2 anggota tentera AS, orang awam terbunuh dalam serangan hendap Daesh di Syria
ISTANBUL: Dua anggota tentera Amerika Syarikat (AS) dan seorang orang awam terbunuh manakala tiga lagi anggota perkhidmatan cedera dalam serangan hendap Daesh di Syria, menurut Pemerintah Pusat AS (CENTCOM) semalam, lapor Anadolu Ajansi.
"Pada 13 Disember, dua anggota perkhidmatan AS dan seorang orang awam AS terbunuh, manakala tiga anggota perkhidmatan cedera akibat serangan hendap oleh seorang penyerang Daesh di Syria," menurut kenyataan CENTCOM yang dimuat naik di platform media sosial X.
CENTCOM memaklumkan penyerang berjaya ditumpaskan.
Ketua jurucakap Pentagon, Sean Parnell, berkata orang awam yang terbunuh itu adalah seorang jurubahasa AS.
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Syria, Nour al-Din al-Baba memberitahu saluran televisyen milik kerajaan Alikhbaria bahawa direktorat keselamatan dalam negeri sebelum ini mengeluarkan amaran kepada pasukan rakan kongsi di wilayah Badiya berhubung kemungkinan pencerobohan atau serangan Daesh.
Beliau berkata, pasukan gabungan antarabangsa "tidak mengambil kira amaran Syria mengenai potensi pencerobohan Daesh.
Menurutnya, seorang penyerang yang mempunyai kaitan dengan Daesh telah melepaskan tembakan di pintu masuk sebuah ibu pejabat keselamatan di kawasan gurun Palmyra.
Pihak berkuasa sedang mengesahkan sama ada penyerang itu mempunyai hubungan langsung dengan kumpulan berkenaan atau sekadar memegang ideologinya.
Laporan media sebelum ini menyatakan dua anggota keselamatan Syria turut cedera dalam serangan itu.
Tentera AS beroperasi di Syria sebagai sebahagian daripada gabungan antarabangsa menentang Daesh yang ditubuhkan di bawah pimpinan AS pada 2014.
Syria menyertai gabungan itu pada 12 November 2025.
Sejak penubuhannya, gabungan berkenaan telah melancarkan operasi ketenteraan terhadap Daesh di Syria dan Iraq, melibatkan beberapa negara, meskipun Damsyik sebelum ini bukan sebahagian daripada gabungan itu.
Sejak kejatuhan rejim bekas Presiden Bashar al-Assad pada Disember 2024, pentadbiran baharu Syria berusaha memulihkan keselamatan dan menstabilkan keadaan di seluruh negara.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan