Polis siasat penipuan pelaburan kripto UVKXE, kerugian lebih RM33 juta
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan berhubung skim pelaburan UVKXE yang kononnya berasaskan mata wang kripto dan setakat ini mengakibatkan kerugian RM33 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf, berkata siasatan susulan aduan daripada seorang pengurus lelaki berusia 42 tahun yang mendakwa melabur RM2.5 juta dalam pelaburan itu, kelmarin.
Katanya, mangsa yang menyertai pelaburan itu sejak Ogos tahun lalu selepas melihat iklan di laman Facebook.
"Skim pelaburan itu yang kononnya berasaskan mata wang kripto menawarkan pulangan pelaburan antara 10 peratus hingga 50 peratus.
"Bagi tujuan pelaburan, mangsa membuat sejumlah 26 kali transaksi bayaran ke 14 akaun bank dengan jumlah keseluruhan pelaburan RM2,560,000 atas nama syarikat dan perniagaan yang berbeza.
"Setelah membuat pembayaran, mangsa dapat melihat akaun pelaburannya menjana keuntungan namun mangsa diarahkan untuk membuat pelbagai bayaran apabila ingin membuat pengeluaran wang," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ramli berkata orang ramai diingatkan semua pelaburan yang kononnya untuk mata wang kripto, dikesan dalam hampir ke semua kes yang dilaporkan sebenarnya langsung tidak membabitkan pelaburan sedemikian.
"Sebaliknya, pelabur hanya diperdaya melalui paparan di laman sesawang mengenai laba yang diperoleh sehingga ada yang mencecah puluhan juta ringgit.
"Sindiket menggunakan teknologi terkini untuk memperdaya mangsa sehingga menyebabkan mangsa mempercayai mereka telah mendapat keuntungan," katanya.
Beliau berkata setakat ini, sebanyak 44 laporan polis diterima berkaitan skim penipuan pelaburan UVKXE membabitkan nilai kerugian keseluruhan RMRM33,075,511.50.
"Mana-mana individu yang telah menyertai skim pelaburan itu dinasihatkan untuk menghentikan sebarang urusan pembayaran kepada syarikat terbabit.
"Segera tampil ke mana-mana balai polis yang berhampiran untuk membuat laporan polis bagi tujuan siasatan," katanya yang memaklumkan siasatan kes sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Tegas beliau, dalam usaha untuk membanteras kegiatan penipuan pelaburan, orang ramai diingatkan untuk sentiasa berwaspada dan melaksanakan semakan yang lebih terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan terutama yang menjanjikan keuntungan yang terlalu lumayan.
"Dapatkan maklumat lanjut dari sumber rasmi seperti Portal Semak Mule CCID, senarai amaran dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM), dan Suruhanjaya Sekuriti (SC).
"Lakukanlah semakan sewajarnya sebelum membuat keputusan untuk menyertai apa juga skim pelaburan," katanya.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan