HUKUM & SYARAT SOSIAL
POLITIK JALAN RAYA
Dalam tulisan yang lalu saya telah membuka surah dan membawa pencerahan tentang sejarah politik jalan raya. Saya menulis tentang Revolusi Peranchis (1789-1799), Revolusi Bolshevik (1917) dan Revolusi Iran (1979). Saya juga menulis kejayaan politik jalan raya menjatuhkan rejim zalim Presiden Zainal-abidin di Tunis (2011), General Suharto (1998) di Indonesia dan Marcos di Pilipina(1989).
Dalam tulisan itu saya menerangkan bahawa politik jalan raya memiliki teori dan praktiknya untuk difahami. Saya ada menyebut tentang perlunya wujud beberapa syarat dan hukum sosial untuk politik jalan raya berjaya.
Dalam tulisan kali ini saya ingin menerangkan sajelas mungkin apakah syarat-syarat dan hukum-hukum sosial itu.
Sayugia diingati bahawa politik jalan raya tidak berdiri dalam ruang kosong. Politik jalan raya bergerak maju dalam bersama arus rentak politik yang sedang berlaku.
Dalam setiap detik dan masa para pemikir politik, para aktivis politik dan pemimpin parti politik wajib menyedari kemungkinan-kemungkinan yang menjanjikan dari politik jalan raya.
Dalam Revolusi Peranchis kita menemui Robespierre, Danton dan Napoleon. Dalam Revolusi Bolshevik kita bertemu dengan Lenin dan Trotsky. Dalam Revolusi Iran kita melihat peranan Khomenei dan Ali Shariati. Suharto dan Marcos tidak akan tumbang tanpa Parti Komunis Pilipina dan Parti Demokratik Indonesia.
Wajib diingati bahawa sosok sosok dan organisasi ini memainkan peranan penting. Mereka membaca keadaan dan suasana politik. Mereka memahami suasana politik. Mereka menterjemahkan suasana politik ini untuk mengolah persetujuan dan membawa orang ramai turun kejalan raya. Mereka adalah idealok pemikir politik jalan raya.
Justeru, syarat utama yang memungkin kejayaan politik jalan raya berjaya ialah wujudnya satu suasana politik yang masak untuk orang ramai mengampoh ke jalan raya. Suasana politik inilah yang melahirkan hukum sosial.
Hukum sosial yang maha penting ialah wujudnya kerbencian rakyat yang maha sangat terhadap kerajaan. Kebencian rakyat kepada kerajaan ini akan dimanifestasi melalui kebencian orang ramai terhadap sosok-sosok, watak-watak utama kerajaan dan elit berkuasa.
Jika kita melihat dan mengkaji Revolusi Bolshevik kita akan terbaca bagaiman warga Rusia hidup papa kedana tanpa roti dan gandum. Manakala Czar Nicholas dan elit politik Moscow hidup bermewah-mewah. Kita akan bertemu dengan watak Czarina Alexandra yang hidupnya dikeliling oleh Bomoh Rasputin. Kesah Czarina ini menggunakan kuasa bomoh diketahui oleh warga Moscow. Czarina ini menjadi ikon kebencian rakyat Rusia. Kini kesah bomoh Rasputin telah menjadi fakta sejarah untuk bahan kajian ilmiah.
Memakai kuasa bomoh ini samalah saperti desas desus Rosmah Mansor yang menggunakan khidmat bomoh dari India. Bezanya satu sahaja - Rasputin telah menjadi fakta sejarah. Manakala Guru Ji bomoh Rosmah masih dalam alam perbualan orang ramai dan belum menjadi fakta sejarah.
Watak-watak saperti Marie Antoinette Pemaisuri Peranchis, Imelda Marcos, Ibu Tien dan Leila Ben Ali adalah sosok dan watak-watak yang amat dibenci oleh rakyat. Perempuan dan betina ini memainkan peranan yang penting dari dalam kelambu. Mereka dengan berselindung dibawah badan amal akan campur tangan dalam pengendalian perjalanan kerajaan.
Sejarah telah merakamkan bagaimana Ibu Tien dan Imelda Marcos perlu dirujuk untuk kelulusan segalan bentuk projek pembangunan. Ini untuk memastikan Sang Suami dan kaum keluarga mendapat potongan. Akhirnya Ibu Tien isteri Suharto dikenali sebagai Ibu Tien Persen.
Bagitu kuat sekali pengaruh betin-betina ini sehinggkan siapa jadi Menteri pun wajib mendapat persetujuan mereka. Kalau di Malaysia dizaman sekarang telah muncul berita bahawa nama-nama siapa yang akan bertanding dalam pilihan raya juga wajib dipersetujui oleh Sang Bini. Malah ada sosok yang memasang niat untuk bertanding dalam PRU akan melobi Sang Bini.
Suasana kebencian ini amat amat positif untuk politik jalan raya. Kebencian ini wajib digunakan untuk mengolah persetujuan agar makin ramai lagi warga yang akan bersama benci terhadap kerajaan yang sedia ada. Dalam konteks propaganda diera media baru - zaman internet - ajenda kebencian ini amat senang untuk menjadi viral.
Pada ketika ini rakyat Malaysia sedang melihat Najib dijerat oleh 1MDB. Kes 1MDB telah membuka ruang untuk memungkinkan politik jalan raya mengombak ampuh.
Mengikut akhbar Wall Street Journal (WSJ) - kes ini adalah kes Rompak Terbesar Dalam Sejarah Dunia. Garis WSJ ini telah diguna pakai oleh akhbar The Guardian London, The Financial Times London dan pelbagai media dunia turut membuat laporan yang sama.
Justeru, kelas menengah berbahasa Inggeris, warga urban yang membaca dalam bahasa Inggeris kini rata-rata memahami apa itu 1MDB. Kelompok ini amat jelas membenci Najib dan Rosmah. Kumpulan ini melihat Najib dan Rosmah bertanggung jawab membawa malapetaka keatas keselesaan hidup mereka.
Kumpulan urban ini jelas telah dapat diyakinkan dengan politik jalan raya. Buktinya ialah kemunculan mereka berbondong-bondong dalam Bersih4.
Suasana Politik Benci ini akhirnya akan membawa kehilangan keyakinan orang ramai terhadap lembaga-lembaga daulah. Maknanya orang ramai tidak lagi percaya kepada lembaga daulah saperti badan kehakiman, lembaga kepolisan, lembaga media, dengan lembaga keagamaan dll.
Apa sahaja lembaga daulah akan dilihat sebagai sebahagian dari jentera yang memperkuatkan tipu helah untuk penerusan kuasa yang sedia ada.
Dalam kes Malaysia kita lihat dengan jelas terhakisnya keyakinan orang ramai terhadap lembaga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Hari ini rakyat Malaysia tidak lagi yakin kepada SPR untuk mengendalikan pilihan raya dengan bersih dan adil. SPR dilihat berat sebelah.
Tahun demi tahun - PRU demi PRU - SPR kini sedang dilihat oleh rakyat Malaysia sebagai jentera utama Najib. Najib dan United Malays National Organisation yang sedang nazak kini sedang diberi talian hayat oleh SPR.
Tipu helah yang sedang dilakukan hari ini oleh SPR untuk memenangkan Najib ialah melalui persempadaan semula. Satu ketika dahulu ada juga warga kota , kelompok kelas menengah yang yakin dan percaya dengan lembaga SPR. Tetapi apabila dipaparkan senarai Persempadan Semula - dengan sakelip mata semua keyakinan terhadap lembaga SPR habis lupus.
Telah jelas politik benci telah membawa hilang keyakinan orang ramai terhadap lembaga daulah. Hilang keyakinan ini semakin bertambah buruk. Buruk kerana ianya sedang dibantu pula oleh suasana ekonomi yang terus merundum. Kedudukan dan suasana ekonomi amat-amat penting sebagai syarat sosial untuk mengolah politik jalan raya.
Suasana dan cuaca ekonomi hari ini amat-amat diperlukan untuk membantu politik jalan raya. Kemerosotan ekonomi jika diolah dengan betul pasti dapat menjemput orang ramai untuk turun ke jalan raya.
Harga getah yang murah, harga kelapa sawit yang murah, kos kehidupan yang mahal, upah dan gaji yang tidak naik naik , penutupan kilang-kilang, pengangguran makin bertambah, kemasukan pendatang asing yang mengambil kerja anak tempatan - semua ini jika diolah dalam rima yang indah pasti boleh diterjemahkan untuk menghasut orang ramai turun ke jalan raya.
Berita pendapatan Petronas semakin merosot adalah berita baik untuk politik jalan raya. Berita ramai pekerja Petronas diberhentikan memang berita sedih untuk kaum keluarga tapi berita baik untuk politik jalan raya.
Hutang negara makin meninggi. Dalam masa yang sama nilai ringgit berbanding dengan dolar dan mata wang negara asing makin menurun. Dua pekara ini adalah kimia yang tepat untuk berlakunya ledakan ekonomi saperti tahun 1998. Ini bermakna semakin tersepit ekonomi negara semakin cantik politik jalan raya.
Jangan sesekali dilupakan ledakan ekonomi tahun 1998 telah membuka politik jalan raya di Jakarta hingga Suharto jatuh tersungkur. Suasana ekonomi di Tunis telah membuka politik jalan raya yang menjatuhkan kerajaan Presiden Zainal Abidin Ben Ali. Mogok roti di Cairo tahun 2008 akhirnya menamatkan rejim Mubarak pada thun 2011.
Di Kuala Lumpur ledakan ekonomi tahun 1998 telah memulakan kembali budaya politik jalan raya. Anwar Ibrahim yang ditendang dari tampok kuasa telah membuka pintu politik jalan raya yang semakin berkembang hingga ke hari ini.
Pada satu ketika dahulu politik jalan raya dianggap BUKAN budaya politik Malaysia. Tapi hari ini politik jalan raya telah menjadi budaya politik Malaysia. Ini hakikat. Ini fakta yang tidak dapat dinafikan. Jalan raya telah menjadi darah daging budaya politik kita semua.
Hari ini konvoi Bersih telah memasuki minggu ke3. Konvoi ini sedang menggelodak dari kampong ke desa - dari kota ke pekan - untuk menghasut anak semua bangsa turun ke jalan raya pada 18/19 November nanti.
Selebaran diagih kepada anak semua bangsa. Ceramah dan penerangan dijalankan diseluruh negara. Parti politik, Ngo dari pelbagai rupa dan bentuk sedang berkempen menghasut sebanyak mungkin warga tua dan muda untuk turun ke jalan raya. Turun ke Dataran Merdeka di Kuala Lumpur sebagai tanda bersetiakawan dan menyokong 6 tuntuan BERSIH5.
Lalu persoalan timbul apakah Bersih akan berjaya membawa satu juta atau dua juta anak semua bangsa ke Kuala Lumpur pada 19 November nanti?
Syarat dan hukum sosial yang telah saya tulis membuktikan politik jalan raya sedang masak ranum untuk membawa satu perubahan. Apakah pada 19 November nanti kita akan dilihat lautan kuning di seluruh kota Kuala Lumpur dan di Kuching dan Kota Kinabalu?
Kalau syarat dan hukum sosial telah wujud apakah tuntutan Bersih akan dikotakan. Sekali lagi saya merakamkan bahawa mengolah persetujuan untuk mewujudkan politik jalan raya bukan satu kerja yang senang. Justeru, kami melakukannya kerana ianya bukan kerja senang. Kami melakukanya kerana ianya satu kerja yang susah.
Apakah lautan kuning di Kuala Lumpur akan membawa perubahan? Apakah ada lagi syarat dan hukum sebelum politik jalan raya berjaya? Jawabnya ada. Apa lagi syarat dan hukum yang diperlukan? Tunggu minggu hadapan. (tt)
NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanmggan akhbar minngun ini
sila pukul talipon
03-92-21-30-45
---------------
2 ulasan:
**Justeru, kelas menengah berbahasa Inggeris, warga urban yang membaca dalam bahasa Inggeris kini rata-rata memahami apa itu 1MDB.**
Patutlah perniagaan 1mdb tak dapat pensijilan, cop, serta fatwa haram dari tok jakim, sebab tok jakim tak reti membaca kertas dakwaan doj, laporan pendakwaan termasuk hukuman pada beberapa bank dari switzerland dan juga dari singapura, sebab semua tu ditulis dalam bahasa inggeris. Tapi di switzerland mungkin ditulis dalam bahasa jerman? Er, bahasa jerman pun, bukan tok jakim yang paham, orang lain tu yang tau.
Tt, bukankah persempadanan semula tidak boleh dilakukan jika tidak mendapat mandat drp 2/3 ahli parlimen? Mohon pencerahan...
Catat Ulasan