“Berita buruknya ialah kami masih belum mencapai persetujuan dan saya fikir itu berita yang lebih buruk untuk Iran berbanding Amerika Syarikat.
“Mereka memilih untuk tidak menerima syarat kami,” kata Vance kepada wartawan AS di sebuah hotel yang menjadi lokasi delegasi Amerika dan Iran mengadakan rundingan sejak Sabtu.
Beliau berkata Washington masih belum melihat komitmen jangka panjang daripada Iran untuk tidak membangunkan senjata nuklear.
“Soalan mudahnya ialah, adakah kita melihat komitmen yang benar-benar kukuh daripada Iran untuk tidak membangunkan senjata nuklear, bukan setakat sekarang, bukan setakat dua tahun dari sekarang, tetapi untuk jangka panjang? Kami masih belum melihatnya.
“Kami akan beredar dari sini dengan satu cadangan yang amat jelas, iaitu satu bentuk persefahaman yang merupakan tawaran terakhir dan terbaik kami. Kita akan lihat sama ada Iran menerimanya,” kata beliau.
Beliau turut menghargai peranan Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif dan Panglima Tentera Jeneral Asim Munir sebagai pengantara dan berusaha “merapatkan jurang” antara Washington dan Tehran.
Iran dan AS bersetuju untuk mengadakan satu lagi pusingan rundingan Ahad susulan cadangan yang dikemukakan oleh Pakistan.
Pusingan seterusnya dijangka berlangsung selepas matahari terbit pada Ahad, manakala para pegawai dan petugas media menunggu butiran lanjut dari dalam lokasi rundingan.- Bernama - Anadolu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan