Israel serang sasaran Hizbullah di Lubnan beberapa hari selepas gencatan senjata yang rapuh
BAILTULMAQDIS: Tentera Israel melancarkan serangan udara terhadap aktiviti Hizbullah semalam, yang didakwa mampu 'menimbulkan ancaman' selepas beberapa hari gencatan senjata yang rapuh antara kedua-duanya dan kumpulan yang disokong Iran.
Tentera berkata, empat serangan berasingan terhadap Lubnan ke atas kemudahan, senjata dan kenderaan milik Hizbullah kerana aktiviti itu boleh menimbulkan ancaman kepada Israel, melanggar persefahaman gencatan senjata.
"Tentera juga menyerang 'infrastruktur tentera' di sempadan Syria-Lubnan yang digunakan secara aktif oleh Hizbullah untuk menyeludup senjata yang melanggar gencatan senjata," menurut kenyataan tentera.
Minggu lalu, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, berkata kerajaannya bersedia menerima gencatan senjata selepas lebih setahun bermusuhan dengan Hizbullah, tetapi memberi amaran bahawa Israel akan mengekalkan 'kebebasan penuh tentera bertindak' sekiranya berlaku sebarang pelanggaran.
Kementerian Kesihatan Lubnan berkata, satu serangan Israel ke atas sebuah kereta di Majdal Zoun mencederakan tiga orang termasuk seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun.
Agensi Berita Nasional (NNA) milik negara Lubnan melaporkan, pelanggaran gencatan senjata yang berterusan oleh Israel, termasuk insiden di mana sebuah kereta kebal Israel menghancurkan beberapa kereta dan mengepung beberapa keluarga yang kemudiannya dipindahkan oleh Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah.
Perjanjian gencatan senjata itu, yang bertujuan untuk menamatkan lebih setahun perang merentas sempadan dan dua bulan perang habis-habisan, berkuat kuasa awal Rabu.
Sebagai sebahagian daripada syarat perjanjian itu, tentera Lubnan dan pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) akan ditempatkan di selatan Lubnan apabila tentera Israel berundur dalam tempoh 60 hari.
Pada Jumaat lalu, ketua Hizbullah, Naim Qassem berikrar untuk bekerjasama dengan tentera Lubnan untuk melaksanakan komitmen perjanjian itu.
NNA melaporkan, ketua tentera, Joseph Aoun bertemu Mejar Jeneral Amerika Syarikat, Jasper Jeffers untuk membincangkan 'keadaan umum dan mekanisme penyelarasan antara pihak berkenaan di selatan'.
Komando Pusat tentera AS berkata, Jeffers tiba di Beirut minggu ini untuk berkhidmat sebagai pengerusi bersama bagi pelaksanaan dan mekanisme pemantauan gencatan senjata. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan