Israel mula gempur bandar Gaza selepas kerah tentera simpanan
BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata beliau mengarahkan tentera Israel menggempur bandar terbesar wilayah itu menjelang serangan besar yang dirancang.
Ia dilancarkan ketika rundingan segera bagi membebaskan semua baki tebusan Israel ditahan Hamas di Gaza masih berlangsung dengan negara pengantara Qatar dan Mesir dengan kerjasama Amerika Syarikat (AS),
Seruan untuk memulakan semula rundingan itu dibuat sehari selepas Kementerian Pertahanan meluluskan rancangan mengerah kira-kira 60,000 tentera simpanan bagi menawan Bandar Gaza, kubu terakhir Hamas.
"Saya datang untuk meluluskan rancangan tentera bagi menguasai Bandar Gaza dan menewaskan Hamas.
"Pada masa sama, saya mengarahkan rundingan segera untuk pembebasan semua tebusan kami dan menamatkan perang dengan syarat yang boleh diterima Israel.
"Kedua-dua perkara ini – menewaskan Hamas dan membebaskan semua tebusan – saling berkait," ," kata Netanyahu dalam satu kenyataan video ketika melawat ibu pejabat bahagian Gaza di Israel.
Beliau tidak memberikan butiran lanjut mengenai fasa seterusnya rundingan itu, namun tentera Israel dilihat sudah memulakan bedilan habis-habisan di wilayah yang belum dikuasainya di Gaza.
Pengantara dilaporkan menunggu sejak beberapa hari lalu untuk menerima maklum balas rasmi Israel terhadap cadangan gencatan senjata terbaru yang dipersetujui Hamas awal minggu ini.
Sumber Palestin berkata perjanjian baharu itu membabitkan pembebasan tebusan secara berperingkat, namun Israel bertegas semua tawanan mesti dibebaskan serentak.
Rancangan Israel memperluas operasi ketenteraan dan menawan Bandar Gaza mencetuskan bantahan antarabangsa serta penentangan dalam negara, dengan Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa (ICRC) menyifatkan langkah itu sebagai 'tidak dapat diterima'.
Penduduk Bandar Gaza sebelum ini berkata pengeboman berterusan sepanjang malam dtingkatkanm malah lebih hebat lagi kerap berbanding sebelum ini .
Sekumpulan wartawan AFP berhampiran sempadan Israel-Gaza menyaksikan serangan udara jet pejuang di pinggir utara Bandar Gaza semalam, dengan letupan besar diikuti kepulan asap tebal.
Beberapa letupan kecil berlaku selepas itu tetapi puncanya tidak dapat dipastikan. Serangan meningkat pada sebelah petang dengan beberapa letupan besar kedengaran berhampiran sempadan.
Ketua Turus Angkatan Tentera Israel, Eyal Zamir, memberitahu pasukannya seawal Khamis lalu bahawa metlamat sekarang ialah meningkatkan usaha operasi menuju ke Bandar Gaza.
"Kami sudah mempunyai pasukan yang beroperasi di pinggir bandar, dan lebih banyak pasukan akan menyertai mereka kemudian," kata Netanyahu dalam satu kenyataan video ketika melawat ibu pejabat bahagian Gaza di Israel.
Agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran rancangan Israel memperluas operasi ketenteraan di Bandar Gaza akan memberi 'kesan kemanusiaan amat dahsyat' terhadap penduduk yang sudah sedia tertekan.
Tentera Israel minggu ini turut memaklumkan petugas perubatan dan agensi bantuan di utara Gaza supaya membuat rancangan pemindahan serta mengalihkan peralatan mereka ke selatan.
Namun, Kementerian Kesihatan Gaza menolak arahan itu semalam dengan menegaskan tidak akan bersetuju dengan sebarang langkah yang melemahkan baki sistem kesihatan selepas kemusnahan sistematik dilakukan Israel.
Sumber Hamas dan sekutunya, Jihad Islam, memberitahu AFP cadangan gencatan senjata terbaru itu merangkumi pembebasan 10 tebusan dan 18 mayat dari Gaza.
Tebusan selebihnya akan dibebaskan dalam fasa kedua bersama rundingan penyelesaian lebih luas.
Agensi pertahanan awam Gaza berkata sekurang-kurangnya 48 orang terbunuh dalam serangan semalaman Israel di beberapa wilayah Palestin, termasuk sejumlah mangsa dalam serangan udara di Bandar Gaza. - AFP


Tiada ulasan:
Catat Ulasan