Isnin, 9 Mac 2026

PERANG SEKEJAP ATAU PERANG PANJANG


PERANG SEKEJAP

ATAU

PERANG PANJANG


Pada pagi Sabtu 28 Februari 2026 Trump telah melancarkan perang ke atas Iran.  Awalnya Zionis Isreal masuk melancarkan serangan bom ke atas Iran dan Lebanon. Kemudian Amerika masuk mengebom sama. Kota   Tehran, Isfahan dan Tabriz  dan beberapa kota lain menjadi sasaran Israel dan Amerika. Semuanya  telah dirancang dengan rapi.

Netanyahu adalah pemimpin pertama dari luar negara yang berjumpa Trump satelah Trump menang untuk kali Kedua.   Pada 25 Februari 2025 berkata: ‘ You are the greatest friend Israel has ever had in the White House’. 

Netanyahu telah bertemu dengan  Trump sebanyak 7 kali. Kali akhir pada 10 Februari 2026. Pertemuan kali ini diadakan  kerana  Amerika mahu sekali lagi   mengadakan rundingan – nuklear -  dengan Iran.

Media ketika itu melaporkan bahawa Trump dan Netanyahu kali ini agak tidak mesra. Ini kerana tidak ada sidang akhbar bersama seperti kebiasaan. Di tonjolkan seolah-olah  Trump tidak lagi  mengikut skrip Netanyahu untuk tidak meneruskan  perundingan dengan Iran. Semuanya telah di rancang dengan rapi.

Rundingan Amerika-Iran  berjalan di Geneva. Delegasi Iran di kepalai  oleh Menteri Luar Syed Abbas Araghchi. Manakala delegasi Amerika di kepalai oleh Wakil Khas Presiden Steve  Witkoff - seorang Pelabur dan Pemaju Perumahan.  Juga disertai oleh  Jared Kushner ahli perniagaan dan menantu Trump.

Oman memainkan peranan untuk mempertemukan Amerika dan Iran. Menteri Luar Oman  Sayyid Badr Abulsaidi menjadi orang tengah dalam perundingan di Geneva ini.

Sebaik saja bom meledak  Isreal telah mengumumkan darurat.  Di Lebanon  Hizbullah  juga telah menjadi sasaran.

Kementerian Pertahanan Isreal mengumumkan : ‘ Negara Israel telah melancarkan serangan awal terhadap Iran untuk menghapuskan ancaman yang dihadapi oleh Negara Israel.’

Pada pagi Sabtu itu  melalui rakaman video 8 minit Trump pula mengumumkan  warga Amerika dan dunia: ‘ Objektif serangan ini  adalah untuk mempertahankan rakyat Amerika dengan menghapuskan ancaman yang akan berlaku dari rejim Iran. Rejim ini terdiri dari  kumpulan ganas  dan dahsyat. Aktiviti mereka mengancam secara langsung  dan membahayakan Amerika Syarikat. Membawa bahaya kepada tentera Amerika, pangkalan Amerika  luar negara, dan sekutu Amerika di seluruh dunia."

Berita awal melaporkan bom telah menewaskan  Ayatollah Khamenei. Awalnya Iran menafikan kemudian secara resmi media Iran mengumumkan Ayatollah dan beberapa anggota keluarga telah  sahid. 

Serangan dari Israel dan Amerika ini semuanya telah di rancang dengan rapi. Perundingan dijalankan. Ini sebenarnya taktik untuk Amerika membeli masa untuk menghantar bala tentera darat, laut dan udara ke wilayah persekitaran Iran. 

Aircraft Carrier – Ibu Kapal  dari Laut China Selatan dan dari Caribbean  memerlukan masa untuk bergerak. Justeru teater perundingan di pentaskan. Ini kali ke dua teater rundingaan ini di pentaskan.

Kali pertama Isreal menyerang Iran pada  13 Jun 2025  juga ketika  rundingan sedang berjalan.

Kali ini rundingan telah masuk ke Pusingan Ketiga. Mengikut Menteri Luar Oman  Abulsaidi yang di temu bual oleh Stesen Tv CBS  pada Jumaat 27 Februari 2026 telah menyatakan bahawa rundingan di Geneva membuahkan "kemajuan tulen".

Abulsaidi  yakin "perjanjian damai berada dalam tangan kami".  Justeru  tim teknikal dari Iran dan Amerika akan di hantar untuk memperinci rundingan. Kenyataan ini di lafaz pada  Jumaat 27 Februari. Esoknya pagi Sabtu Israel menyerang.

Dari segi Perlembagaan  hanya Kongres Amerika  yang boleh mengeluarkan arahan perang. Jelas Trump telah tidak mempedulikan Perlembagaan Amerika.  Jadi kuasa apa yang lebih tinggi dari Perlembagaan Amerika.

Apa kuasa yang lebih tinggi dari Perlembagaan Amerika?

Jawabnya  mudah – kuasa Zionis Israel.

Amerika kini di bawah telunjuk Zionis Israel. Amerika kini menjadi budak suruhan Israel. Negara kecil dengan 10 juta penduduk kini  menguasai negara besar dengan 350 juta penduduk. Bagaimana perkara ini boleh berlaku?

Semuanya berpunca dari sistem elektoral demokrasi – politik mengundi dan memilih yang diguna pakai di Amerika.

Kita baca ketika berkempen kali ke dua  Trump telah klim dia sebagai Presiden Damai. Dia berjanji akan menamatkan Perang Ukraine dalam masa 24 jam satelah menjadi  Presiden.

Mengenai Iran  ketika berkempen Trump memperlekeh Obama yang gagal berunding dengan Iran.

Trump juga berjanji akan menghapuskan apa yang dia panggil ‘ swamp – kumbahan ‘  di Washington DC.  Trump berkempen membawa dasar  MAGA – Make America Great Again  Jadikan Amerika Gagah Sekali Lagi.

Justeru warga Amerika berduyun dan berbondong turun mengundi Donald J. Trump untuk menjadi Presiden Amerika yang ke 47.

Tapi semua menjadi janji politik yang kosong dan hampeh.  Dalam realpolitik Trump berhadapan dengan empat kuasa yang betul-betul memiliki kuasa di Amerika.

Presiden Amerika hanya boneka. Ada Pak Dalang bermain wayang. Siapa Pak Dalang ini ?

Pertama ialah  kumpulan Yahudi Zionis  yang paling berkuasa di Amerika. Kaum Yahudi Zionis ini terdiri dari  ratusan  bilionair yang kaya raya. Mereka dibantu pula oleh  ratusan jutawan Yahudi yang memberi dana politik untuk pemilihan Presiden, ahli Dewan Kongres , Gabenor, Datuk Bandar  dan  lain-lain lembaga dalam badan politik Amerika. 

Yahudi Zionis kaya raya inilah yang menentukan garis politik dan dasar luar Amerika hari ini. Tanpa dana politik dari kaum Yahudi Zionis adalah mustahil untuk masuk ke Rumah Putih.

Kedua ialah kumpulan Kristian Zionis. Mereka ini terdiri dari mazhab  Protestan Evengelis – Pendakwah Kristian yang  konservatif. Berjumlah  lebih 30 juta. Mereka menyokong negara Israel. Menjadi tugas mereka  sebagai pengikut Kitab Injil  untuk menunggu kedatangan Nabi Isa Kali Kedua  ke Baitulmuqadis.

Mereka bersarang dalam parti Republikan dan gerakan MAGA. Mereka melihat hubungan Amerika-Israel melalui lensa akhir zaman. Mereka juga  menyokong konsep Israel Raya berasakan janji Tuhan   kepada Bani Israel.

Ketiga ialah Industri senjata. Gedung dan kilang membuat senjata ada kepentingan politik untuk meluas perniagaan senjata mereka. Pemilik industri senjata juga menentukan dasar politik Amerika. Mereka juga sama memberi dana untuk ahli-politik Amerika.

Ke empat ialah apa yang dikenali sebagai Deep State – Daulah Terpendam.  Tidak ada nama – tidak ada alamat dan tidak diketahui siapa. Daulah terpendam bergerak secara gelap dan secara tidak resmi. Mereka memiliki pengaruh. Mereka  berselirat dalam 18 lembaga risik seperti CIA dan FBI dan 16 yang lain. Sosok-sosok ini  menggariskan arah dan tuju politik Amerika.

Ketiga-tiga kumpulan ini di ikat pula dengan dana Yahudi Zionis yang  kaya raya.  Ini dibantu pula oleh segala macam media dari filem ke Tv ke Tik Tok  ke akhbar  yang di miliki oleh Yahudi Zionis.

Presiden dan anggota kabinet Trump hanya pekerja-pekerja yang telah mendapat kelulusan dari Daulah Terpendam.  Mereka juga telah di persetujui oleh Industri Senjata. Pengamal media akan melaporkan kenyataan dan pandangan mereka secara positif dan tidak bercanggah dengan kepentingan Israel.

Justeru   secara mudah soldadu Amerika berperang untuk Israel.  

Perang Iran ini telah ada dalam kepala Netanyahu semenjak 30 tahun lagi. Iran wajib di mandulkan. 

Mesir mandul tahun 1974. Presiden Sadat menyerah di Camp David.  Saddam dan Iraq hancur tahun 2003.  Libya dan Gadaffi musnah pada tahun 2011.  Syria menjadi tanah jajahan baru Israel satelah kerajaan Bashar al-Assad  runtuh ada 8 Disember 2024.

Perang hari ini – bom yang di gugurkan di kota-kota di Iran adalah sebahagian dari projek untuk memandulkan Iran. 

Israel mahu menjadi hegemon untuk negara Timur Tengah. Israel mahu menjadi satu kuasa di Timur Tengah yang akan mengawal semua wilayah dari Mesir hingga ke Iraq. 

Justeru kerajaan  Islamik Republik Iran wajib di musnahkan. Jika boleh Iran akan di pecah-pecahkan menjadi wilayah Kurdish, menjadi wilayah Arab, menjadi wilayah Parsi  dan wilayah  Baluci.

Presiden Trump menyimpan harapan dalam seminggu dua Iran akan  runtuh. Kerajaan baru akan muncul.   Tapi mimpi dan angan-angan Trump ini akan gagal kerana  rakyat Iran telah bersumpah dengan Janji  Sejati untuk menuntut bela kematian Ayatollah Khamenei.

Ada satu perkara yang tidak difahami oleh Israel  , Trump dan kuncu-kuncunya. Perkara ini ialah wujudnya dalam mazhab  Syiah, konsep syahid. Ini adalah konsep kematian secara mendalam telah dibentuk oleh warisan sejarah, teologi, dan rohani Pertempuran Karbala. 

Pengorbanan  dan kematian Hussein cucu Nabi Muhamad di Karbala  menjadi ikutan mazhab Syiah.

Kesyahidan tidak dilihat hanya sebagai kematian yang tidak disengajakan, tetapi sebagai tindakan yang sedar, sukarela, dan transformasi untuk menyaksikan kebenaran, berfungsi sebagai sumber pembaharuan rohani, sosial dan politik yang kuat dan kekal.

Justeru Perang Iran ini bukan berjangka pendek seperti harapan Trump. Tapi perang mencari syahid untuk warga Iran. Amin. (TT)


TULISAN INI
DISIARKAN JUGA DALAM PORTLA
MALAYSIA KINI.COM
https://www.malaysiakini.com/news/769696










 








 

Tiada ulasan: