JANJI SUCI
JANJI SEJATI
IRAN MELANTIK
PEMIMPIN BARU
AMIN
PATAH TUMBUH
HILANG BERGANTI
KHALAS
Siapa Mojtaba Khamenei, Pemimpin Agung baharu Iran?
PARIS: Mojtaba Khamenei, anak kepada bekas pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei telah dilantik untuk menggantikan bapanya sebagai Pemimpin Agung baharu Iran.
Mojtaba yang lebih muda itu dinamakan sebagai pemimpin tertinggi oleh badan ulama tertinggi negara itu, Majlis Pakar Iran dalam satu kenyataan yang diterbitkan sejurus selepas tengah malam tadi di Iran.
Calon lain bagi jawatan tertinggi itu termasuk Alireza Arafi, salah seorang daripada tiga anggota majlis sementara yang mentadbir negara, tokoh konservatif Mohsen Araki, serta Hassan Khomeini, cucu kepada pengasas republik Islam pada 1979, Ruhollah Khomeini.
Namun akhirnya majlis itu memilih Mojtaba, 56, sekali gus mewujudkan peralihan kepimpinan secara turun-temurun – sesuatu yang pernah ditolak oleh bapanya atas prinsip pada 2024.
Revolusi Islam sebelum ini telah menamatkan dinasti diraja berabad lamanya yang dipimpin oleh Shah.
Dilahirkan pada 8 September 1969 di bandar suci Mashhad di timur Iran, Mojtaba merupakan salah seorang daripada enam anak Ali Khamenei.
Ali Khamenei terbunuh pada usia 86 tahun lebih seminggu lalu di Tehran ketika gelombang pertama serangan udara oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel yang mencetuskan perang di Asia Barat.
Disebabkan sikapnya yang jarang tampil dalam upacara rasmi dan media, pengaruh sebenar Mojtaba telah lama menjadi bahan spekulasi dalam kalangan rakyat Iran serta dalam kalangan diplomat.
Beliau merupakan satu-satunya anak bekas pemimpin tertinggi yang memegang peranan awam, walaupun tidak mempunyai jawatan rasmi.
Ulama yang berjanggut kelabu kehitaman itu juga memakai serban hitam yang menandakan status "seyyed", iaitu keturunan Nabi Muhammad.
Sesetengah pihak melihat beliau sebagai tokoh yang menggerakkan pengaruh di belakang tabir dalam pusat kuasa Iran.
Beliau dianggap rapat dengan golongan konservatif, terutama kerana hubungannya dengan Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), sayap ideologi tentera Iran.
Hubungan itu bermula sejak beliau berkhidmat dalam unit tempur pada penghujung perang antara Iran dan Iraq yang berlangsung dari 1980 hingga 1988.
Jabatan Perbendaharaan AS mengenakan sekatan terhadap Mojtaba pada 2019 ketika penggal pertama Presiden Donald Trump, dengan menyatakan bahawa beliau mewakili pemimpin tertinggi walaupun tidak pernah dipilih atau dilantik ke jawatan kerajaan kecuali bekerja di pejabat bapanya.
Menurut jabatan itu, Ali Khamenei telah "mendelegasikan sebahagian tanggungjawab kepimpinannya" kepada anaknya, yang bekerjasama rapat dengan pasukan keselamatan Iran bagi memajukan cita-cita serantau bapanya serta dasar domestik yang keras.
Pihak penentang juga menuduh Mojtaba memainkan peranan dalam tindakan keras terhadap demonstrasi selepas pemilihan semula presiden ultra-konservatif Mahmoud Ahmadinejad pada 2009, yang mencetuskan gerakan protes besar-besaran.
Menurut satu penyiasatan oleh organisasi berita Bloomberg, yang memetik sumber tanpa nama serta laporan agensi perisikan Barat, Mojtaba dipercayai memiliki kekayaan melebihi AS$100 juta.
Hasil jualan minyak didakwa disalurkan kepada pelaburan hartanah mewah di United Kingdom (UK), hotel di Eropah, serta hartanah di Dubai melalui syarikat "shell" di pusat perlindungan cukai.
Dari segi keagamaan, Mojtaba Khamenei mempelajari teologi di bandar suci Qom, selatan Tehran, dan turut mengajar di sana.
Beliau mencapai pangkat Hujjat al-Islam, iaitu gelaran bagi ulama peringkat pertengahan, lebih rendah daripada pangkat Ayatollah yang dimiliki bapanya dan juga pemimpin revolusi Ruhollah Khomeini.
Isterinya, Zahra Haddad-Adel, anak kepada bekas speaker parlimen Iran, turut terbunuh dalam serangan AS–Israel yang meragut nyawa pemimpin tertinggi itu, menurut pihak berkuasa Iran.
Israel telah mengeluarkan amaran keras kepada pemimpin tertinggi baharu itu serta mereka yang melantiknya, dengan menyatakan bahawa "tangan Negara Israel akan terus menjejaki mana-mana pengganti dan sesiapa yang cuba melantik pengganti."
Majlis Pakar Iran mempunyai 88 anggota yang dipilih setiap lapan tahun. Setakat ini, badan tersebut hanya pernah mengendalikan satu proses peralihan kepimpinan, iaitu apabila Ali Khamenei dipilih pada
1989 selepas kematian Ruhollah Khomeini. - AFP


Tiada ulasan:
Catat Ulasan