Dr Mahathir
100 Tahun
HARI ini, 10 Julai 2025, Dr Mahathir bin Mohamad menyambut ulang tahun kelahiran beliau yang ke-100. Beliau dilahirkan pada 10 Julai 1925 di Kampung Seberang Perak, Alor Setar, Kedah.
2. Alhamdulillah, Allah Taala memberikan umur yang panjang, kesihatan yang baik dan ingatan yang tajam kepada beliau. Dalam dunia yang ada 8.2 bilion manusia, hanya 722,000 berumur 100 tahun ke atas pada tahun lepas.
3. Bersama umur yang panjang itu, Tuhan berikan ujian dan tanggungjawab yang berat. Beliau dipuji, dikeji, disanjungi dan dibenci. Beliau tidak membenarkan semua itu menjadi khayalan atau halangan. Baginya, perjuangan wajib diteruskan.
4. Beliau menjawab puji-pujian, kejian dan makian dengan pena yang tidak pernah kering dakwatnya.
5. Beliau adalah doktor, penulis, pemimpin dan mentor bagi semua yang mahu belajar dan tahu bersyukur. Beliau adalah musuh durjana yang maha zalim dan maha firaun bagi yang hidupnya sentiasa dalam dendam dan ketakutan.
6. Pada hari ulang tahun kelahiran beliau yang ke-100 ini, tentulah banyak orang akan menulis dan bercakap mengenai Dr Mahathir yang mereka kenali, sama ada dari dekat atau jauh.
7. Izinkan saya menulis cerita saya tentang Dr Mahathir yang saya kenali sebagai doktor yang merawat kudis buta, demam dan lelah saya, Ahli Parlimen kampung saya, kolaborator dalam dunia politik dan penulisan, bersetuju dan berbeza pandangan. Dua insan yang berjanji akan selama-lamanya berkawan. Terima kasih.
8. Saya berusia 17 tahun apabila Dr Mahathir datang ke kampung saya, Tanah Merah, Mukim Guar Kepayang, Pendang, Kedah, pada tahun 1964 untuk bertanding Pilihan Raya Umum buat kali pertama.
9. Ketika itu beliau berusia 39 tahun. Perdana Menteri waktu itu, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra, telah memilih beliau untuk mewakili Parti Perikatan mempertahankan kerusi Parlimen Kota Star Selatan daripada Parti Islam Se Malaysia (Pas).
10. Rumah keluarga saya adalah antara tempat permulaan (staging point) kempen beliau. Ini adalah kerana ayah saya, Almarhum Jasin bin Tahir, adalah ketua tempatan Umno. Sejak waktu itu lagi, beliau sentiasa ditemani oleh Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali. Pasangan yang tidak boleh dipisahkan.
11. Pada usia 17 tahun, saya sudah faham sedikit sebanyak tentang politik kerana membaca mengenai Sukarno, Hatta, Mao Zedong, Zhou Enlai, Jomo Kenyatta, Kwame Nkrumah, Che Guevara, Fidel Castro, Ho Chi Minh, Marshall Tito dan Gamal Abdel Nasser melalui akhbar Straits Times, Utusan Melayu, Straits Echo dan Warta Negara serta majalah Mastika dan Dian.
12. Kempen dari kampung ke kampung dan rumah ke rumah dilakukan pada waktu malam, selepas sembahyang Isyak. Siang hari, orang kampung, lelaki dan perempuan, keluar ke bendang, kebun getah dan huma.
13. Seperti Dr Mahathir ceritakan sendiri dalam tulisan dan ucapan beliau, mereka keluar berkempen berambut hitam. Apabila balik, rambut perang disebabkan debu jalan tanah merah. Kalau nasib tidak baik, bau busuk dibaling telur kemuruk.
14. Dalam PRU 1969, Dr Mahathir mempertahankan kerusinya. Pas menghantar tokoh besar dari Pulau Pinang, Almarhum Yusof bin Abdullah atau lebih terkenal dengan gelaran Yusof Rawa bagi mencabarnya.
15. Kempen cukup sengit dan panjang. Pas mula menggunakan taktik mengkafirkan ahli Umno dan penyokong Perikatan. Dr Mahathir pula mula digambarkan sebagai anti-Cina. Beliau tewas, Perikatan hampir hilang kuasa, 13 Mei meletus, Dr Mahathir tulis surat kepada Tunku Abdul Rahman dan dipecat daripada Umno.
16. Pada bulan September 1970, Almarhum Tun Abdul Razak Hussein menggantikan Tunku sebagai Perdana Menteri. Pada tahun 1972 beliau membawa Dr Mahathir balik ke dalam Umno dan pada tahun berikutnya melantik beliau menjadi Senator.
17. Dalam PRU 1974, Dr Mahathir menang tanpa ditentang sebagai calon Barisan Nasional di kawasan barunya, Kubang Pasu. Laluan mudah itu berlaku kerana Pas telah menyertai BN. Selepas menang, beliau dilantik ke jawatan kanan sebagai Menteri Pelajaran.
18. Apabila ditanya berkenaan usia beliau yang panjang, kesihatan yang baik dan ingatan yang jelas, beliau sering berseloroh mengatakan, beliau pandai memilih ibu bapa.
19. Ibu bapa beliau, Master Mohamad bin Iskandar hidup hingga 80 tahun, satu jangka usia yang panjang bagi orang Malaysia waktu itu. Begitu juga dengan bondanya, Wan Tempawan Wan Hanapi. Dr Mahathir adalah anak bongsu daripada sembilan adik beradik.
20. Falsafah hidup dan perjuangan beliau boleh disimpulkan dengan ungkapan bahasa Inggeris “sticks and stones may break my bones, but words will never hurt me.” Dalam bahasa Melayu, kayu dan batu mungkin mematahkan tulang-tulangku, tetapi kata-kata tidak akan melukakan hatiku.
21. Ada beberapa “pantang larang” apabila berbual dengan Dr Mahathir. Jangan bercakap tentang berhenti, bersara atau jadi orang tua kalau tidak mahu dijeling atau perbualan tiba-tiba terhenti. Bagi Dr Mahathir, berhenti, bersara dan menjadi orang tua tidak ada dalam khazanah kata. Usia hanya angka. Berjuang selagi terdaya.
22. Biar patah tulang dan calar-balar kulit dibelasah kayu dan batu, dicaci dan dimaki, Dr Mahathir Mohamad tidak akan berhenti. Penanya sentiasa mengalirkan tinta. Bukan untuk dipuja dan dipuji atau mencipta legasi tetapi kerana perjuangan yang tidak mengenal tempoh masa dan sempadan.
23. Selamat hari lahir Tun Dr Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah. Moga-moga terus diberkati dan dipelihara oleh Tuhan yang Esa.
Sekian. Terima kasih.
Oleh A Kadir Jasin
Gambar: Dalam renungan (in contemplation)


1 ulasan:
Pak kadiaq condong ke kanan. Pak isham condong ke kiri. Berganding bahu mengepal tangan mendobrak kehadapan, dalam satu barisan, demi kemanusiaan dan kebenaran.
Catat Ulasan