Khamis, 7 Jun 2012

SALUT UNTUK MEREKA YANG BERANI







KAWAN ZULKIFLI BIN ISMAIL DALAM KENANGAN


Pada petang Sabtu 2hb. Jun 2012 aku menerima dua SMS. Yang awal datang dari Senator Dr. Syed Husin Ali dan yang kedua dari Hishamuddin Rais. Kedua-dua orang sahabatku itu memaklumkan satu berita sedih iaitu sahabat kami, Saudara Zulkifli bin Ismail baru sahaja meninggal dunia di Kuantan, Pahang.

Siapa Sdr Zulkifli Ismail? Beliau asalnya adalah seorang guru di Pahang. Sebab itu beliau dikenali sehingga akhir hayatnya sebagai Cikgu Zul.Di samping menjadi guru, beliau adalah seorang pemidato yang baik dan berbakat dalam dunia lakonan dan pementasan drama. Cikgu Zul kemudian mula bergerak secara aktif dalam Parti Rakyat Malaya (PRM) dalam tahun 60-an.

Beliau berceramah ke pelusok negeri Pahang dan ke seluruh Semenanjung terutama di kawasan tumpuan PRM ketika itu. Kehebatannya sebagai seorang pemidato dalam rapat-rapat umum bersama-sama seorang lagi pemidato terkenal dari Pulau Pinang, Sdr Omar Osman (Almarhum) telah mendapat sambutan hangat dari rakyat, sama ada di kawasan bandar ataupun desa.

Adakah itu sahaja yang dapat kita kenang tentang Cikgu Zul? Jawapannya tidak. Pada Pilihanraya Umum 1969 di mana tsunami awal pernah berlaku dalam Politik Malaysia yang melihat Parti Perikatan (kini Barisan Nasional) telah hilang majoriti 2/3 buat kali pertama, Cikgu Zul yang bertanding dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Sungai Lembing Pahang atas tiket PRM telah mencapai kemenangan yang bersejarah. Selain Cikgu Zul, seorang lagi calon PRM iaitu Sdr Subramaniam telah memenangi kerusi DUN Kuantan.

Kembali kepada Cikgu Zul yang berbadan sasa dan segak, bersuara parau dan berjanggut penuh karismatik seperti Fiedal Castro di Cuba, ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Lembing itu telah dinafikkan haknya untuk menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat kawasannya. Sebabnya? Beberapa hari selepas beliau menang pilihanraya tersebut, Cikgu Zul telah ditahan di bawah undang-undang zalim Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Cikgu Zul yang mempunyai isteri dan anak-anak ketika itu telah ditahan di bawah ISA untuk satu tempoh yang panjang selama empat tahun tanpa bicara.

Ketika Cikgu Zul masuk penjara pada tahun 1969 itu, aku baru berada di Tingkatan Enam Rendah di Kolej Islam Malaya di Petaling Jaya. Aku tak kenal dia. Tak tahu ABC politik ketika itu.Tetapi apabila aku menyambung belajar ke Universiti Malaya, dua tahun kemudiannya, aku mula dapat melihat dalam akhbar Parti Rakyat cerita tentang Cikgu Zul. Aku menyertai tuntutan mahasiswa ketika itu mendesak tahanan-tahanan politik seperti Cigu Zul dibebaskan.

Akhirnya Cikgu Zul dibebaskan pada tahun 1974. Tahun itu merupakan zaman kebangkitan pelajar-pelajar di seluruh Malaysia dengan peristiwa tunjuk-tunjuk perasaan besar-besaran menyokong rakyat miskin di Tasek Utara Johor Bahru dan di Baling, Kedah.

Tidak banyak aku tahu selepas Cikgu Zul bebas. Tetapi dia muncul kembali pada era reformasi tahun 1998-1999 apabila Sdr Anwar Ibrahim dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan dipukul oleh Ketua Polis Negara hampir mati dalam penjara. Orang seperti Cikgu Zul sudah barang pasti tidak boleh diam jika kezaliman sedemikian berlaku.

Aku ingat pada satu hari pada tahun 1999, Parti Rakyat Negeri Trengganu telah menganjurkan satu ceramau umum di sebuah kampung di Pantai Batu Burok, Kuala Trengganu. Penceramah utamanya selain Presiden PRM ketika itu Dr Syed Husin Ali iaiah Cigu Zul dan Omar Osman. Barulah kali itu aku dapat melihat Cikgu Zul berpidato. Benarlah apa yang orang katakan bahawa Zulkifli Ismail seorang pemidato yang hebat.

Bagi generasi muda dalam Parti Keadilan Rakyat harus menyedari bahawa Cikgu Zul merupakan seorang yang kuat dalam menyokon gagasan ke arah percantuman antara Parti Rakyat Malaysia (PRM) dengan Parti Keadilan Nasional (PKN) untuk menjadi Parti Keadilan Rakyat. Beliau turut terlibat secara aktif dalam membincang dan menghalusi deraf 17 perkara yang menjadi asas perjuangan Parti Keadilan Rakyat yang akhirnya diterima menjadi asas perjuangan seperti yang termeterai di dalam Perlembagaan Parti Keadilan Rakyat sekarang ini.

Dalam satu pemukiman atau retreat di Bukit Frezer, Pahang ketika para pemimpin PRM berbincang berkenaan usaha percantuman dengan Parti Keadilan Nasional, khusus dalam perkara bendera atau lambang parti bagi Parti Keadilan Rakyat, Cikgu Zul dengan jelas dan lantang mahukan supaya warna merah perlu ada di dalam lambang atau bendera parti baru hasil percantuman itu.Aku masih terdengar-dengar Cikgu Zul bersuara dalam suasana sejuk dan hening di buklit peranginan tinggalan kolonial Inggeris itu. Cikgu Zul berkata: "Kalau tak ada warna merah dalam bendera Parti Keadilan Rakyat, nanti tak bersemangat."

Jadi apabila nampak warna merah pada bendera Parti Keadilan Rakyat, maka aku teringat Cikgu Zul.

Sebaik kedua parti- Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia bergabung ke dalam satu entiti bernama Parti Keadilan Rakyat, Cikgu Zul memikul tugas sebagai Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Negeri Pahang. Beliau bertanding di kawasan parlimen yang baru dinamakan iaitu Indera Mahkota di Pahang dalam pilihanraya umum 2004. Cikgu Zul tewas, namun beliau telah meletakkan asas yang kuat bagi Parti Keadilan Rakyat berkembang di Pahang. Dalam Pilihanraya umum ke-12 pada Mac 2008, Parti Keadilan Rakyat telah menang dua kerusi Parlimen di Pahang, iaitu Kuantan dan Indera Mahkota.

Beberapa tahun kemudian aku dimaklumkan keadaan kesihatan Cikgu Zul mulai merosot. Usianya aku jangka mungkin sekitar 70 tahun, kalau kurang pun sedikit, kalau lebih pun sedikit. Apabila menerima SMS tentang berita kematian Cikgu Zul, aku terkedu seketika. Bersedih dan berhiba.Aku kehilangan seorang rakan seperjuangan yang gigih dan tabah yang telah melalui azab derita atas nama perjuangan untuk rakyat.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan memberi kekuatan kepada anak dan isterinya menghadapi detik-detik yang sedih ini.Al-fateha, Amin.

Hassan Karim
Pontian, Johor
3.6.2012



3 ulasan:

KR 31 A.K.A Zabri berkata...

Alfatihah untuk yang gagah berani moga ditempatkan dilakangan orang yang beriman

Tanpa Nama berkata...

Pejuang seperti Cikgu Zul perlu digarap kerana cabaran dalam perjuangan sangat besar.
Hanay mereka yang dah 4 tahun dalam ISA boleh menjawab.

Militia Buruh berkata...

Al-fatihah...Semoga beliau ditempatkan dikalangan orang yang beriman.