.

Rabu, 30 Mac 2016

KATAK HIJAU SEKALI LAGI




K HIJAU ITU - SEKALI LAGI


Pada 5 May 2006 saya telah menulis tentang Katak Hijau. Tulisan ini telah tersiar dalam beberapa portal berita termasuk RiceCooker. Ini berlaku sepuluh tahun dahulu.

Dalam tulisan itu saya menulis tentang zaman saya membesar di Jelebu. Dizaman itu  dimana sahaja ada sawah, lubuk atau paya  pasti ada katak hijau. Katak hijau ini akan meloncat mengambor ketika saya memancing atau memasang tajur. Kadang kala saya terperanjat apabila dengan tetiba Sang Katak ini melompat ke dalam lubok. Ketika itu saya anggap Si Katak Hijau ini menggangu saya. 
Empat puluh tahun kemudian saya menulis tentang katak hijau ini bukan sebagai haiwan yang menggangu tetapi sebagai metapora terhadap iklim dunia dan perubahan cuaca di Malaysia. Semenjak  pulang ke tanah air satelah dua puluh tahun berkelana saya  tidak lagi dapat bertemu dengan katak hijau. Malah di Jelebu sawah padi telah tidak wujud.  Sawah padi dan katak hijau yang menjadi latar zaman kanak kanak saya telah hilang untuk selama-lamanya.

Iklim dan cuaca dunia telah berubah. Berubah dengan pantas. Perubahan inilah yang bertanggung jawab menghilangkan sawah dan katak hijau.

Bulan dulu saya telah pulang ke Jelebu untuk bermalam di Rumah Pusaka. Pelajar ilmu alam akan diberitahu bahawa wilayah Jelebu berlawanan dengan  wilayah Taiping. Jelebu ialah daerah yang paling kering di Malaysia manakala Taiping  yang paling basah.

Bayangkan apakah agaknya cuaca di Jelebu   pada bulan Febuari 2016. Siangnya  amat-amat kering lagi panas. Diwaktu malam cuaca berubah menjadi  amat-amat sejuk. Ini kesejukan malam yang berjaya membangunkan saya.  Dalam gelap saya meraba-raba  mencari kain selimut yang tebal. Lalu tercapai hamparan toto. Ketika dalam toto  yang membaluti badan,  saya teringat kembali malam-malam miskin  tanpa alat pemanas ketika berkelana di Eropah.

Justeru, saya tidak perlu menjadi pakar kaji cuaca atau ahli sains dengan ijazah yang berjela-jela untuk merumuskan bahawa cuaca dunia sedang berubah dan malapetaka sedang menunggu ditepi pintu. Hilangnya sawah dan katak hijau di Jelebu adalah panduan saya.

Pada satu ketika dahulu saya kagum dengan modeniti. Saya bersama merayakan modeniti. Malah saya menulis dan memberi pencerahan agar kita sesama menyambut dan merayakan modeniti.  Sekarang semuanya telah beralih. Pencerahan  telah sampai kepada saya.

Pada tahun 60’an diera Perang Vietnam. Dizaman zaman  rock n roll. Dizaman John Lennon dan Mick Jagger -  telah muncul satu kumpulan anak muda yang menimbulkan perbincangan  dan debat tentang alam sekitar. Anak-anak muda ini telah memecah ruyung untuk membuka wacana tentang gaya hidup moden. 

Anak anak muda ini megajukan satu gaya hidup alternatif.  Mereka mengkritik gaya hidup konsumer moden. Mereka menolak hidup yang berasaskan harta benda. Justeru gaya dan falsafah hidup mereka berlawanan  dengan gaya hidup masyarakat borjuis dalam arus perdana. Justeru mereka dihina, dijadikan bahan lawak dan diperlekah. Mereka diistilahkan sebagai Hippie. 

Satu ketika dahulu dalam tahun 1976  dalam kota Melbourne Australia saya ternampak satu grafiti ditembok bangunan Drummond Street. Terpampang tulisan : Pedal Power. Dalam bahasa Melayu bermakna kuasa kayuh. Pada ketika itu saya tidak faham apa makna grafiti ini.

Hari ini tahun 2016 saya telah mendapat pencerahan. Saya telah memiliki kefahaman tentang makna grafiti itu. Bila saya teringat akan grafiti itu  saya bertanya pada diri saya sendiri  apakah kita semua telah terlambat?

Dalam hati kecil saya bertanya jika pada tahun 1975  umat manusia ini berhenti sabentar dan melihat dan memahami grafiti yang saya terbaca di Melbourne - apakah katak hijau dan sawah padi akan  kekal di Jelebu? Saya tidak memiliki jawapan kepada soalan ini.

Yang dapat saya jawab ialah pada tahun 2016 saya bukan lagi anak muda. Saya juga tidak menjadi seorang hippie. Tetapi semenjak tahun 60’an lagi anak-anak muda hippie ini telah menerangkan bahawa gaya hidup moden kita ini  sedang membawa malapetaka. Mereka melaungkan pekara ini ke hulu ke hilir. Mereka bersuara sambil mencakar dinding dengan grafiti.

Ramai menjadi vegeterian makan sayur dan  menolak memakan apa sahaja bentuk daging dan hidupan. Mereka menubuhkan NGO Greenpeace. Mereka  berdemo  membantah kewujudan  Mc Donald.  Mereka membantah pembunuhan ikan paus.  Mereka melawan pembalakan yang menghancurkan alam. Mereka bangun melawan pembinaan empangan yang membunuh perjalanan air. Mereka mengajukan - pedal power - kayuh basikal sebagai cara bergerak.

Anak anak muda hippie ini secara jujur telah telah memberi ingatan kepada anak semua bangsa kita bahawa alam  bumi manusia ini dalam bahaya. Ingatan ini telah diberi  lebih dari 50 tahun dahulu.  Amaran ini muncul sebelum kelahiran  Siti Nurhaliza, Mawi atau  Kugiran Bangsart. Ini dizaman Kampong Pantai Dalam masih dipanggil Pantai Dalam dan bukan Bangsar South.

Anak muda  ini telah membuat tunjuk perassan. Mereka berdemo menentang siapa  dan apa sahaja yang dianggap pemusnah alam. Kilang, pabrik dan loji yang mencemar alam menjadi sasaran. Syarikat yang rakus memusnahkan alam sekitar dilawan. Negara pemilik kompeni pengotor alam diumumkan kepada dunia untuk diboikot.

Ramai anak muda ini  ditangkap dan dipenjara kerana mahu menyelamat  alam sekitar. Pada 10 Julai 1985 kapal Rainbow Worrior milik NGO Greenpeace telah diletupkan di perlabuhan Auckland New Zealand. Kapal ini membawa aktvis Greenpeace yang menentang percubaan peledakan bom nuklear Peranchis di Luat Teduh.  Greenpeace berpendapat ledakan bom nuklear ini akan mencemarkan laut dan bumi milik anak semua negara. Maka mereka berhak untuk membantah. 

Hasilnya - seorang jurugambar anak muda keturunan Belanda-Sepanyol gugur menjadi mangsa. Kapal Rainbow Worrior telah disabotaj. Hari ini fakta  membuktikan kerajaan Peranchis bertanggung jawab  melakukan  pengkhianatan ini.

Ditanah air kita sendiri seorang aktivis alam sekitar hilang. Anak kelahiran Swiss yang membantu pejuang Bangsa Penan di Serawak telah dilaporkan hilang pada 10 March 2005 yang lalu. Hingga ke hari ini kita  tidak mengetahui bagaimana anak muda ini ‘dihilangkan dan siapa yang menghilangkan’ Bruno Manser.

Semua yang belaku ini membuka mata hati saya untuk melihat kembali apa itu modeniti.

Dari pemahaman saya - modeniti mengajukan falsafah bahawa manusia dengan fikrahnya boleh menundukkan alam. Mengikut falsafah   ini manusia   hanya perlu mengkaji dan memahami hukum-hukum dan fitrah alam. Dengan segala ilmu pegetahuan  alam ini  dapat ditunduk atau dijinakkan. Alam yang  telah jinak boleh dikawal dan ditundukkan untuk  menjamin keselesaan kehidupanan umat manusia. 

Inti falsafah moden ialah : Manusia moden bukan hidup bersama alam tetapi memperhambkan alam. Tujuan alam ditunduk dan dijinakkan ialah untuk keselesaan hidup umat manusia.

Falsafah modeniti  dan ajaran modeniti ini cukup enak didengar. Malah selama lebih dari 200 tahun falsafah ini telah menjadi juru mudi dunia kita ini. Pada tahun 1781 James Watt di Birmingham England telah membakar arang batu untuk memasak air dan menimbulkan wap yang boleh mengerakkan injin. Inilah permulaan Revolusi Industri. Dari sinilah bermula gaya hidup moden.

Tetapi hari lebih dari 200 tahun sesudah  kelahiran kereta api kuasa wap hingga kemunculan LRT di Bangsar manusia moden sedang berhadapan dengan hutang piutang  yang wajib dibayar kepada alam. Jelas modeniti yang kita rayakan selama ini  bukan datang dengan percuma. Ianya wajib dibayar. Alam bumi manusia ini  sedang menuntut  anak semua bangsa  membayar hutang tersebut.
Pada 22 dan 23 March 2016 -  untuk pertama kalinya dalam sejarah Tanah Melayu dan Malaysia sekolah di Kedah dan Perlis telah ditutup kerana panas. Malah Kementerian Pelajaran membuat arahan jika panas melintas 37 Celcius maka sekolah akan terus ditutup. 

Pada tarikh yang sama juga cuaca alam yang panas ini telah menewaskan konstable Azizan Ayob - anak muda berumur 23 tahun. Anak muda ini telah meninggalkan  dunia di Hospital Daerah Segamat  akibat Luar Buasa Strok Haba ( Heat Stroke). 

Cuaca panas saperti yang kita alami  sekarang ini belum pernah terjadi di Malaysia. Malah suhu panas yang sedang melanda belum pernah berlaku dimana-mana dalam dunia ini. 

Pada tahun 2015 di Karachi  dan di wilayah Sind Pakistan lebih  kurang  2000 warga telah tewas apabila suhu panas naik mencecah 49 Celcius. Binatang dalam zoo dan binatang ternakan telah mati terhampar kerana panas. Manakala di India lebih dari  2500 telah tewas bulan Mei 2015 yang sama.

Hari ini ketika saya mengarap tulisan ini cuaca diluar bilik saya amat panas. Kipas saya berputar. Saperti warga dari Chuping Perlis yang mandi tujuh kali sehari akibat kepanasan saya juga melakukan pekara yang sama. Saya memakai celana pendek dan tidak berbaju untuk menghadapi cuaca ini.  

Minggu lalu saya terbaca satu tulisan tentang cuaca dari akbar The Guardian London. Mengikut laporan akhbar ini - dari kajian para ilmuan dan pakar cuaca pada bulan Febuari yang baru berlepas jumlah karbon dalam alam kita ini paling tinggi semenjak 66 juta tahun. 

Dari laporan National Oceanic and Atmospheric Administration NASA pula saya terbaca bahawa suhu kepanasan bumi dan laut telah naik sebanyak 2 darjah Fahrenheit. Ini satu rekod samenjak suhu dunia mula dicatat pada  tahun 1880.
Bila saya membaca semua ini saya teringat kembali kepada si Katak Hijau. Katak Hijau di Jelebu telah menjadi petanda  dan menjadi korban awal tentang kesampaian El-Nino. (TT)



NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanmggan akhbar minngun ini
sila pukul talipon
03-92-21-30-45

-----------

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

swemua kayak hijab mati kerana baja and rasen serangga nimia telah membunuh smeul....terima kasih Barisan Nasional

Tanpa Nama berkata...

Jangankan katak ijau.. katak puru pun banyak di Mesia ni TT ooi..

Sumer dah bermutasi dari jadi katak ijau.. bermutasi menjadi seekor Raja Katak Puru yg berperut boyot, hodoh lagi besarrr dan kini berligar2 mencari projek2 pink form dalam diam2.

nazrio dond dolla berkata...

umpan candat sotong
kataK hijau Ada di Pasir mas...
Haji hadi nak buat umpan candat sotong
Lah kah kah

D.Zin berkata...

Par Excellent article bro NGI.
Teruskan !

D.Zin berkata...

Par Excellent article bro NGI.


Teruskan!

peace,
Zain71