Selasa, 10 Mac 2026

TURUN KE JALAN RAYA !!!


HANYA SATU

JAWAPAN

AMIN

SUSUN ATUR

HASUT SISWA

ANAK MUDA

TURUN TURUN

KE JALAN RAYA

KHALAS


Kumpulan siswa dakwa intimidasi lepas UM hantar notis undang-undang
Liga Mahasiswa Universiti Malaya (LMUM) mendakwa mengalami intimidasi selepas menerima notis undang-undang yang menuntut mereka menghentikan penggunaan nama universiti itu, memandangkan kumpulan itu masih belum didaftarkan secara rasmi sebagai sebuah pertubuhan pelajar.

LMUM berkata presidennya, Ammar Daniel Noor Irwan, menerima e-mel pada 6 Mac daripada sebuah firma guaman yang mewakili Universiti Malaya (UM), mengandungi surat peringatan berhenti dan tidak melanjutkan aktiviti (cease-and-desist letter) berserta surat janji (LOU).

Menurut surat-surat berkenaan yang diperoleh Malaysiakini, LMUM didakwa telah melanggar hak tanda dagangan universiti dengan menggunakan nama UM sebagai sebahagian daripada aktiviti dan platform media sosialnya, walaupun belum didaftarkan sebagai persatuan rasmi di bawah universiti itu.

Notis itu memberi tempoh tujuh hari kepada kumpulan berkenaan untuk menandatangani surat janji bersetuju bagi menghentikan penggunaan nama serta menamatkan sebarang kaitan dengan universiti itu, atau berisiko dihadapkan dengan tuntutan sivil.

Malaysiakini telah menghubungi UM untuk mendapatkan ulasan.

Ahsanul Akmal Muhamad Sulam, naib presiden LMUM, menyifatkan tindakan itu sebagai cubaan untuk menakut-nakutkan pelajar, dengan alasan kebanyakan gerakan pelajar tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk menghadapi ancaman undang-undang.

“Ini adalah satu bentuk intimidasi kerana kami adalah gerakan pelajar. Kebanyakan gerakan pelajar tidak ada duit. Dengan diberikan surat ini untuk ditandatangani dalam tempoh yang begitu singkat, ia sangat kejam.

“Dengan hanya tujuh hari diberikan, bagaimana kami hendak cari dana untuk mengupah peguam?” katanya pada sidang media di Rumah Mandiri hari ini.

Meskipun demikian, LMUM menegaskan mereka tidak akan menandatangani surat janji tersebut dan akan mendapatkan nasihat guaman, walaupun menghadapi kekangan masa.

Ditanya mengenai status pendaftaran mereka, LMUM menegaskan isu ini bukan tentang pendaftaran, tetapi mengenai keputusan universiti untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap gerakan pelajar yang beroperasi di kampus.

Kumpulan itu berkata pihak universiti sudah mengetahui kewujudan mereka dan mempertikaikan mengapa pihak pentadbiran tidak terlebih dahulu menghubungi ahli mereka untuk membincangkan pendaftaran rasmi.

“Kami sebenarnya terbuka untuk mendaftar. Tetapi selepas menerima perkara sebegini daripada universiti, kami tidak pasti apa yang akan berlaku seterusnya,” tambah Ahsanul.

Beliau juga mendakwa ini adalah kali pertama universiti memilih untuk menggunakan tindakan undang-undang berbanding menggunakan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (UUCA) untuk menegur kumpulan pelajar.


Tiada ulasan: