PERANGI AMERIKA
PERANGI ISREAL
PERANGI SISTEM
EKONOMI KAPITALIS
HINGGA BERJAYA
KHALAS
Harga minyak naik semula, pelabur masih bimbang pelan gencatan senjata AS-Iran
BEIJING: Harga minyak meningkat semula apabila pelabur bimbang bekalan dari rantau pengeluar utama Asia Barat mungkin tidak akan pulih sepenuhnya, susulan keraguan sama ada gencatan senjata dua minggu antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran akan kekal serta Selat Hormuz yang masih terhad.
Niaga hadapan minyak mentah Brent naik AS$2.60 atau 2.74 peratus kepada $97.35 setong pada 0048 GMT, manakala minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS meningkat AS$3.02 atau 3.2 peratus kepada AS$97.43 setong.
Kedua-dua penanda aras harga itu jatuh di bawah AS$100 setong dalam sesi dagangan sebelumnya, dengan WTI mencatat kejatuhan terbesar sejak April 2020, berikutan jangkaan gencatan senjata yang menamatkan pertempuran antara AS dan Israel menentang Iran akan membuka semula Selat Hormuz.
Laluan perairan itu menghubungkan bekalan dari negara pengeluar Teluk seperti Iraq, Arab Saudi, Kuwait dan Qatar ke pasaran global, dan biasanya membawa kira-kira 20 peratus bekalan minyak dunia.
Namun, persoalan mengenai ketahanan gencatan senjata masih timbul apabila Israel meneruskan serangan ke atas Lubnan semalam, menyebabkan Iran menyatakan bahawa adalah "tidak munasabah" untuk meneruskan rundingan bagi mencapai perjanjian damai kekal.
Syarikat perkapalan juga berkata mereka memerlukan kejelasan lebih lanjut mengenai terma gencatan senjata sebelum menyambung semula pelayaran melalui Selat Hormuz.
Media Iran melaporkan bahawa Iran telah mengeluarkan peta untuk membimbing kapal mengelak kawasan periuk api di laluan tersebut serta menetapkan laluan selamat untuk perjalanan, dengan koordinasi bersama Kor Pengawal Revolusi Islam Iran.
"Perjalanan melalui Selat Hormuz tidak tiba-tiba menjadi bebas risiko. Ia masih bergantung kepada budi bicara Iran," kata penganalisis di Standard Chartered dalam satu nota.
"Gangguan logistik, kebimbangan keselamatan, premium insurans yang tinggi serta kekangan operasi bermakna sangat sedikit tambahan bekalan tenaga dijangka dapat disalurkan melalui Selat Hormuz dalam tempoh dua minggu akan datang."
Kemudahan minyak serantau juga masih berdepan ancaman, dengan Iran dilaporkan menyerang lokasi di negara jiran selepas gencatan senjata, termasuk satu saluran paip di Arab Saudi yang digunakan untuk memintas Selat Hormuz yang disekat, menurut sumber industri minyak.
Kuwait, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut melaporkan serangan peluru berpandu dan dron.
Terdapat keraguan sama ada gencatan senjata itu mampu bertahan, kata Haitong Futures dalam satu nota, memandangkan serangan Israel terhadap Hezbollah di Lubnan menjadi isu pertikaian, sementara serangan terhadap kemudahan tenaga di seluruh Asia Barat masih belum berhenti, dan kenyataan bercanggah mengenai Selat Hormuz terus berlaku. - REUTERS


Tiada ulasan:
Catat Ulasan