Etnik Rohingya seolah-olah 'kebal' tindakan penguatkuasaan
GOMBAK: Warga asing khususnya etnik Rohingya dari Myanmar yang memegang dokumen Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) seolah-olah 'kebal' daripada tindakan penguatkuasaan walaupun pernah beberapa kali ditahan.
Ia terbukti apabila tinjauan pascaserbuan besar-besaran pihak berkuasa di kawasan Selayang Baru pada Sabtu lalu, mendapati warga asing khususnya Myanmar etnik Rohingya kembali berniaga di kaki lima dengan alasan tiada pilihan lain untuk menyara hidup.
Ia menimbulkan persoalan kerana sebagai pemegang dokumen UNHCR, mereka tidak dibenarkan bekerja di negara ini.
Tinjauan BH di kawasan Selayang Baru dan kawasan sekitar semalam mendapati kegiatan perniagaan oleh warga asing terutama warga Myanmar masih berjalan seperti biasa.
Beberapa peniaga warga Myanmar yang ditemui mendakwa mereka tiada pilihan selain berniaga di kaki lima untuk mencari wang meneruskan kehidupan.
"Apa pilihan yang kami ada selain berniaga sayur atau bekerja di pasar. Itu sahaja cara kami boleh dapatkan wang untuk tampung keluarga.
"Saya akui memang satu kesalahan berniaga di sini tapi ini sahaja cara untuk mendapat rezeki. Nak dapatkan pekerjaan lain memang susah. Dulu pernah buat kerja seperti mencuci pinggan, cuci baju tapi diberhentikan," kata Chotimah Muslim, 48.
Menurut Chotimah yang berasal dari Myanmar dan sudah lebih 20 tahun tinggal di negara ini, kesukaran mencari punca pendapatan menyebabkan beliau berniaga sayur di kaki lima.
"Ahli keluarga saya ada 10 orang terdiri daripada ibu, seorang adik lelaki, ibu saudara, tiga anak serta tiga anak saudara dan ibu mereka sudah meninggal dunia. Suami saya pun sudah meninggal dunia tiga tahun lalu.
"Pendapatan hasil menjual sayur juga tidak tetap antara RM50 hingga RM100 sehari. Itu yang kami gunakan anak beranak untuk tampung belanja seharian," katanya.
Chotimah berkata, selama kira-kira 10 tahun berniaga, sudah terlalu kerap barang niaganya disita pihak berkuasa, selain serbuan oleh Jabatan Imigresen.
"Saya sudah beberapa kali ditangkap. Selepas diperiksa dan mereka mendapati saya memegang kad UNHCR, saya dibebaskan.
"Selepas itu, saya perlu kembali berniaga kerana ini saja punca pendapatan," katanya.
Sukar cari pekerjaan
Seorang lagi warga Myanmar, Rokiah Salaman, 26, yang juga pemegang kad UNHCR mendakwa terpaksa berniaga air tin dan air mineral di kaki lima kerana kesukaran mencari pekerjaan lain.
"Ibu saya sakit dan ayah dan abang pula tiada pendapatan tetap. Mereka sebelum ini bekerja di pasar tapi kini mereka sukar bekerja akibat pemantauan pihak berkuasa.
"Hasil saya berniaga sehari kadang-kadang hanya mencecah RM30. Kalau ikutkan tidak cukup kerana saya perlu tampung belanja keluarga kerana masih ada dua adik yang masih kecil dan anak berusia tiga tahun," katanya yang memaklumkan suami turut bekerja di pasar.
Tinjauan mendapati warga asing masih menjalankan aktiviti berhampiran Pasar Selayang, Kuala Lumpur, semalam. - Foto NSTP
Tinjauan mendapati warga asing masih menjalankan aktiviti berhampiran Pasar Selayang, Kuala Lumpur, semalam. - Foto NSTP
Warga Myanmar yang hanya mahu dikenali sebagai Syamil, 26, berkata beliau sukar mendapatkan pekerjaan lain selain bekerja di Pasar Selayang.
"Keadaan sekarang tak macam dahulu. Sekarang susah kami nak bekerja di dalam pasar kerana tidak dibenarkan masuk. Jadi, kami susah nak bekerja untuk dapatkan upah.
"Sekarang kami hanya tunggu jika ada yang panggil untuk bekerja. Jika tidak, kami tiada pendapatan. Tugas kami angkat sayur atau barang di pasar dan hantar ke kedai berhampiran," katanya.
Sementara itu, seorang pelanggan warga tempatan yang enggan dikenali ketika ditanya mengapa membeli daripada peniaga warga asing di kaki lima, memberitahu harga ditawarkan berpatutan dan lebih mudah membeli kerana tidak perlu masuk ke pasar.
Dalam operasi bersepadu bermula jam 8 malam Sabtu lalu, seramai 1,116 individu diperiksa, diikuti penahanan 843 pendatang asing tanpa izin (PATI) atas pelbagai kesalahan imigresen.
Operasi besar-besaran itu diselaraskan Jawatankuasa Keselamatan Negeri Selangor dengan membabitkan kerjasama Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara serta pihak berkuasa tempatan.
Seramai 808 lelaki dan 35 wanita ditahan kerana tidak memiliki dokumen sah atau melakukan kesalahan tinggal lebih masa, manakala 243 dibebaskan kerana mempunyai dokumen perjalanan sah.
Daripada keseluruhan jumlah tangkapan, seramai 647 warga Myanmar ditahan terdiri daripada 617 lelaki dan 30 wanita.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan