ANTI PENDATANG
AGENDA POLITIK
DUNIA
Saya amat yakin isu dan agenda pendatang ini akan menjadi isu dan agenda utama PRU 16 nanti. Saya tidak dapat meramalkan apakah dasar dan garis politik yang akan di ambil oleh pelbagai parti politik dalam negara ini.
Tapi isu pendatang yang halal dan yang haram akan di hebohkan untuk memancing undi. Di gunakan untuk memperlekeh musuh politik.
Saya tidak dapat menujumkan secara terperinci apa yang akan di lakukan oleh semua parti politik ini. Ini kerana isu dan agenda pendatang ini boleh meledak ke garis kiri atau ke garis kanan.
Dari apa yang saya amati agenda pendatang ini telah menjadi agenda parti-parti politik di Eropah – Barat dan Timur.
Di UK , di Peranchis, di German dan di Itali – kita membaca bagaimana agenda pendatang ini telah menjadi isu utama kempen politik.
Di Itali Giorgia Meloni dari Party Brothers of Italy menjadi Perdana Menteri wanita pertama di Itali pada Oktober 2022. Parti ini jelas berhaluan kanan dan berkempen menentang kemasukan pendatang haram dan pelarian perang.
Di German – Parti AFD – Alternative for Germany – kini menjadi parti politik ke dua terbesar dalam Parlimen German. Parti AFD ini tanpa segan silu berhaluan kanan. Secara terbuka AFD bukan sahaja tidak mahu lagi menerima pendatang malah pendatang yang sedia ada juga wajib di hantar pulang ke tanah asal usul.
Parti AFD ini di ramal akan menjadi kerajaan pengganti kerajaan campuran Sosial Demokrat dan Kristian Demokrat Canselor Friedrich Merz yang berkuasa sekarang.
Di Peranchis Parti National Rally yang berhaluan kanan di ramal akan naik takhta. Marine Le Pen adalah calon Presiden dari parti ini. Jika Marine menang dia akan menjadi wanita pertama Presiden Peranchis. Undian pada tahun 2022 Marine hanya di kalahkan oleh Presiden Macron dalam pusingan ke dua.
Marine kalah kerana pengundi dan penyokong Parti Sosialis dan Parti Komunis memberi sokong kepada Macron untuk menghalang Marine dari menjadi Presiden.
Garis parti National Rally ini amat jelas. Menentang kemasukan pendatang baru. Juga dasar parti ini seperti AFD akan juga menghalau keluar pendatang yang telah berada di Peranchis.
Di UK – Parti Buruh – sedang diasak oleh Reform Party yang di pimpin oleh Nigel Farage. Dalam masa 10 tahun ini UK telah ada 7 Perdana Menteri. Ini gambaran bahawa UK tidak stabil lagi dan agenda utama yang membawa kucar kacir politik UK ini ialah pendatang dan pendatang haram.
Hakikatnya semua negara dalam Kesatuan Eropah sedang berhadapan dengan masalah pendatang haram.
Belanda, Sepanyol, Belgium, Sweden, Denmark dan Greece – semua berhadapan dengan masalah pendatang haram. Malah pada tahun 2000 - Austria menjadi negara Eropah pertama yang memilih kerajaan berhaluan kanan yang menjadi pendatang sebagai agenda kempen politik.
Di Eropah Timur perkara yang sama sedang berlaku. Malah negara bekas Blok Sosialis ini lebih keras lagi dasar menentang kemasukan pendatang.
Negara-negara seperti Poland, Lithuania, dan Latvia membina pagar keluli yang tinggi serta sistem pengawasan elektronik di sepanjang sempadan mereka dengan Belarus bagi menghalang lintasan tanpa kebenaran.
Soldadu di arah mengawal sempadan. Kerajaan secara rutin mengerahkan angkatan tentera dan unit pengawal sempadan khusus untuk mencegah cubaan kemasukan secara haram.
Undang-undang negara di beberapa buah negara Eropah Timur membenarkan tindakan menghalau balik serta-merta individu yang melintasi sempadan tanpa dokumen sah.
Jelas pendatang kini dilihat sebagai masalah utama. Pendatang di lihat sebagai musuh utama.
Amerika negara imigran yang asal usulnya milik Red Indian kini menjadi negara paling keras terhadap imigran dan pendatang. Wal hal semua rakyat Amerika adalah pendatang kecuali Red Indian.
Presiden Trump menjadikan imigran dan pendatang sebagai agenda politik. Malah Trump memperlekeh negara Eropah yang di anggap tidak keras seperti dasar Amerika bila berhadapan dengan pendatang.
Pendirian Donald Trump mengenai imigresen haram tertumpu pada strategi penguatkuasaan tanpa kompromi, pengusiran secara besar-besaran, serta penghapusan tegas dasar-dasar yang membenarkan pendatang tanpa izin untuk terus berada di Amerika Syarikat.
Bila Trump kembali berkuasa penggal kedua tahun 2025 Trump telah menjalankan kempen dan operasi besar-besar menangkap dan menghantar pulang pendatang haram.
Trump telah memberi arahan dan mengeluarkan dana untuk Agensi ICE. Agensi ICE ialah lembaga Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam.
Lembaga ini di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri. ICE bertugas mengawal sempadan, kastam, perdagangan, dan penguatkuasaan imigresen.
Lihat apa yang telah dilakukan oleh ICE atas arahan Presiden Trump semenjak Trump menjadi Presiden kali ke dua..
Setakat Julai 2026, ICE telah menjalankan operasi menahan lebih daripada 1 juta individu. Angka bulanan terkini menunjukkan agensi tersebut menahan lebih daripada 46,000 individu pada bulan Julai ini sahaja.
Setakat ini ICE telah terlibat dalam sekurang-kurangnya 41 insiden tembakan yang mengakibatkan 11 kematian. Juga di laporkan sejumlah lebih daripada 60 kematian yang dilaporkan berkaitan ketika operasi sedang dijalankan.
Dari mana asal usul pendatang ini?
Untuk memudahkan pemahaman – semua pendatang ini datang dari Negara Dunia Ketiga. Negara Dunia Ketiga atau Negara Selatan ini ialah negara-negara dari Afrika, Asia dan Amerika Latin.
Kesemua mereka ini meninggalkan negara tanah tumpah darah mereka untuk menuju ke negara Pertama atau Dunia Kedua iaitu Amerika Utara dan Eropah.
Persoalan timbul kenapa pendatang ini meninggalkan negara asal mereka dan menuju ke Amerika Utara dan Eropah Barat.
Jawapan mudah ialah tarikan ekonomi. Tarikan ekonomi ertinya peluang pekerjaan. Faktor penarik utama - besi berani pekerjaan terus memanggil Warga Selatan untuk melintas sempadan menuju ke Utara untuk memperbaiki kehidupan.
Peluang pekerjaan sah menjadi tarikan utama. Malah mari kita kembali membuka sejarah ke satu tahap pasca Perang Dunia Ke Dua.
Lepas perang tahun 1945 - Eropah terpecah dua. Eropah Timur di bawah pengaruh Rusia mengamalkan sistem ekonomi sosialis. Eropah Barat mengamalkan sistem ekonomi kapitalis.
German terpecah dua – German Barat berkiblat kepada Amerika. Manakala German Timur berkiblat kepada Rusia.
Tamat Perang Dunia Ke Dua Peranchis dan UK jatuh muflis. Ekonomi negara ini musnah akibat perang. Hanya Amerika yang selamat tidak teruk dibantai dalam Perang Dunia Ke Dua. Justeru ekonomi Amerika amat kukuh.
Di Eropah pengaruh Parti Komunis dan Parti Sosialis amat kuat sekali. Ini kerana jasa gerakan haluan kiri yang berjuang menentang kaum Fasis Hitler dan Mussolini dalam Perang Dunia Ke Dua.
Amerika melihat ini bahaya besar terhadap kaum kapitalis. Dalam masa yang sama di Amerika sendiri kesatuan buruh dan kaum kiri dan Parti Komunis Amerika amat berpengaruh.
Justeru Amerika menjalankan apa yang di panggil Pelan Marshall. Ini secara rasminya dikenali sebagai Program Pemulihan Eropah.
Ini merupakan program bantuan Amerika Syarikat pada tahun 1948 yang dicadangkan oleh Setiausaha Negara George C. Marshall untuk membangunkan semula Eropah Barat yang musnah akibat perang, memodenkan industri, serta membendung penyebaran komunisme.
Untuk ekonomi berkembang memerlukan tenaga kerja. Dana dari Amerika. Di bawah Rancangan Marshall, Amerika Syarikat memberikan $13.3 bilion bantuan asing kepada negara-negara Eropah antara 1948 dan 1952. Dalam wang hari ini, jumlah itu bersamaan dengan kira-kira $135 bilion hingga $150 bilion.
Pada awalnya warga Sepanyol dan Itali datang bekerja di Belgium, Belanda dan German. Semua pendatang adalah warga Eropah yang mengamal budaya dan agama yang sama.
Di German Pelan Marshall berjaya memulihkan ekonomi. Ekonomi German berkembang. Tenaga kerja masih di perlukan.
Kerajaan German tidak ada pilihan untuk memastikan ekonomi German terus berkembang. Maka German menjemput pekerja jemputan – Gastarbeiter - dari Turki. Pada 30 Oktober 1961, German dan Turki menandatangani Perjanjian Pengambilan Tenaga Kerja Turki-Jerman yang rasmi.
Ini satu babak sejarah bilamana pendatang Turki negara Islam yang secara resmi di jemput datang. Hakikatnya pendatang Turki telah lebih 60 tahun – tiga generasi di German. Anak watan German pasti telah berkenalan dengan warga yang bukan dari Eropah.
Great Britain atau UK sebelum Perang Dunia Ke Dua adalah kuasa terbesar dunia. Hampir tiga par empat muka bumi dunia ini adalah di bawah takluk Baginda Raja England. Ini termasuk kita dari Tanah Melayu.
Tanah jajahan Great Britain berselerak di Negara Selatan. Raja England adalah Raja kita. Pound Sterling adakah duit kita. BBC ialah radio kita. London ialah kota rujukan kita. Hakikatnya semua anak tanah jajahan boleh keluar masuk ke UK. Ketika itu kita bukan.. ..saya ulang ... kita bukan pendatang haram dari Tanah Melayu.
Ini babak sejarah satu ketika dulu. Ini sebelum Nigel Farage dari Reform Party wujud. Ini sebelum kita mendengar sebutan Rohingya. Hari ini semua berubah. Apa telah berlaku ? Tunggu minggu hadapan. Amin (TT)
TULISAN INI
DISIARKAN JUGA DALAM PORTAL
MALAYSIA KINI.COM
https://www.malaysiakini.com/columns/781498
.
















