Ahad, 12 April 2026

KERJA BAIK BANTU JIRAN TETANGGA


KERJA BAIK

BANTU JIRAN

TETANGGA

KHALAS



329,000 tong diesel dari Malaysia sudah tiba di Filipina - Jabatan Tenaga

MANILA: Kira-kira 329,000 tong, atau 52.311 juta liter diesel dari Malaysia telah dihantar ke Filipina, sekali gus menambah bekalan bahan api negara itu ketika pasaran minyak global berdepan ketidaktentuan susulan krisis di Asia Barat.

Ketibaan terkini diesel yang diperoleh kerajaan itu menyusuli penghantaran pertama sebanyak 142,000 tong, atau 22.578 juta liter, dari Jepun pada 26 Mac lalu.

Ia selaras dengan arahan Presiden Ferdinand Marcos Jr di bawah Perintah Eksekutif 110 bagi memastikan bekalan minyak yang stabil dan mencukupi dalam keadaan ketidaktentuan pasaran luar yang meningkat.

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, Setiausaha Jabatan Tenaga (DOE), Sharon Garin, berkata ketibaan penghantaran kedua itu mencerminkan usaha berterusan kerajaan untuk meningkatkan bekalan domestik ketika ketegangan di rantau Teluk terus memuncak.

"Penghantaran terbaharu dari Malaysia ini terus mengukuhkan kedudukan bekalan kita pada ketika risiko luar masih wujud dan situasi di Asia Barat terus tegang.

"Kerajaan mengambil langkah terancang dan berpandangan jauh untuk menambah bekalan sedia ada, menyokong sektor penting serta memastikan negara bersedia menghadapi kemungkinan gangguan dalam pasaran minyak global," katanya.

DOE berikrar untuk terus menyelaras rapat dengan agensi kerajaan berkaitan dan pihak industri bagi memperkukuh ketersediaan bahan api, mengekalkan keadaan pasaran yang teratur serta melindungi kebajikan pengguna.

Ia juga memberi jaminan kepada orang ramai bahawa pemantauan berterusan terhadap paras inventori akan dilakukan, selain pengagihan tepat pada masanya bagi bekalan bahan api yang diterima.

Intervensi kerajaan turut dilaksanakan bagi mengelakkan gangguan bekalan yang boleh menjejaskan sektor pengangkutan, logistik, penjanaan tenaga dan aktiviti ekonomi penting lain.

Sebelum ini, Garin memaklumkan bahawa penghantaran tambahan diesel dari negara lain dijangka tiba dalam bulan ini.

Beliau turut memberi jaminan bahawa negara itu mempunyai bekalan bahan api yang mencukupi meskipun pasaran global berdepan ketidaktentuan.

Sebagai pengimport bersih produk petroleum, Filipina kekal terdedah kepada perkembangan luar yang boleh menjejaskan harga dan bekalan. - AGENSI


Tiada ulasan: