Ahli Parlimen Indonesia tangguh rancangan tukar undang-undang pilihan raya akibat protes
Ahli Parlimen Indonesia tangguh rancangan tukar undang-undang pilihan raya akibat protes bergejolak
JAKARTA: Timbalan Speaker Indonesia mengesahkan, badan perundangan Indonesia tidak akan meratifikasi perubahan peraturan pilihan raya sewaktu penggal kerajaan semasa berjalan, ketika demonstrasi di luar parlimen dan pasukan keselamatan terpaksa menggunakan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan penunjuk perasaan.
Sufmi Dasco Ahmad kepada Reuters, berkata perbincangan itu akan diteruskan dalam tempoh persidangan parlimen akan datang, bermakna ia tidak akan terpakai pada pilihan raya tahun ini atau di bawah pentadbiran Presiden Joko Jokowi Widodo, yang akan meninggalkan jawatan pada Oktober.
Pasukan keselamatan hari ini terpaksa melepaskan gas pemedih mata dan meriam air ketika penunjuk perasaan menceroboh dan membakar sebahagian pintu parlimen, manakala tunjuk perasaan juga berlaku di seluruh negara bagi menentang perubahan yang dirancang dalam undang-undang pilihan raya.
Sekutu parlimen Jokowi ketika ini berusaha untuk membatalkan keputusan mahkamah mengenai undang-undang, yang jika ianya berjaya, akan menghalang pengkritik kerajaan yang lantang terhadap presiden daripada bertanding jawatan penting gabenor Jakarta. Langkah itu juga akan membuka jalan kepada anak bongsu Jokowi untuk bertanding dalam pilihan raya di Jawa Tengah November ini.
Ribuan orang berkumpul di luar parlimen membawa papan tanda menuduh presiden Joko Widodo memusnahkan demokrasi, manakala yang lain membawa 'guillotine olok-olok' (hukuman pancung).
Parlimen hari ini merancang untuk meratifikasi perubahan kepada undang-undang yang akan mengubah keputusan mahkamah perlembagaan awal minggu ini. Parlimen menangguhkan rancangannya di tengah-tengah bantahan yang meluas, dengan mengatakan sidang plenonya tidak memenuhi kuorum, sebelum secara rasmi menangguhkan rancangan itu, hari ini.
Perebutan kuasa antara parlimen dan mahkamah kini mencetuskan kemarahan di seluruh negara demokrasi ketiga terbesar di dunia itu, dengan Jokowi menghadapi kritikan yang memuncak yang dikatakan penganalisis sebagai percubaan untuk menyatukan kuasanya sebelum beliau berundur Oktober ini.
Jokowi sudah berkhidmat maksimum dua penggal dan akan digantikan oleh presiden terpilih Prabowo Subianto dan naib presiden Gibran Rakabuming Raka, anak sulung Jokowi, pada 20 Oktober ini. - REUTERS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan