JANGAN HANYA
CAKAP NAK DEMO
AMIN
SUSUN ATUR
TURUN BERDEMO
AMIN
BAWA SAKAI
JAKUN TEMIAR
SENOI TURUN
BERDEMO
KHALAS
Usir Orang Asli: Aktivis gesa RCI, ancam protes di Putrajaya
Aktivis dan peguam hari ini menggesa satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan segera berhubung perobohan rumah Orang Asli di Pekan, Pahang, selain mengancam akan mengadakan protes di Putrajaya jika tuntutan itu tidak dipenuhi.
Dalam sidang media anjuran Persatuan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) dan Greenpeace, Presiden Peka Rajesh Nagarajan berkata siasatan perlu dibuat kerana kes itu melibatkan dakwaan rampasan tanah adat Orang Asli dan perobohan rumah tanpa mengikut prosedur.
Menurutnya siasatan di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 mesti dilakukan dan diketuai Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi atas kapasitinya selaku Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
“Ini perkara yang sangat serius, dan kesannya juga mesti dipandang serius. Satu suruhanjaya siasatan mesti ditubuhkan segera. Dan siapa yang perlu menubuhkannya? Tidak lain tidak bukan Zahid sendiri.
“Jika suruhanjaya siasatan tidak ditubuhkan, itu tanggungjawab anda, Zahid. Anda gagal menjalankan tugas anda. Anda gagal melindungi Orang Asli daripada tindakan melampau kerajaan negeri Pahang,” katanya di pejabat Lawyers for Liberty (LFL) hari ini.
Untuk rekod, kuasa menubuhkan RCI di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan terletak pada Yang di-Pertuan Agong seperti diperuntukkan dalam Seksyen 2 akta tersebut. Dalam amalan, ia biasanya dilakukan atas nasihat kerajaan persekutuan.
Rajesh yang mewakili pihak terlibat, turut menuntut agar timbalan perdana menteri mengambil tanggungjawab dan segera mengeluarkan kenyataan.
Dia memberi amaran bahawa satu demonstrasi besar-besaran melibatkan komuniti Orang Asli dari seluruh negara akan diadakan di pejabat Zahid di Putrajaya jika perkara itu tidak dilakukan.
“Saya dimaklumkan bahawa sejumlah besar Orang Asli akan datang ke Putrajaya untuk membantah. Kerana ramai Orang Asli menjadi mangsa kerajaan negeri di Malaysia, bukan hanya di Pahang,” tambah peguam itu.
Mereka turut mengulangi tuntutan termasuk mendapat pampasan yang adil kepada keluarga terjejas akibat perobohan, pembinaan semula rumah yang dimusnahkan segera, pewartaan segera tanah adat Orang Asli di Pekan, serta siasatan yang cepat dan telus terhadap laporan polis yang dibuat berhubung insiden itu.
Minggu lalu, Malaysiakini melaporkan perobohan rumah Orang Asli daripada suku Jakun di Pekan.
Perobohan itu melibatkan sebuah syarikat perladangan yang menyewa tanah tersebut daripada Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang (PSK) — sebuah syarikat milik kerajaan negeri — selama 30 tahun untuk membangunkan ladang kelapa sawit.
Malaysiakini tidak menamakan syarikat perladangan itu sementara menunggu maklum balas daripadanya. Pelbagai usaha telah dibuat untuk menghubungi syarikat tersebut, termasuk mengunjungi alamat berdaftarnya, namun gagal.
Menurut Jaringan Kampung Orang Asli Pahang (JKOAP), sekumpulan individu bersama polis tiba di sebuah kampung kecil bernama Kampung Sungai Baru lalu mula merobohkan rumah-rumah di situ.
Ketua Polis Daerah Pekan, Zaidi Zin turut mempertikaikan dakwaan penduduk terhadap hak milik tanah itu, sebaliknya menyatakan mereka hanya berpindah ke kawasan tersebut semasa pandemik COVID-19.
Bagaimanapun, Rajesh menolak dakwaan Zaidi dengan menyatakan bahawa penduduk kampung telah tinggal di tanah itu “sejak zaman-berzaman”, sambil mendakwa kerajaan negeri Pahang tetap menyewakan tanah tersebut kepada syarikat terbabit walaupun mengetahui ia didiami komuniti Orang Asli.
“Ini adalah pencurian tanah Orang Asli oleh kerajaan negeri Pahang…. Mereka (Orang Asli) mempunyai hak perlembagaan terhadap tanah itu.
“Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa kerajaan tidak boleh sesuka hati mengambil tanah seseorang,” katanya.
Menurut peguam itu, terdapat 21 buah rumah di penempatan tersebut dan tujuh daripadanya telah dirobohkan setakat ini, termasuk sebuah “rumah adat” yang digunakan sebagai dewan komuniti untuk perhimpunan, majlis perkahwinan dan pengebumian.
Dia juga berkata terdapat dua ekor anjing dan empat anak kucing yang baru lahir ditemui mati dalam runtuhan rumah yang dirobohkan.
Sementara itu, wakil kampung, Zul Mamad mendakwa penduduk hanya mengetahui operasi tersebut selepas dimaklumkan oleh jiran ketika mereka sedang bekerja.
Zul berkata dia bergegas pulang ke kampung selepas menerima panggilan memaklumkan rumah-rumah berkenaan sedang dirobohkan.
“Saya meminta mereka (kontraktor) supaya tidak merobohkan rumah dan bertanya di mana notisnya,” katanya sambil menambah kontraktor menolak permintaannya dengan alasan tanah itu milik salah seorang pemegang saham syarikat berkenaan.
Seorang lagi penduduk kampung, Yang Salim berkata insiden itu menyebabkan keluarganya kehilangan tempat tinggal dan terpaksa tinggal di khemah sementara selepas rumah mereka dirobohkan.
“Kami terpaksa bertahan seadanya. Kami dirikan khemah untuk berlindung,” katanya.
Jurucakap Greenpeace, Heng Kiah Chun berkata situasi itu jelas menunjukkan ketidakadilan, sambil menyifatkan ia sebagai sesuatu yang “ironik” apabila Orang Asli diiktiraf sebagai Bumiputera tetapi tidak dilayan sedemikian.
Heng berkata mereka akan terus bersama komuniti tersebut dalam perjuangan mereka.
“Kami akan terus memberikan solidariti dan sokongan kepada semua pihak ini untuk memperjuangkan hak alam sekitar dan keadilan alam sekitar. Dan katakan tidak kepada buli,” katanya.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan