WARAN TANGKAP
BENJAMIN
NETANYAHU
Pada Khamis 21 November 2024 tiga waran tangkap telah di keluarkan oleh MJA - Mahkamah Jenayah Antarabangsa - Internasional Criminal Court. Tiga waran di keluarkan untuk menangkap Benjamin Netanyahu Perdana Menteri Israel, Yoav Gallant bekas Menteri Pertahanan Israel dan Mohammed Deif ketua Briged Izz al-Din al-Qassam dari Hamas.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa (MJA) ini telah di tanda tangani oleh 124 negara dalam dunia ini. Negara-negara ini juga telah meratifikasi dan menandatangani Perjanjian Rom – Rome Statute. MJA mula secara resmi bergerak pada 1 Julai 2002.
Jangan tersilap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) ini berbeza dari Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Walaupun ke dua-duanya berpusat di Den Haque Belanda dan kait rapat dengan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB)
Mahkamah Jenayah Antarabangsa ialah sebuah organisasi antara kerajaan dan tribunal antarabangsa. Ia merupakan mahkamah antarabangsa pertama dan satu-satunya yang mempunyai bidang kuasa untuk mendakwa individu bagi jenayah antarabangsa genosid, jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah perang dan jenayah pencerobohan.
Mahkamah yang bersidang telah mendapati Netanyahu dan Gallant dengan sengaja dan secara sedar telah menafikan hak penduduk awam di Gaza untuk hidup. Mereka telah dinafikan makanan, air, dan ubat-ubatan dan bekalan perubatan, serta bahan api dan elektrik. Ini jenayah terhadap kemanusiaan.
Manakala Mohammed Deif pula dituduh telah melakukan jenayah terhadap kemanusiaan dengan melakukan pembunuhan, pemusnahan, penyeksaan dan rogol dan bentuk keganasan seksual yang lain. Serta jenayah perang pembunuhan dan pengambilan tebusan.
Mahkamah juga mahu mengeluarkan waran tangkap terhadap Ismail Haniyeh dan Yahya Sinwar. Tetapi dua mereka ini telah wafat.
Dari segi sejarah Mahkamah Jenayah Antarabangsa ini telah mengeluarkan waran tangkap pertamanya pada 8 Julai 2005. Perbicaraan pra-perbicaraan pertama diadakan pada 2006.
Orang yang ditahan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa ditahan di pusat tahanan MJA yang terletak di dalam penjara Belanda di Scheveningen.
Sehingga Jun 2018, mahkamah telah mengeluarkan waran tangkap awam terhadap 42 individu, enam daripadanya kini dalam tahanan mahkamah.
Sosok pertama kena tangkap dan dijatuhkan hukum ialah ketua pemberontak Congo, Thomas Lubanga Dyilo. Sosok ini didapati bersalah atas jenayah perang yang berkaitan dengan menggunakan askar kanak-kanak. Lubanga dijatuhi hukuman penjara 14 tahun.
Pada 17 Mac 2023, waran tangkap di keluarkan untuk Presiden Rusia Valdimair Putin dan Maria Lvova-Belova .Maria adalah pesuruhjaya Rusia untuk kanak-kanak. Mereka terlibat dalam jenayah perang di Ukraine.
Waran terhadap Putin adalah yang pertama terhadap ketua anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Ketika waran di keluarkan terhadap Putin media dunia heboh tetapi tidak seheboh keluarnya waran terhadap Netanyahu. Malah media dunia seolah-olah semua bersetuju bahawa jenayah telah berlaku dan Putin perlu dibicarakan.
Dunia masih teringat bagaimana Putin gagal hadir di Persidangan Ekonomi BRIC pada bulan Ogos 2023 di Johannesburg di Afrika Selatan. Ini kerana negara Afrika Selatan menghormati keputusan MJA.
Apa makna waran tangkap terbaru ini ? Apa implikasinya terhadap Israel?
Pertama Netanyahu dan Gallant tidak lagi bebas mundar mandir mengikut suka hati. Dua sosok ini pasti berhati-hati kerana ada 124 negara yang telah meratifikasi perjanjian mahkamah ini.
Belanda negara salah satu negara Eropah yang pertama secara terbuka menyatakan pendirian. Ini kerana mahkamah itu sendiri terletak di Belanda
Menteri Luar Belanda, Caspar Veldkamp, berkata: "Belanda jelas menghormati kemerdekaan ICC....Kami bertanggungjawab untuk bekerjasama dengan ICC dan kami juga akan melakukannya. Kami mematuhi 100% Statut Rom."
"Kami mematuhi 100% Statut Rom...Ini bermakna kami mematuhi waran tangkap jika seseorang berada di wilayah Belanda. Dan ini bermakna kami tidak menjalin hubungan yang tidak penting."
Kita sering membaca dan mendengar ahli politik Ireland bersuara dalam Parlimen Eropah menyatakan sokong terhadap perjuangan Palestin. Justeru dunia tidak terkejut dengan pendirian kerajaan Ireland.
Perdana Menteri Ireland Simon Harris mengalu-alukan waran tangkap itu. Dia menyebutnya sebagai "langkah yang sangat penting".
"Kami telah menegaskan bahawa undang-undang antarabangsa mesti terpakai dalam semua keadaan, pada setiap masa, dan di semua tempat dan mereka yang bertanggungjawab untuk pelanggaran, mereka yang melakukan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan, mesti dipertanggungjawabkan sepenuhnya," tulis Harris dalam satu kenyataan.
"Ireland menghormati peranan Mahkamah Jenayah Antarabangsa."
Norway, yang baru-baru ini mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara, berkata: "ICC memainkan peranan penting... Adalah penting ICC menjalankan mandatnya dengan cara yang bijak. Norway yakin mahkamah akan meneruskan kes berdasarkan piawaian percubaan adil tertinggi."
Dalam masa yang sama kerajaan Afrika Selatan mengalu-alukan keputusan mahkamah, menyifatkannya sebagai "langkah penting ke arah keadilan bagi jenayah kemanusiaan dan jenayah perang di Palestin".
"Afrika Selatan mengesahkan komitmennya terhadap undang-undang antarabangsa dan menggesa semua pihak negara untuk bertindak mengikut kewajipan mereka dalam Statut Rom," .
“Kami menyeru masyarakat global untuk menegakkan kedaulatan undang-undang dan memastikan akauntabiliti terhadap pencabulan hak asasi manusia.
Jangan kita lupa negara bernama Afrika Selatan ini telah juga telah membawa Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Afrika Selatan awal lagi telah menuduh Zionis Israel itu melakukan tindakan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
Kerajaan British menunjukkan bahawa Netanyahu menghadapi penahanan jika dia mendarat di UK.
Manakala Itali dan Perancis masih belum menyatakan secara terbuka pendirian mereka. Walhal negara ini semua mengiktiraf MJA.
Negara-negara Arab dan negara yang klim sebagai negara Islam seperti Moroko, Mesir, Saudi Arabia atau Libya hingga tulisan ini di garap belum ada kedengaran pendirian mereka.
Hanya Iran membuat pendirian yang jelas dan keras.
Pemimpin tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei yang menyokong pejuang Hamas dan Hizbullah di Gaza dan Lebanon, berkata hukuman mati wajar dikenakan terhadap pemimpin Israel, bukannya waran tangkap.
"Mereka mengeluarkan waran tangkap, itu tidak cukup... Hukuman mati harus dijatuhkan untuk pemimpin-pemimpin jenayah ini," kata Khamenei, merujuk kepada pemimpin Israel.
Apa pendirian kerajaan Amerika di bawah Biden ?
Dulu ketika waran di keluarkan untuk menangkap Putin kerana jenayah perang di Ukraine media Amerika heboh bagai nak rak. Semua pemimpin Parti Republikan dan Demokrat mengalu-alukan waran tangkap untuk Putin.
Media Amerika mengesahkan Putin sebagai penjenayah.
Pada 18 Mac 2023 portal berita BBC telah melaporkan bahawa Presiden Joe Biden mengalu-alukan keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa yang mengeluarkan waran tangkap terhadap rakan sejawatannya dari Rusia, Vladimir Putin.
Presiden Biden berkata, walaupun mahkamah juga tidak mempunyai pengaruh di AS, pengeluaran waran "membuat titik yang sangat kuat".
Kali ini bila waran untuk Netanyahu di keluar semuanya jadi terbalik. Politikus Amerika tidak meloncat mengambur seperti ketika waran tangkap untuk Putin keluar
Pada 22 November 2024 dari portal BBC yang sama Presiden AS Joe Biden menggelar waran tangkap jenayah perang Mahkamah Jenayah Antarabangsa untuk Netanyahu perdana menteri Israel sebagai "keterlaluan".
Eropah dan AS berpecah dalam respons mereka terhadap waran itu, dengan beberapa negara Eropah berkata mereka menghormati keputusan ICC.
Amerika yang menanda tangani Rom Statut pada 31 Disember 2000 kelihatan berdulak dalik dan terus mempertahankan negara Zionis Israel.
Biden berkata – keterlaluan. Dunia bertanya keterlaluan apa? Bukankah pembunuhan yang dilakukan oleh Israel itu amat-amat keterlaluan.
Hakikatnya geo-politik dunia hari dan kuasa imperialis Amerika akan memastikan dua sosok Zionis ini tidak akan masuk ke penjara di Belanda.
Amerika telah bersedia dengan alat perisai yang di panggil The Hague Invasion Act.
Ini adalah Akta Perlindungan Anggota Perkhidmatan Amerika, yang ditandatangani menjadi undang-undang oleh Presiden George W. Bush pada 3 Ogos 2002. Undang-undang itu direka untuk melindungi kakitangan tentera dan pegawai kerajaan A.S. daripada didakwa oleh MJA.
Akta ini memberi Amerika kuasa untuk menggunakan "semua cara yang diperlukan," termasuk pasukan tentera, untuk mendapatkan pembebasan mana-mana warga AS atau bersekutu yang ditahan oleh MJA.
Akta ini direka menjelang pencerobohan Inggeris-Amerika ke atas Iraq di mana tentera AS dan UK didakwa melakukan banyak jenayah perang.
Maknanya tentera Amerika akan menyerang Belanda jika Belanda menangkap Netanyahu dan Gallant.
Lalu timbul persoalan kepada diri kita sendiri. Apa pendirian kerajaan Madani terhadap waran tangkap ini. Bila persoalan ditanya maka kita akan membuka kembali babak dimana Malaysia gagal untuk menanda tangani Rom Statut. Malaysia secara resmi pada 5 April 2019 menolak Rom Statut.
Justeru jika Netanyahu lari atau singgah ke Kuala Lumpur apakah dia akan di tangkap? Amin. (TT)
TULISAN INI DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL
MALAYSIA KINI.COM
https://www.malaysiakini.com/columns/727274
Tiada ulasan:
Catat Ulasan