Ahad, 12 Oktober 2025

TANAH MELAYU 1955 - GAZA 2025


 TANAH MELAYU 

1955 

GAZA 2025


Saya menulis tulisan ini  pada 7 Oktober 2025.   Pada hari ini dua tahun dahulu  di subuh Sabtu gerila Brigade Al-Qassam Hamas telah menyerang Israel. Operasi Taufan Al-Quds ini memeranjatkan dunia.  Operasi ini memperlihatkan kekuatan dan keupayaan Hamas untuk melawan penjajah Israel.

Operasi Brigade Al-Qassam ini telah membawa agenda Palestin ke  muka dunia. Ketika tulisan ini di garap media dunia sedang heboh membincangkan – Perjanjian Damai  Gaza.

Dari apa yang saya baca - wakil Hamas, wakil Isreal dan wakil Presiden Trump kini berada di Cairo untuk memperinci perjanjian damai antara Hamas dengan Israel. Kerajaan Mesir telah menjadi Tuan Rumah.  Wakil dari Qatar juga ikut sama dalam perundingan ini. 

Wakil peribadi Trump ialah Jared Kosher. Sosok Yahudi peniaga-pemaju ini  ialah menantu kepada Donald Trump sendiri. Juga bersama ialah seorang lagi peniaga-pemaju Steve Witkoff.  Trump melantaiku Steve Witkoff sebagai Wakil Keamanan  Timur Tengah. 

Rundingan damai ini   menetas dari mulut Presiden Donald Trump. Dia telah mengajukan 20  fasal  yang wajib di persetujui oleh Hamas dan Isreal untuk merealisasikan perjanjian ini.

Antara  20 fasal itu ada menyebutkan bahawa Gaza akan mendapat damai bila Hamas membebaskan semua tawanan.  Masih ada 41 tawanan – hidup dan mati -  di tangan Hamas. Juga Isreal bersetuju untuk membebaskan 1000 orang warga Palestin yang dalam penjara Israel.

Gaza mengikut perjanjian ini akan di bangunkan. Warga Gaza tidak akan di halau keluar. Mereka boleh pergi dan datang ke tanah tumpah darah mereka.

Soldadu Zionis Isreal akan berundur. Serangan darat dan udara akan di hentikan. Israel akan menarik keluar semua senjata berat seperti kereta kebal dan meriam besar.

Dalam masa 72 jam perjanjian di tanda tangani  - tawanan di bebaskan. Bantuan makanan dan perubatan akan di benarkan masuk ke Gaza. Hospital dan infrastruktur seperti air dan leterik akan di pulihkan.

Sekali baca kelihatan perjanjian damai  ini dilihat molek dan meyakinkan.

Tetapi bila saya teliti dan  di perinci ada satu  fasal dalam  perjanjian yang mewajibkan   Gaza akan jatuh ke tangan satu Lembaga Gaza Baru . Lembaga baru ini yang akan di kepalai oleh Presiden Trump sendiri. Lembaga Gaza ini juga akan di kendalikan  bersama oleh Tony Blair – bekas Perdana Menteri United Kingdom. 

Jika Gaza  sebuah syarikat : Donald Trump ialah Pengerusi syarikat. Dan Tony Blair menjadi  CEO syarikat ini.

Lembaga ini akan melantik sesiapa  yang mereka  anggap sesuai atau pakar  untuk mengendalikan  pembangunan dan pentadbiran Gaza.

Dalam perjanjian ini peranan wakil Palestin tidak di sebut. Malah Penguasa Palestin yang klim menguasai Tebing Barat di cicirkan.

Bila saya ulang baca 20 fasal ini maka saya teringat akan sejarah  Tanah Melayu. Apabila nama Tony Blair muncul maka ianya lebih meyakinkan saya bahawa projek damai anjuran Trump ini  adalah projek Anglo-Amerika.

Bila nama  Tony Blair disebut maka tidak dapat tidak kita  wajib kembali menyusur sejarah Palestin. Bumi Palestin ini adalah  bekas tanah jajahan Inggeris.  Israel  dieram  atas tapak tangan kuasa penjajah Inggeris.

Deklarasi Balfour ialah kenyataan umum keluar pada tahun 1917 oleh kerajaan British. Deklarasi ini  mengisytiharkan sokongan untuk "rumah negara untuk orang Yahudi" di Palestin. Ketika itu Palestin adalah  sebahagian daripada Empayar Uthmaniyyah. 

Deklarasi ini ditulis oleh Setiausaha Luar UK -   Lord  Arthur Balfour. Surat deklarasi  ini ditujukan  kepada   sosok perniagaan Yahudi bernama Lord Rothschild. Deklarasi itu memberikan gerakan Zionis pengiktirafan kuasa besar dunia dan membantu membuka jalan kepada penubuhan Israel. 

Deklarasi Balfour inilah   permulaan mencetuskan konflik kerana ianya  tidak menghiraukan hak dan aspirasi  ke warga negaraan  kepada majoriti anak watan  Arab Palestin yang sedia ada. 

Bila saya membaca berita Gaza dalam tahun 2025 saya teringat kepada sejarah Tanah Melayu pada tahun 1955.  Ketika itu  saya berumur 5 tahun. Ingatan saya masih cerah  lagi. Saya pernah melihat  melihat soldadu Inggeris, soldadu Fiji, soldadu Bengali dan soldadu Ghurkha masuk ke kampung saya.   

Malah kem Ghurkha di Kuala Klawang Jelebu ini akhirnya menjadi tapak Sekolah Menengah Undang Jelebu (SMUJ). Hingga ke hari ini jalan ini di namakan Jalan Ghurkha.  

Saya masih ingat lagi kereta perisai untuk Pegawai Inggeris dan datang pergi di Jelebu. Mereka wajib melintasi hutan dara Bukit Tangga di mana Gerakan Pembebasan Tanah Melayu beroperasi. Pernah satu gerombolan soldadu Inggeris dibunuh oleh gerila pembebasan di Bukit Tangga. 

Cerah dalam ingatan: Saya ternampak di Kampung Chenor  pesawat tentera udara Inggeris menaburkan kertas dari udara ke dalam hutan Jelebu. Ini kertas selebaran meminta pejuang gerila kemerdekaan Tanah Melayu  menyerah diri.

Saya juga teringat bagaimana keluarga kami tidak dapat  pulang ke Jelebu dari Jempul Kuala Pilah. Ini berlaku  kerana wilayah  Simpang Pertang  sedang dibom dari udara oleh soldadu Inggeris.

Sebenarnya apa yang berlagu di Gaza lebih dahsyat dari yang pernah berlaku di Tanah Melayu. Betul – keluarga kami juga di masukkan ke dalam Kampung Berkurung – kawat besi – tapi gerak laku Zionis di Gaza lebih ganas jahat dan zalim. Tidak ada bandingan. 

Saya juga teringat bagaimana  Arwah Ayah saya membawa satu poster gambar Perjanjian Baling. Pada ketika itu saya hanya melihat gambar tidak tahu membaca. Saya kenal sosok- sosok dalam gambar itu. Ada yang bertopi dan ada yang  bersongkok. Ada yang  memakai seluar pendek.  Ada yang bernama Tunku dan ada yang bernama Rashid.

Ini  adalah Perjanjian Baling  1955 di Kedah. Ini adalah  usaha  penjajah Inggeris untuk membawa damai. Pada ketika ini  gerila Pembebasan Rakyat Tanah Melayu  di bawah pimpinan Parti Komunis  Malaya (PKM )sedang melancarkan perang gerila melawan Inggeris.

Kuasa kolonial Inggeris yang  jatuh muflis sesudah Perang Dunia Kedua kini di pukul terok oleh gerakan gerila kemerdekaan di Tanah Melayu. 

Untuk menyelamatkan diri kuasa kolonial  Inggeris mencari dan mendirikan kumpulan boneka  untuk memastikan harta kekayaan – kebun getah dan lombong bijih – milik  Inggeris di Tanah Melayu terjamin selamat. 

Taktik mewujudkan kumpulan boneka tali barut penjajah ini adalah taktik Inggeris yang berjaya. Malah taktik ini jugalah yang digunakan oleh Zionis Isreal di Tebing Barat.  

Jika di Tanah Melayu  Inggeris memberikan kuasa kepada budak kolonial bernama Tunku Abdul Rahman. Di Palestin taktik yang sama  dilakukan.  Kuasa penjajah Zionis Israel telah  menobatkan  Mahmud Abbas  sebagai ketua Penguasa  Palestin di Tebing Barat.

Tunku  melalui Perjanjian Baling akan di beri kuasa  oleh Inggeris untuk mengurus Tanah Melayu. Mahmud Abbas dengan Perjanjian Oslo di beri taraf sebagai  Subkontraktor  untuk  mengawal Tebing Barat bagi pihak Israel. 

Bila saya membaca kembali sejarah Perjanjian Baling 1955 maka  tidak dapat tidak saya akan menyamakan ianya dengan apa yang sekarang sedang berlaku di Gaza 2025.

Salah satu fasal dalam Perjanjian Baling 1955 ialah Parti Komunis Malaya wajib meletakan senjata. Gerila yang menyerah diri akan di ampunkan. Parti Komunis akan di haramkan dari  mengambil bahagian politik di Tanah Melayu. 

Salah satu fasal dalam Perjanjian Damai Gaza 2025 ialah Hamas wajib meletakkan senjata. Ahli Hamas yang bertaubat akan di ampunkan. Hamas di haramkan dari memainkan apa-apa peranan dalam Palestin.

Jelas semua ini dari Kitab Kuning yang sama. Dari ajaran dan taktik penjajah yang sama.  Palestin Merdeka – atau  Penyelesaian Dua Negara tidak di sebut dalam  Rundingan Damai Gaza 2025.

Adalah benar dan benar belaka – warga Gaza  telah letih dan terseksa selama dua tahun ini. Adalah benar dan benar belaka bahawa kemusnahan   dan bala petaka telah  menimpa Gaza. Warga Gaza mahu perang di hentikan.

Tapi apakah Perjanjian Damai Gaza 2025  ini akan membawa damai?

Apakah  Lembaga Gaza Baru ini akan mewakili kepentingan anak  watan Gaza?

Bila muka Tony Blair muncul sebagai pembantu Donald Trump banyak kepala menggeleng. Ini kerana sosok yang bernama Tony Blair ini adalah Penjenayah Perang.  Sosok ini bersama George Bush telah menipu dunia untuk melakukan perang ke atas Iraq.

Bila   Perjanjian Damai Gaza ini diumumkan dari  mulut Trump dengan cepat lagi tangkas   suara dari   Saudi  Arabia, Turki, Indonesia, Jordan,  Pakistan dan Mesir menyokong.

Bila saya membaca kenyataan dari negara-negara Islam ini saya tersenyum. Pemimpin  negara ini mengingatkan saya kembali kepada zaman Mahathir menjadi Perdana Menteri. Setiap kali Mahathir memberi pandangan – belum pun habis ucapan Mahathir – Samy Vellu telah berkata : Saya sokong !

Negara-negara Arab Islam ini semuanya negara boneka kepada kuasa imperial Anglo-Amerika. Mesir  akan runtuh jika  berbilion dolar Amerika tidak  sampai.  Mungkin ramai tidak sedar Mesir sama seperti  Israel telah menerima lebih dari 50 bilion dana dari Amerika.  Jordan juga telah menerima lebih dari 10 bilion dolar. 

Manakala Turki adalah anggota NATO. Turki adalh negara Islam yang pertama semenjak 1949 telah mengiktiraf Israel. Hubungan Turki dan Isreal ialah abang adik.

Ketika tulisan ini digarap perbincangan di kota peranginan lumayan Sharm el-Sheikh di Laut masih berjalan.

Delegasi Amerika yang diketuai  Steve Witkoff  sampai untuk  mengukuhkan penglibatan Presiden Donald Trump dalam rundingan ini. 

Setiausaha agung PBB, António Guterres, menyeru untuk menamatkan permusuhan, yang telah mewujudkan "malapetaka kemanusiaan pada skala yang tidak dapat difahami".

PM Isreal Netanyahu dalam perutusannya ulang tahun 7 Oktober  berikrar untuk mencapai semua matlamat perang, termasuk menghancurkan Hamas.

"Penghapusan pemerintahan Hamas dan memastikan Gaza tidak akan lagi menimbulkan ancaman kepada Israel.” Ini janji  Benjamin Netanyahu.

Walau bagaimanapun, masih banyak ketidakpastian sebelum perjanjian di tanda tangani. Paling penting apakah Hamas bersetuju untuk meletakkan senjata seperti yang telah di lakukan oleh Al-Fatah dan PLO.

Lalu saya teringat kepada kata-kata  Che Geuvera :  "Adalah penting untuk ditekankan bahawa peperangan gerila adalah perang massa, perang rakyat. Kumpulan gerila adalah nukleus bersenjata, barisan hadapan perjuangan rakyat."

Saya teringat juga kata-kata dari Mao Zedong :Kuasa politik  datang dari muncung senapang. 

Jika Hamas meletakan senjata maka Hamas tidak ada kuasa. 

Penjajaan Baling 1955 ditolak oleh PKM – perang gerila diteruskan. Apakah pada tahun 2025 Hamas akan meneruskan perang  atau hilang kuasa.  Kita   tunggu dan  lihat. Amin. (TT)

 
TULISAN INI
DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL
MALAYSIA KINI. COM
https://www.malaysiakini.com/columns/757694











Tiada ulasan: