).
Pegawai kanan itu berkata, pemimpin politik Hamas Ismail Haniyeh telah memberitahu pengantara antarabangsa mengenai 'keputusan untuk menghentikan rundingan kerana kekurangan kesungguhan pendudukan (Israel)'.
Tambah beliau, dasar penangguhan dan halangan yang berterusan serta pembunuhan beramai-ramai yang berterusan terhadap orang awam yang tidak bersenjata tidak menunjukkan keikhlasan regim Yahudi itu
Dalam perkembangan lain, seorang pegawai tertinggi Hamas hari ini berkata ketua tentera kumpulan itu Mohammed Deif, dalam keadaan 'baik' walaupun ada percubaan Israel untuk membunuhnya dalam serangan udara.
"Komander Mohammed Deif menyelia dengan baik dan terus operasi sayap tentera Hamas," kata pegawai itu kepada AFP.
Israel melancarkan serangan pengeboman besar-besaran ke atas kem pelarian di selatan Gaza pada Sabtu, yang dikatakan sebagai percubaan untuk membunuh Deif. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan