Jumaat, 23 Ogos 2024

APA DAH JADI DENGAN SEKOLAH ?


Buku teks sekolah rendah buat guru dan ibu bapa kebingungan, inikan pelajar

Ibu bapa yang memeriksa buku teks anak-anak mereka kemungkinan besar akan bingung dengan bahasa dan silibus yang terkandung, walaupun untuk pembelajaran bagi murid Tahun 1.

Buku teks Matematik untuk Tahun 1, umpamanya, memuatkan cara pengiraan abakus disertai pelbagai angka dan grafik lain yang mengelirukan walaupun untuk orang dewasa. 

Dalam salah satu topik buku teks Sains untuk Tahun 4, dimuatkan pelbagai perkataan pelik untuk kanak-kanak seperti definisi operasi, pemboleh ubah dan hipotesis.

Sains_Tahun4_Mnow_310724Kalau itu belum cukup sukar difahami, bagaimana pula tentang "definisi operasi ketinggian pokok"? 

"Kalau nak tahu ketinggian pokok, ukur sahajalah. Tak perlu definisi operasi,” kata pakar pendidikan Othman Talib dari Universiti UCSI, ketika perbincangan dengan MalaysiaNow baru-baru ini mengenai silabus dan kandungan buku teks sekolah.

“Saya bekerja di Jabatan Kimia Malaysia selama 10 tahun membuat kajian, tidak menggunakan pun definisi operasi. 

“Bayangkan murid-murid ditanya apakah definisi operasi ketinggian pokok?" katanya.

Komen itu mencerminkan kegelisahan ramai ibu bapa dan pendidik yang mendapati murid semakin tidak minat dengan beberapa subjek seperti Matematik, Sains dan Sejarah disebabkan penyampaian yang rumit yang tidak kena dengan usia murid-murid yang disasarkan.

Antara masalah yang sering ditimbulkan ialah silibus yang terlalu tinggi dan bahasa terlalu rumit yang bukan sahaja tidak difahami murid-murid, tetapi juga orang dewasa.

MalaysiaNow mendapati aduan dan keresahan itu ada kebenaran, selepas menyemak beberapa buku teks Tahun 1 sehingga 6.

Bagi Othman, antara masalah yang paling ketara ialah reka letak buku teks yang mengandungi maklumat yang terlalu padat dalam satu-satu muka surat.

"Contohnya, terlalu banyak warna dan maklumat sehingga tidak ada ruang kosong. Apabila murid melihat muka surat itu, dia hilang panduan.

"Banyak gangguan dalam satu-satu muka surat. Ini semua pemikiran orang tua yang menganggap kita harus meletakkan itu dan ini. Murid buka buku sahaja sudah sakit hati," katanya. 

Dalam buku teks Sains Tahun 1, di halaman 20-21, Othman berkata terlalu banyak grafik dengan label yang menyerabutkan.

"Ibu bapa mahu menulis di ruang yang disediakan, tapi tak boleh sebab ada logo pensil. Kenapa perlu ada gambar pensil?" soalnya merujuk kepada halaman 25 buku yang sama. 
 
Sains_Tahun4_a_Mnow_310724Othman ditunjukkan satu lagi contoh iaitu di bawah topik tumbuh-tumbuhan, di mana grafik pada muka surat 56 menunjukkan kepentingan bahagian tumbuhan. 

Beliau mengakui ada usaha untuk menjadikan subjek itu menarik "namun tidak kena pada tempatnya". 

"Ia tidak selari dengan cara fikir murid. Apa tujuan murid darjah 1 belajar kepentingan daun? Membaca pun masih merangkak,” tambahnya.

Katanya, pelajar di usia muda perlu menghadam maklumat satu persatu dan tidak boleh menanggung keseluruhan maklumat secara serentak. 

Di samping itu, Othman menegur kesalahan dalam topik Peraturan Bilik Sains, iaitu topik kedua dalam silibus Sains Tahun 1. 

