Protes di Indonesia bantah elaun perumahan ahli Parlimen AS$3,000 sebulan
JAKARTA: Ribuan rakyat Indonesia mengadakan protes membantah elaun perumahan baharu serta kenaikan elaun bulanan kepada ahli Parlimen ketika negara berdepan ketidaktentuan ekonomi dan langkah penjimatan kerajaan.
Elaun perumahan bulanan baharu sebanyak 50 juta rupiah (hampir RM13,000) untuk ahli Parlimen adalah hampir 10 kali ganda gaji minimum di ibu kota dan bandar terbesar Indonesia, Jakarta.
Elaun itu diumumkan beberapa hari selepas Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, menegaskan langkah penjimatan ketat dan perbelanjaan kerajaan yang lebih berkesan.
Justeru pengumuman itu dianggap 'tidak peka' oleh penganalisis serta rakyat biasa.
Selepas beberapa hari meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial, ribuan rakyat daripada kumpulan pelajar dan pertubuhan lain mengadakan protes di luar bangunan Parlimen di Jakarta.
Penunjuk perasaan turut menuntut pemansuhan beberapa undang-undang, termasuk yang memperluaskan peranan tentera dalam pentadbiran.
Mereka cuba merempuh penghadang besi dan konkrit menyebabkan pihak berkuasa bertindak balas dengan gas pemedih mata dan meriam air.
Beberapa peserta mendakwa mereka hadir kerana kecewa dengan sikap wakil rakyat yang seolah-olah tidak mempedulikan kesusahan rakyat biasa.
Ini kerana ramai masih berpendapatan kurang daripada 50,000 rupiah (RM12) sehari.
Gaji guru di negara itu pula hanya sekitar 1.2 juta hingga 7 juta rupiah (RM310 hingga RM1,814) sebulan.
Dalam pada itu, polis di Jakarta berjaya menahan penunjuk perasaan kira-kira 500 meter dari pintu utama Parlimen, namun mereka berkumpul semula beberapa jam kemudian.
Selepas itu, cubaan kedua dibuat untuk merempuh masuk dan sekali lagi pihak berkuasa melepaskan gas pemedih mata.
Tidak dapat dipastikan sama ada terdapat tangkapan atau kecederaan dalam tunjuk perasaan itu. Protes di Jakarta turut menyebabkan beberapa jalan ditutup serta perkhidmatan tren dan bas tergendala selama beberapa jam.
Penunjuk perasaan di beberapa bandar lain di seluruh Indonesia juga mengadakan demonstrasi serentak semalam.
Elaun ahli Parlimen itu diumumkan oleh Timbalan Speaker Dewan Perwakilan Rakyat, Adies Kadir, beberapa hari selepas Prabowo membentangkan Belanjawan tahun depan dalam ucapan sulung Kenyataan Negara pada 15 Ogos lalu.
Adies memberi penjelasan kepada media mengenai sama ada belanjawan Parlimen akan ditingkatkan tahun depan. Indonesia mempunyai 580 ahli Dewan Perwakilan Rakyat, iaitu dewan rendah yang lebih berkuasa.
Setiausaha Agung Dewan Perwakilan Rakyat, Indra Iskandar, sebelum ini pada Oktober tahun lalu berkata, ahli Parlimen tidak lagi disediakan kediaman rasmi kerana banyak rumah berkenaan sudah usang dan tidak sesuai diduduki.
Sebelum ini, mereka ditempatkan di sebuah kompleks perumahan berpagar yang dibina pada akhir 1980-an, kira-kira 10 kilometer dari bangunan Parlimen.
Ahli Parlimen kemudian memohon diberikan elaun tunai, dan Indra berkata jumlah elaun perumahan itu masih dalam perbincangan pada ketika itu.
Selain elaun perumahan, ahli Parlimen juga akan menerima kenaikan elaun beras daripada 10 juta rupiah (RM2,591) kepada 12 juta rupiah (RM3,109) sebulan, serta elaun bahan api daripada 5 juta rupiah (RM1,295) kepada 7 juta rupiah (RM1,814) sebulan.
Menurut kumpulan advokasi ketelusan, Fitra, tanpa elaun perumahan sekali pun, ahli Parlimen sudah pun memperoleh sehingga 230 juta rupiah (RM59,603) sebulan daripada pelbagai elaun dan bayaran kehadiran yang mereka layak terima. – AGENSI


Tiada ulasan:
Catat Ulasan