DUA ASKAR
AMERIKA MATI
SATU DUNIA HEBOH
AMIN
PULUH RIBU
IRANIAN MATI
PALESTIN MATI
TAK ADA HEBOH
AMIN
INI TANDA MEDIA
DUNIA
MILIK ZIONIS
AMERIKA
KHALAS
AS sahkan 2 anggota tentera maut dalam serangan Iran di Jordan
KAHERAH: Tentera Amerika Syarikat (AS) memperhebatkan serangan pada hari kelapan berturut-turut terhadap Iran selepas dua anggotanya terbunuh dan seorang lagi hilang susulan serangan Iran di Jordan.
Pemimpin tertinggi Iran, Mojataba Khamenei memberi amaran bahawa Washington akan menerima 'pengajaran yang tidak akan dilupakan' kerana terus meningkatkan konflik dengan serangan bertubi-tubi.
Minggu lalu, AS dan Iran memperhebatkan serangan sejak perjanjian gencatan senjata sementara yang dimeterai bulan lalu gagal dipertahankan.
Ia meningkatkan kebimbangan bahawa konflik berkenaan boleh kembali menjadi perang berskala penuh.
Markas Pentadbiran Pusat AS (CENTCOM) memaklumkan serangan itu berlaku Jumaat lalu, manakala seorang lagi anggota tentera AS yang masih hilang dalam operasi terus dicari.
Perkembangan itu menjadikan jumlah anggota tentera AS yang terbunuh sejak perang bermula meningkat kepada 16 orang, manakala lebih 420 lagi cedera.
Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, menzahirkan ucapan takziah menerusi platform X.
"Semoga roh mereka dicucuri rahmat. Pengorbanan mereka hanya menguatkan lagi tekad kami," katanya.
Iran juga dilihat menyasarkan Arab Saudi selain beberapa sekutu AS di Teluk dan Jordan sejak semalam.
Ia sebagai tindak balas terhadap serangan AS ke atas jambatan, kemudahan tenaga dan infrastruktur lain di Iran.
Dalam kenyataan bertulis yang disiarkan menerusi akaun rasmi media sosial Pemimpin Tertinggi Iran dan media kerajaan Iran, Mojtaba berkata pelanggaran berulang oleh AS terhadap perjanjian sementara itu membuktikan tandatangan Presiden AS, Donald Trump, tidak bernilai dan tidak mempunyai kredibiliti.
"Kini apabila musuh Amerika berusaha meningkatkan konflik sehingga menanggung kos lebih besar dan penghinaan yang lebih dahsyat, mereka perlu tahu bahawa rakyat Iran dan Barisan Penentangan akan memberikan pengajaran yang tidak akan mereka lupakan," katanya.
Lokasi sebenar Mojtaba bagaimanapun masih tidak diketahui.
Konflik itu bermula apabila AS dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada penghujung Februari dengan tujuan melumpuhkan program peluru berpandu negara itu serta kumpulan proksinya di rantau berkenaan.
Konflik itu turut mengganggu bekalan tenaga dunia, mencetuskan kebimbangan terhadap inflasi global dan meningkatkan perebutan kawalan di Selat Hormuz.
Semalam, Kuwait berdepan serangan berterusan apabila angkatan tenteranya memaklumkan berjaya memintas peluru berpandu balistik dan dron Iran.
Bagaimanapun beberapa anggota bomba serta pekerja sektor minyak cedera ketika menjalankan operasi kecemasan.
Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) mendakwa pihaknya menyerang sebuah pusat sokongan tentera AS di Kem Arifjan, Kuwait, selain memusnahkan sebuah kemudahan radar di Pangkalan Udara Ali Al Salem.
Sementara itu, Kuwait Petroleum Corporation memaklumkan sebuah kemudahan minyaknya terkena serangan berulang Iran sehingga menyebabkan kerosakan besar dan beberapa kecederaan, menurut agensi berita negara itu.
Selain Kuwait, media Iran melaporkan IRGC turut menyasarkan sebuah lokasi di Bahrain yang menempatkan pesawat tempur AS di Pangkalan Udara Sheikh Isa dam sebuah pusat data risikan.
Televisyen kerajaan Iran turut mendakwa IRGC memusnahkan sekurang-kurangnya dua pesawat pejuang AS dan tiga pesawat lain dalam serangan peluru berpandu dan dron ke atas pangkalan tentera AS di Al Azraq, Jordan, semalam.
Bagaimanapun, Reuters tidak dapat mengesahkan dakwaan itu secara bebas.
Sistem amaran awal Arab Saudi turut mengeluarkan amaran kepada penduduk di Al-Kharj dan Yanbu supaya mendapatkan perlindungan.
Al-Kharj, di timur Riyadh, adalah pangkalan tentera yang menempatkan anggota tentera AS, manakala Yanbu di pesisir Laut Merah mempunyai terminal eksport minyak yang penting.
Dua sumber yang mengetahui mengenai perkara itu berkata, serangan peluru berpandu Iran, yang pertama ke atas Arab Saudi dalam tempoh lebih tiga bulan, mencetuskan amaran berkenaan.
Media rasmi Arab Saudi bagaimanapun tidak menjelaskan punca amaran itu, manakala pejabat media kerajaan belum memberi sebarang maklum balas terhadap permintaan Reuters.
IRGC juga tidak menyebut sebarang serangan terhadap Arab Saudi dalam kenyataannya.
Kementerian Kesihatan Iran pula memaklumkan seramai 50 orang terbunuh dan lebih 500 lagi cedera akibat serangan AS ke atas negara itu sepanjang tiga minggu lalu. – REUTERS


Tiada ulasan:
Catat Ulasan