MEMBULI
MALAYSIANOW
MalaysiaNow tidak akan tunduk kepada gangguan
Pada 11 Ogos 2025, saya disoal siasat polis berdasarkan sebuah laporan polis yang dibuat di Kota Kinabalu berhubung artikel diterbitkan MalaysiaNow, yang antara lain mendedahkan bagaimana Sabah Mineral Management, sebuah agensi dipengerusikan oleh ketua menteri Sabah, telah meluluskan permohonan lesen cari gali mineral untuk sebuah syarikat yang dikaitkan dengan bekas setiausaha politik kepada perdana menteri, Farhash Wafa Salvador.
Saya diberitahu bahawa siasatan dijalankan di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan kerana membocorkan dokumen sulit, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) yang berkait penggunaan tidak wajar kemudahan dan perkhidmatan rangkaian.
Sejajar dengan hak perlembagaan saya, saya mengambil keputusan untuk tidak menjawab sebarang soalan polis mengenai artikel itu.
Pada hari sama, saya dimaklumkan bahawa Farhash telah memfailkan permohonan untuk menghalang MalaysiaNow daripada menerbitkan apa-apa laporan seterusnya yang menyentuh perkara itu, di samping saman fitnah yang menuntut ganti rugi sekurang-kurangnya RM10 juta.
Perbicaraan memohon injunksi di Mahkamah Tinggi Shah Alam akan dijalankan melalui Zoom esok (19 Ogos).
Menyusuli saman Farhash, satu lagi saman difailkan oleh Sabah Mineral Management, dengan menuntut kos RM2 juta di samping "ganti rugi" lain.
Minggu ini, pada 21 Ogos, saya sekali lagi akan disoal siasat polis, kali ini berdasarkan laporan polis dibuat Farhash. Sekali lagi, saya akan menggunakan hak untuk tidak menjawab.
Kedua-dua undang-undang yang digunakan untuk menyoal saya - Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 AKM - merupakan undang-undang yang menjadi senjata ampuh kepada kerajaan dalam menghalang wartawan menjalankan tugas, lebih-lebih lagi mereka yang melakukan "investigative journalism" (penyiasatan) untuk mendedahkan salah laku oleh orang yang berkuasa, selaras dengan peranan media sebagai kuasa keempat.
Adalah tidak masuk akal langsung bahawa semua ini berlaku meskipun terdapat dokumen, surat dan klip audio yang menyokong laporan kami pada 21 Julai, bahawa sebuah syarikat dikawal Farhash dan seorang lagi individu diberikan hak eksklusif untuk cari gali mineral di kawasan seluas 70,000 hektar hutan simpan berhampiran sempadan Kalimantan.
Seharusnya pendedahan mengejutkan seperti ini mendorong pihak berkuasa, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, untuk memulakan siasatan bukan sahaja terhadap apa yang dilihat sebagai kapitalisme kroni yang terang-terangan dalam mengejar kekayaan semula jadi Sabah, tetapi juga bagaimana kawasan yang hampir tiga kali ganda keluasan Kuala Lumpur boleh dibuka untuk penerokaan mineral walaupun statusnya sebagai hutan simpan.
Apa yang berlaku adalah sebaliknya, iaitu media menjadi sasaran.
Soal siasat polis, saman fitnah dan permohonan untuk menutup mulut MalaysiaNow, semuanya sebahagian daripada usaha mengganggu wartawan, trend yang semakin meningkat seiring dengan pelbagai kenyataan pemimpin kerajaan untuk kononnya mempertahankan kebebasan media.
Sebagai editor MalaysiaNow, saya tidak akan tunduk kepada gangguan dan tekanan seumpama ini.
Saya memutuskan untuk memenuhi kewajipan saya sebagai seorang wartawan untuk tidak sesekali pun mendedahkan sumber saya kepada pihak berkuasa.
Editor, MalaysiaNow
18 Ogos 2025


Tiada ulasan:
Catat Ulasan