Aktivis pelajar yang membantah hukuman penjara ke atas seorang rakan pelajar mereka yang menyertai perkemahan protes anti-PTPTN April lepas, kembali menduduki semula Dataran Merdeka pagi ini.

Kira-kira 10 daripada mereka tiba di tempat tarikan pelancong di ibunegara itu, dan duduk di satu sudut dataran awam tersebut, berhadapan dengan bangunan bekas mahkamah Kuala Lumpur.

Mereka tiba awal pagi ini selepas berkemah di Penjara Kajang, di mana rakan mereka, Umar Mohd Azmi sedang menjalani hukuman sebulan penjara kerana menghalang pegawai DBKL semasa bantahan awal mereka.

Menurut jurucakap mereka, lebih ramai dijangka tiba tidak lama lagi, dan kumpulan itu merancang berada di situ sehingga pagi esok apabila rayuan Umar terhadap sabitan dan hukuman penjara terhadapnya, didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.