Nurul Izzah Aidilfitri

selangorku 1

.

Jumaat, 16 September 2011

KENYTAAN RESMI DARI PARTI KEADILAN RAKYAT




KENYATAAN MEDIA:
16 September 2011

TERUS MARA MEMASTIKAN PERUBAHAN TERLAKSANA


Saya mengucapkan tahniah kepada semua pejuang kebebasan dan hak asasi manusia kerana kerajaan Umno-Bn akhirnya terpaksa akur dengan kebenaran dan keadilan yang mereka perjuangkan selama berdekad-dekad. Ribuan pejuang ini dipenjara, difitnah dan menderita pelbagai kezaliman demi untuk hak dan kebebasan rakyat yang dinodai oleh Umno-BN sejak merdeka lagi.

Tanpa kegigihan perjuangan mereka yang sentiasa memberikan tekanan kepada Datuk Seri Najib Razak, pastinya YAB Perdana Menteri tidak akan membuat kenyataan semalam untuk menamatkan darurat dan menyarankan untuk memansuhkan ISA. Semangat perjuangan rakyat telah menjadi sebahagian dari darah daging perjuangan parti-parti dalam Pakatan Rakyat. Pakatan Rakyat meneruskan perjuangan ini dengan memasukkannya ke dalam Buku Jingga.

Justeru itu apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri bukanlah suatu kurnia kepada rakyat sempena Hari Malaysia, sebaliknya ia adalah hasil dari perjuangan getir. Maka tahniah yang sebenar adalah untuk para pejuang kebebasan dan hak asasi baik dari parti-parti politik mahupun dari NGO. Sebagaimana kita tidak memberikan tahniah kepada British kerana memberikan kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 tetapi tarikh tersebut kita rayakan sebagai kemuncak kejayaan perjuagan menentang penjajahan.

Namun kita mengalu-alukan langkah yang diambil Perdana Menteri yang tentunya membuka lembaran baru kepada persekitaran politik Malaysia sekiranya apa yang diumumkan dikotakan dan tidak sebagai satu retorika serta sekadar bersifat kosmetik demi memulihkan imej politik.

Oleh kerana itu sejajar dengan pengumuman Datuk Seri Najib semalam yang berhasrat memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dan menamatkan perintah darurat, kita menuntut agar:

1) Segera membebaskan semua tahanan yang ditahan tanpa bicara atau hadapkan mereka ke mahkamah untuk diadili.

2) Menutup pusat tahanan yang menempatkan tahanan yang ditahan tanpa bicara seumpama Pusat Tahanan Kamunting dan Simpang Renggam.

3) Segera melaksanakan proses siasatan terhadap segala aduan siksaan terhadap para tahanan
.

Kita juga perihatin dengan pengumuman Datuk Seri Najib untuk menggubal dua akta baru yang dipayungi Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan. Akta itu menurut Perdana Menteri bakal digunakan untuk memerangi keganasan dan aliran subversif. Kita berpandangan adalah penting bagi Pakatan Rakyat, NGO dan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak untuk duduk semeja bersama-sama mendapatkan maklum balas dari segenap lapisan masyarakat sebelum rang undang-undang ini dibentangkan di Parlimen kelak. Oleh itu kita menyeru agar diwujudkan Majlis Perundingan Kebangsaan bagi mengkaji serta bersama-sama menggarap dua rang undang-undang mencegah keganasan dan aktiviti subversif yang bakal dibentangkan di Parlimen kelak.

Kita tidak mahu undang-undang yang bakal digubal ini masih menerapkan unsur perundangan antaranya yang mirip dengan peruntukan Seksyen 73(1) dan Seksyen 8 Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Kedua-dua peruntukan tersebut memberi kuasa kepada Menteri untuk menahan sesiapa sahaja dan membolehkan Menteri itu menyalahguna kuasa demi kepentingannya semata-mata. Pastinya pengumuman pemansuhan ISA tidak membawa sebarang erti sekiranya kedua-dua akta yang bakal digubal itu itu masih membolehkan Tahanan Tanpa Bicara.

Saya ingin mengingatkan Perdana Menteri bahawa rakyat dapat membedakan antara slogan dengan hakikat dan rakyat akan meneruskan perjuangan mereka sehingga segala hak dan kebebasan mereka dikembalikan sepenuhnya termasuk hak mereka untuk berhimpun secara aman untuk menjayakan demokrasi tulen.

Rakyat tidak menerima perubahan yang bersifat tempelan. Selagi pemerintahan Umno-BN tidak menerima perhimpunan Bersih 2.0 sebagai hak dan kebebasan rakyat, rakyat akan beranggapan bahawa tuntutan mereka belum dipenuhi. Demokrasi yang berwibawa dan sistem piliharaya yang adil dan bebas adalah sebahagian dari hak asasi dan kebebasan rakyat.

Parti Keadilan Rakyat juga mahu menegaskan bahawa kita tidak akan menerima kenyataan yang dibuat oleh Datuk Seri Najib sebagai bermakna selagi lidah rasmi Keadilan iaitu Suara Keadilan dihalang penerbitan dan pengedarannya oleh Kementerian Dalam Negeri.

Rakyat akan menerima sekiranya pembaharuan yang dilakukan adalah benar-benar ikhlas, berdasarkan penkhayatan kepada nilai-nilai murni demokrasi dan karamah insaniah dan tidak sebagai gimik politik.

Sekiranya Datuk Seri Najib benar-benar menerima nilai-nilai ini beliau sebagai wakil kerajaan harus membuat kenyataan terbuka bahawa kerajaan sebelum ini telah melakukan pelbagai kezaliman di bawah undang-undang kuku besi ISA dan undang-undang drakonian lainnya. Pengakuan ini harus diikuti dengan permohohan maaf kepada mereka yang dizalimi dan kepada mereka yang sudah meninggal, permohonan maaf tersebut disampaikan kepada keluarga mereka.

Perlaksanaan kepada janji Perdana Menteri juga bergantung kepada kebebasan dan integriti institusi kehakiman. Selagi institusi kehakiman tidak bebas dari cengkaman politik dan tidak memiliki integriti, institusi tersebut boleh dijadikan alat kepada kezaliman baru dan melakukan “political persecution.” Bahkan ini yang sedang dilakukan oleh Datuk Seri Najib kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sekarang.

Jenteru itu sementara saya mengajak mengalu-alukan kenyataan positif yang dibuat oleh Perdana Menteri saya juga menyeru rakyat terus istiqamah dalam perjuangan menuntut keadilan dan kebebasan.

MOHAMED AZMIN ALI
TIMBALAN PRESIDEN PARTI KEADILAN RAKYAT


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Mansuh ISA
jika benar bebaskan tahanan dgn segera
Jika benar minta maaf pada keluarga tahanan
Jika tidak maknanya si lembik pembohong
jika tidak dah tahu hari undi dah dekat
jika tidak rosmah bukan anak dara
kah...kah...kah...