Jumaat, 22 Mei 2026

URANIUM UNTUK MASA DEPAN IRAN


URINIUAM INI

UNTUK JAGA

MASA DEPAN IRAN

AMIN

KOREA UTARA

ADA BOM NUKLEAR

AMERIKA TAK

BERANI KACAU 

AMIN

 ISRAEL ADA 

BOM NUKLEAR

PASAI APA IRAN

 TAK BOLEH ?

KHALAS


Pemimpin tertinggi Iran arah uranium diperkaya kekal di Iran


DUBAI: Pemimpin Tertinggi Iran mengeluarkan arahan bahawa uranium negara itu yang diperkaya hampir ke tahap senjata, tidak boleh dihantar ke luar negara, menurut dua sumber kanan Iran.

Ini sekali gus meneguhkan pendirian Tehran terhadap salah satu tuntutan utama Amerika Syarikat (AS) dalam rundingan damai.

Arahan Ayatollah Mojtaba Khamenei itu berpotensi menambah tekanan terhadap Presiden AS, Donald Trump dan merumitkan rundingan bagi menamatkan perang AS-Israel terhadap Iran.

Pegawai Israel memberitahu Reuters, Trump telah memberi jaminan kepada Israel bahawa stok uranium Iran yang diperkaya tinggi, yang diperlukan untuk menghasilkan senjata atom, akan dihantar keluar dari Iran dan mana-mana perjanjian damai mesti mengandungi klausa mengenai perkara itu.

Israel, AS dan negara Barat lain sejak sekian lama menuduh Iran cuba membangunkan senjata nuklear, termasuk merujuk kepada langkah Tehran memperkayakan uranium sehingga 60 peratus, jauh lebih tinggi daripada keperluan penggunaan awam dan semakin hampir kepada tahap 90 peratus yang diperlukan untuk menghasilkan senjata.

Iran menafikan ia berusaha mendapatkan senjata nuklear.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata beliau tidak akan menganggap perang berakhir sehingga uranium diperkaya dikeluarkan dari Iran, Tehran menghentikan sokongan kepada militia proksi dan keupayaan peluru berpandu balistiknya dihapuskan.

"Arahan Pemimpin Tertinggi dan konsensus dalam kepimpinan negara, ialah stok uranium diperkaya tidak seharusnya meninggalkan negara," kata salah seorang daripada dua sumber Iran itu, yang enggan dikenali kerana sensitiviti isu berkenaan.

Menurut sumber itu, pegawai tertinggi Iran percaya penghantaran bahan tersebut ke luar negara akan menjadikan Iran lebih terdedah kepada serangan masa depan oleh AS dan Israel.

Khamenei mempunyai kata putus dalam perkara-perkara penting negara.

Rumah Putih dan Kementerian Luar Iran tidak memberi maklum balas terhadap permintaan komen.

Gencatan senjata yang rapuh kini berkuat kuasa dalam perang yang bermula dengan serangan AS-Israel ke atas Iran pada 28 Februari, selepas itu Iran melancarkan serangan terhadap negara Teluk yang menempatkan pangkalan tentera AS dan pertempuran tercetus antara Israel dengan Hezbollah yang disokong Iran di Lubnan.

Namun, tiada kemajuan besar dicapai dalam usaha damai, dengan sekatan AS terhadap pelabuhan Iran serta kawalan Tehran ke atas Selat Hormuz — laluan penting bekalan minyak global — terus merumitkan rundingan yang dimediasi Pakistan.

Dua sumber kanan Iran itu berkata, terdapat kecurigaan mendalam di Iran bahawa jeda peperangan itu hanyalah helah taktikal Washington untuk mewujudkan rasa selamat sebelum melancarkan semula serangan udara.

Perunding damai utama Iran, Mohammad Baqer Qalibaf, berkata pada Rabu bahawa "langkah terang-terangan dan tersembunyi musuh" menunjukkan AS sedang bersedia untuk melancarkan serangan baharu.

Semalam, Trump berkata, AS bersedia meneruskan serangan lanjut ke atas Tehran jika Iran tidak bersetuju dengan perjanjian damai, namun memberi bayangan Washington mungkin menunggu beberapa hari lagi untuk "mendapat jawapan yang tepat."

Menurut sumber, kedua-dua pihak mula mengecilkan beberapa jurang perbezaan, namun perpecahan lebih besar masih wujud berhubung program nuklear Tehran — termasuk nasib stok uranium diperkaya dan tuntutan Iran supaya haknya untuk memperkaya uranium diiktiraf.

Pegawai Iran berulang kali menegaskan keutamaan Tehran ialah mendapatkan penamatan perang secara kekal dan jaminan yang boleh dipercayai bahawa AS dan Israel tidak akan melancarkan serangan baharu.

Mereka berkata hanya selepas jaminan itu diberikan, Iran bersedia menyertai rundingan terperinci mengenai program nuklearnya.Israel dipercayai secara meluas memiliki senjata atom tetapi tidak pernah mengesahkan atau menafikannya, sambil mengekalkan dasar samar-samar mengenai isu itu sejak beberapa dekad lalu.

Sebelum perang, Iran memberi isyarat bersedia menghantar keluar separuh daripada stok uranium yang diperkaya hingga 60 peratus, tahap yang jauh lebih tinggi daripada keperluan penggunaan awam.

Namun sumber berkata, pendirian itu berubah selepas ancaman berulang Trump untuk menyerang Iran.

Pegawai Israel memberitahu Reuters, masih belum jelas sama ada Trump akan memutuskan untuk menyerang dan sama ada beliau akan memberi lampu hijau kepada Israel untuk menyambung semula operasi ketenteraan.

Tehran berikrar akan memberi tindak balas dahsyat jika diserang.

Bagaimanapun, sumber itu berkata terdapat "formula yang boleh dilaksanakan" untuk menyelesaikan isu berkenaan.

"Terdapat penyelesaian seperti mencairkan stok uranium di bawah pengawasan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA)," kata salah seorang sumber Iran itu.

IAEA menganggarkan Iran memiliki 440.9 kilogram uranium yang diperkaya hingga 60 peratus ketika Israel dan AS menyerang kemudahan nuklear Iran pada Jun 2025.

Bagaimanapun, jumlah yang masih terselamat tidak dapat dipastikan.

Mac lalu, Ketua IAEA, Rafael Grossi, berkata baki stok itu "kebanyakannya" disimpan di kompleks terowong di kemudahan nuklear Isfahan dan agensinya percaya sedikit lebih 200 kilogram masih berada di situ.

IAEA juga percaya sebahagian lagi disimpan di kompleks nuklear besar di Natanz, lokasi dua loji pengayaan uranium Iran.

Iran berkata sebahagian uranium yang diperkaya tinggi diperlukan untuk tujuan perubatan dan reaktor penyelidikan di Tehran yang beroperasi menggunakan jumlah kecil uranium diperkaya sekitar 20 peratus. - REUTERS





 

Tiada ulasan: