Ahli keluarga tahanan SOSMA berdemo
KUALA LUMPUR: Polis membuka kertas siasatan berhubung himpunan oleh ahli keluarga tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di hadapan Kompleks Penjara Sungai Buloh dekat sini, semalam
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor, berkata polis mengesan satu perhimpunan di laluan hadapan pintu besar penjara terbabit pada jam 8.10 pagi.
"Risikan awal mendapati perhimpunan diadakan kerana keluarga tahanan SOSMA mahu kerajaan memansuhkan akta berkenaan.
ADVERTISEMENT
"Peserta perhimpunan dikatakan ada mempunyai ahli keluarga yang ditahan di Penjara Sungai Buloh di bawah SOSMA," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Media semalam melaporkan ahli keluarga kepada 32 orang yang ditahan di bawah SOSMA melancarkan mogok lapar di hadapan Kompleks Penjara Sungai Buloh.
Mereka menuntut kerajaan dan pihak penjara membenarkan mereka melawat serta memeriksa keadaan tahanan.
Difahamkan, 32 tahanan SOSMA terbabit dikatakan turut memulakan mogok lapar dalam penjara.
"Satu kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan pihak penganjur boleh dikenakan denda RM10,000 jika tidak mengemukakan notis untuk mengadakan perhimpunan kepada polis.
"Mereka yang terbabit dalam perhimpunan itu akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh untuk diambil keterangan," katanya.


1 ulasan:
Zaman Madani ini semua tak boleh, berkumpul tak boleh, berhimpun tak boleh, bersuara tak boleh, semua tak boleh kah kah kah, dulu bukan main hebat sembang keadilan kesaksamaan kesejahteraan kegemilangan mertabat kah kah kah pelik manusia ini apabila sudah berkuasa, amat takut hilang jawatan kah kah kah adakah semuanya begitu?
Catat Ulasan