Menurutnya, gambar yang ditunjuk dalam buku itu bukanlah bilik sains tetapi sebuah makmal sains. 

'Ditulis untuk pelajar pintar?'

Sebagai pakar pendidikan, Othman pernah dipanggil menyertai mesyuarat "pemurnian" silibus dianjurkan Kementerian Pendidikan Malaysia sekitar tahun 2007.

Bagaimanapun, beliau menarik diri setelah dimaklumkan tiada perubahan akan dibuat kepada silibus sedia ada.

Membelek-belek buku teks Matematik untuk Tahun 1 pula, Othman memberikan contoh kandungan yang "berlebihan" pada halaman 5, 6, 17, 18 dan 19, disertai grafik abakus dan pelbagai angka dan gambar rajah lain. 

Untuk buku teks Matematik Tahun 2 pula, label-label menerangkan pengoperasian matematik langsung tidak membantu, malah merumitkan fikiran murid selain bersifat berulang, katanya.

Jelas Othman, kapasiti mental arithmetik seorang murid tidak sampai ke tahap seperti yang ditunjukkan dalam buku teks. 

Othman mengandaikan sama ada mereka yang menyediakan silibus buku teks itu menggunakan murid "pintar cerdas" (genius) untuk dijadikan piawaian dalam sistem persekolahan. 

Begitu juga apabila buku teks Matematik Tahun 4 memperkenalkan subjek pecahan dan pembundaran.

Katanya ia tidak realistik dengan keupayaan matematik murid sekolah rendah.

Othman berkata lawatan belajar pegawai KPM ke luar negara hanyalah sia-sia kerana enggan mengubah silibus walaupun sudah mendapatkan input.

"Saya pernah membawa rombongan KPM melawat sekolah-sekolah di Australia. Mereka melihat fasiliti, bermesyuarat dan makan. Petang mereka membeli-belah. Esoknya sekolah lain pula. Mereka mengadakan mesyuarat demi mesyuarat, tetapi selepas itu pulang ke Malaysia tanpa membawa apa-apa," katanya.

Dalam pada itu, seorang guru tuisyen berkata tiada keperluan untuk pelajar darjah tiga mempelajari cara menukar mata wang negara-negara Asean.

"Perkara pertama ialah mereka patut mengajar kanak-kanak bagaimana kanak-kanak lain di seluruh dunia hidup. Kemudian barulah ajar apa jenis wang yang digunakan.

"Menukar matawang tidak penting pada usia itu," katanya.

Jelasnya,berdasarkan pengalamannya melihat silibus dan subjek sekolah rendah, katanya KPM wajar mengurangkan jumlah subjek.  Pendidikan jasmani, katanya, tidak memerlukan teori.

"Cara penyampaian Sejarah juga membosankan. Mereka mahu menerangkan keseluruhan sejarah Malaysia dari darjah 1 hingga tingkatan 5," katanya.

Begitu juga dengan Nilam, iaitu program KPM dilancarkan lebih dua dekad lalu bagi menggalakkan tabiat membaca di kalangan pelajar sekolah.

"Mereka hanya meminta murid untuk mengisi buku. Ia tidak penting sama ada kanak-kanak membaca buku atau tidak," tambahnya.

GUA DARJAH 1

DUDUK BERSILA

ATAS LANTAI SIMIN

AMIN

PAKAI PAPAN BATU

HINGGA DARJAH 3

AMIN

HINGGA 

GUA DAPAT KENAL

TOLSTOY GORKY

PAK SAKO

TONGKAT WARAN

IBU KHALDUN

ALI SHARIATI

AMIN

KENAL JUGA

HAMKA GRAMSI 

PRAMOEDAYA

TAGORE CHOMSKY

LU SHUN  BAKUNIN

MAO  JOHN LENON

KERIS MAS 

ADIBAH AMIN

SALMI MANJA

AMIN

KHALAS

Tiada ulasan: