Sabtu, 22 Oktober 2011

LAGI SOKONGAN UNTUK AZIZ BARI



KENYATAAN MENGENAI PENGGANTUNGAN AZIZ BARI


Rakyat sudah sedia maklum bahawa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Profesor Dr. Abdul Aziz Bari berhubung dengan kenyataan beliau yang menyentuh beberapa isu dalam lingkungan Perlembagaan. Kini kita dikejutkan lagi dengan berita yang mana beliau juga digantung tugas sebagai pensyarah undang-undang sehingga ke suatu tempoh yang akan ditetapkan.

KEADILAN berpandangan bahawa tindakan ini seolah-olah merendahkan para akademia dalam tugasan harian mereka untuk memberi pandangan dan pendapat dalam kepakaran mereka. Adalah sesuatu yang memalukan dan menzalimi para cendakiawan di Malaysia apabila ditekan dan disekat hanya kerana memberi pandangan bersandarkan fakta-fakta imperikal yang sememangnya menjadi kepakaran mereka. Ini sekaligus akan membantutkan proses penyuburan ilmu kepada rakyat.

Isu yang timbul, yang dipolemikkan oleh sesetengah media dan politikus tertentu melibatkan Profesor Dr. Aziz, harus dianalisa ketepatannya terlebih dahulu dalam konteks perundangan, bukan sekadar persepsi dari sesetengah pihak.Mereka seharusnya diberikan ruang untuk memberi komentar mahupun kritikan selagimana ia bersifat membina dan berada dalam kerangka undang-undang negara.

Oleh yang demikian atas prinsip kebebasan akademik, KEADILAN berharap isu ini dapat dirungkai oleh pihak pengurusan UIAM agar ia dapat dikendalikan dengan penuh hemah dan wibawa tanpa mencemarkan budaya ilmu seterusnya budaya ilmu ini akan dapat diangkat di Malaysia yang kita kasihi.


DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL



KENYATAAN MEDIA HUSAM MUSA

Saya rakamkan ucapan takziah kepada Profesor Dr Abdul Aziz Bari, yang telah dikenakan tindakan separa Barbaric oleh UIA, bagi pihak kerajaan Umno-BN.

Tidak syak lagi tindakan itu, mengembalikan kita kepada zaman Singapura dilanggar todak, di mana Hang Nadim yang bercakap benar dan berani telah difitnah, dinafikan kebebasannya serta dihapuskan.

Saya berharap Profesor Dr Abdul Aziz Bari terus gigih di atas landasan keberanian demi kebenaran.

Dalam masa yang sama, saya ucapkan tahniah kepada beliau kerana telah menjadi ikon kebebasan akademik pada era kongkongan ke atas mahasiswa dan pensyarah di negara ini begitu mencengkam.

Kebangkitan mahasiswa untuk bersuara dalam perhimpunan di UIA tengahari tadi, disertai dengan kenyataan beberapa badan akademik universiti-universiti, membuktikan bahawa dunia akademik tidak boleh menerima budaya sempit yang ditunjukkan oleh kerajaan di negara ini.

Saudara Mohamad Sabu didakwa oleh polis hanya kerana atas polemik sejarah, pensyarah UIA digantung hanya kerana beliau memberi lontaran pandangan.


Selain daripada berharap Profesor Dr Abdul Aziz Bari tidak menggadaikan kejujuran dan keberanian akademiknya, saya cadangkan jika perlu, Kerajaan Negeri Kelantan boleh menawarkan kedudukan seperti profesor pelawat bagi beberapa buah IPT di bawah kerajaan negeri seperti KIAS.


Sekian, terima kasih

DATO' HUSAM MUSA
Naib Presiden PAS
Exco Kerajaan Negeri Kelantan

Tiada ulasan: