Peguam beri amaran jangan salah guna kuasa, alih isu selepas SPRM fail lucut aset Daim
Peguam keluarga Allahyarham Daim Zainuddin berkata kegagalan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyatakan kesalahan yang didakwa dilakukan anak guam mereka walaupun selepas tiga tahun siasatan dilancarkan boleh menjurus kepada salah guna kuasa, sambil berikrar akan melawan permohonan terkini agensi itu untuk melucutkan aset dikaitkan dengan bekas menteri kewangan itu.
"Kini, setelah hampir tiga tahun, masih tiada sebarang jawapan di sebalik semua usaha anak guam kami untuk mendapatkan penjelasan secara terbuka mengenai pelbagai usaha menyasarkan anak guam kami dan ahli keluarga beliau," kata peguam Nizamuddin Hamid, yang mewakili balu Daim, Na'imah Khalid.
Permohonan SPRM hari ini melibatkan akaun bank tempatan yang dikaitkan dengan Daim, sebahagian daripada siri tindakan pelucutan hak yang diumumkan agensi itu.
Nizamuddin berkata permohonan terbaharu itu tidak menyatakan kesalahan yang didakwa dilakukan di bawah undang-undang berkaitan, selain pertuduhan berkaitan tata cara siasatan di bawah Seksyen 36 Akta SPRM.
"Kegagalan dan salah guna kuasa secara berterusan ini menimbulkan kebimbangan serius mengenai pematuhan terhadap kedaulatan undang-undang," katanya.
Beliau berkata akaun berkait Daim sudah dibekukan selama lebih 30 bulan, jauh melebihi had masa untuk membawa pertuduhan seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 41 Akta SPRM.
"Maksudnya, lebih daripada 30 bulan, masih tidak ada pendakwaan, baru muncul permohonan pelucutan ini," katanya.
"Itu pun, permohonan ini tidak berdasarkan kesalahan predikat di bawah SPRM tetapi hanya kesalahan dalam pematuhan tata cara proses siasatan. Itu sendiri bukanlah satu kesalahan rasuah."
Sementara itu, Nizamuddin berkata mahkamah hari ini mengeluarkan perintah menyekat sebarang penerbitan nama dan butiran akaun bank aset.
"Kita nampak ada senarai harta... senarai harta, tetapi apa kesalahannya?" tambahnya.
'Jangan buang wang, masa penjawat awam'
Nizamuddin mengingatkan pihak berkuasa agar tidak melakukan penyalahgunaan kuasa atau tindakan "untuk mengalih perhatian rakyat Malaysia daripada isu sebenar kepimpinan negara", sambil menambah ia akan menyebabkan "pembaziran wang rakyat, masa penjawat awam dan juga mahkamah".
Sejak mengambil alih kuasa pada lewat 2022, Anwar Ibrahim berulang kali menyerang bekas mentornya Daim dengan tuduhan mengumpul kekayaan secara haram, dakwaan yang kerap dibangkitkan perdana menteri terhadap musuh politiknya.
Ia disusuli pengumuman oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki mengenai siasatan rasuah terhadap Daim dan Na'imah, walaupun mereka akhirnya hanya didakwa atas kegagalan mematuhi notis mengisytiharkan aset.
Siasatan SPRM terhadap mereka bagaimanapun bergelut dengan kontroversi susulan pendedahan Bloomberg bahawa siasatan tersebut dilancarkan Azam selepas menerima tekanan daripada Anwar.
Dalam laporannya, Bloomberg berkata tiga sumber telah memetik Azam yang memberitahu pegawainya bahawa siasatan terhadap Daim dan Dr Mahathir Mohamad dilancarkan atas arahan Anwar.
Pada Mei lalu, Azam yang baru dilanjutkan tempoh jawatannya di SPRM, mengumumkan tindakan membekukan aset perniagaan Daim di luar negara, langkah yang disifatkan Na'imah sebagai bermotifkan politik dan dilakukan secara senyap tanpa peluang pembelaan.
Nizamuddin mengingatkan SPRM supaya tidak melanggar prinsip kedaulatan undang-undang dalam menggunakan kuasanya.
"Anak guam kami berharap mereka tidak terus menjadi sasaran salah guna kuasa oleh badan penguatkuasaan apabila isu yang melibatkan Kerajaan timbul.
"Anak guam kami akan terus memperjuangkan hak undang-undang mereka melalui mahkamah bagi memastikan proses yang sewajarnya dipatuhi dan perlindungan undang-undang yang diberikan kepada mereka dihormati," katanya.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan