Jumaat, 20 Oktober 2023

PALESTIN - BABAK TERPENDAM


PALESTIN – BABAK TERPENDAM


 Subuh Sabtu 7 Oktober 2023  gerila Pasukan Al-Qassam mula melancarkan serangan ke atas Israel  dari Gaza.  Serangan  dari Al-Qassam ini bukan satu yang baru. Serangan roket ke atas  Israel telah  berkali kali berlaku. Tapi kali ini  serangan Taufan Al-Aqsa cukup berlainan.

Al-Qassam pasukan  gerila dari Parti Hamas ini datang menyerang Israel dari darat, laut dan udara. Dari wilayah Gaza gerila menembak 5000 roket dalam masa 20 minit.  Dari udara gerila berterbangan menggunakan glider menerbus  masuk melintas  tembok sempadan. Jentolak meruntuhkan pagar berduri. Ratusan gerila masuk dan terus membedil musuh.

Rumah pasung Zionis di serang. Kem askar diserang.  Kereta kebal diletupkan. Pesta muzik diserang. Tawanan di bawa pulang ke Gaza termasuk seorang Komandan kem askar. 

Ini belum pernah berlaku. Serangan seperti ini belum pernah terjadi. Warga Israel terperanjat. Warga dunia bertanya – apa sudah jadi ?

Media sering melaporkan  tentang Mossad dan Shin Bet sebagai lembaga risik dan intip  terulung dalam dunia. Shin Bet agensi intip dalam negara dengan moto – Perisai Tidak Dilihat   adalah benteng pertahanan Israel

Mossad  bergerak di luar negara. Mossad kini memiliki lebih dari 7,000 ajen di seluruh pelusuk dunia. Mossad di katakan badan risik  terbaik sesudah CIA.

Teknologi terkini yang tercanggih juga  di guna pakai untuk mempertahankan kewujudan entiti Zionis Israel dari serangan musuh. Kamera intip, alat cam muka, alat sensor dalam pelbagai bentuk dipasang di seluruh Israel  untuk memastikan Israel selamat dari serangan gerila.

Iron Dome – Tudung Besi - senjata laser bergerak  di pasang di sempadan Gaza. Alat ini akan menembak  roket musuh di udara sebelum sampai ke sasaran di bumi.

Tudung Besi  ini memastikan roket Al-Qassam tidak akan berjaya meledak di bumi.

Tembok batu dan pagar kawat berduri  tiga lapis yang  memisahkan Gaza dengan  Israel  semuanya dipasak oleh teknologi kamera intip. 

Dikatakan jika burung bertenggek di atas tembok  atau anjing lalu di hadapan   pagar  semuanya akan dilihat oleh pihak keselamatan atau siren akan berbunyi Semua ini memustahilkan gerila Palestin dapat menghampiri tembok sempadan.

Tapi pada subuh 7 Oktober semua sistem pertahan Israel gagal.  Apa sudah terjadi ?

Tudung Besi di lapor gagal berfungsi. Siren tidak kedengaran. Sabtu hari Sabaath – hari suci Yahudi -  mustahil soldadu dan pengawal sempadan  juga berehat sama.

Apa terjadi ? Kenapa sistem pertahanan Israel gagal.  Apa jadi dengan Mossad dan Shin Bet. Kenapa tidak ada maklumat  intip sampai awal memberi amaran ada  serangan sedang dirancang ?

Media arus perdana  satu dunia terus menggambarkan bahawa  unit intip, badan risik dan teknologi intel Israel telah gagal.

Betul ke gagal ? Atau ada cerita di belakang cerita. 

Tertiba muncul berita bahawa ini adalah 9/11 untuk Israel. Pada  9/11 Amerika diserang – bangunan WTC di New York meledak. Ada juga  komentar mengandaikan  bahawa ini adalah Pelabuhan Pearl untuk Israel.

Serangan Jepun ke atas  pelabuhan ini pada Ahad 7 Disember 1941  sengaja dibiarkan berlaku untuk  menjemput Amerika masuk campur dalam Perang Dunia Ke Dua.  Serangan 9/11 di New York menjemput Amerika melanggar  Iraq. 

Pada 7 Oktober 2023 Taufan Al-Aqsa pasti menjemput Israel menyerang Gaza.

Pandangan ini menjurus kepada teori konspirasi. Ini kerana  badan risik Mesir telah memberi maklumat tentang akan  berlaku  serangan dari Hamas. Maklumat disampai kepada  pihak berwajib Israel. Tapi mereka tidak ambil pot.

Kenapa lembaga keselamatan Israel tidak ambil pot?

Lalu  timbul persoalan apakah Hamas  sengaja diumpan untuk dijerut oleh Perdana Menteri Benjamin Netanyahu. Apakah Netanyahu  memang merancang untuk  memusnahkan Gaza dan membersihkan Gaza dari warga Palestin.

Andaian ini masuk akal. Netanyahu sedang berhadapan dengan kes rasuah.  Jika dia bukan menjawat kerusi PM maka Netanyahu pasti masuk penjara. Justeru dia wajib melakukan apa saja untuk bebas dari di penjara.

Netanyahu perlu dilihat wira di mata warga Israel. Menyerang Gaza dan membunuh  Arab akan menggilap politik Netanyahu. 

Kerajaan campuran Israel hari ini adalah gabungan Parti Likud  di kepalai oleh Netanyahu  bersama Parti Kach yang ekstrem kanan. Parti Kach ini melihat warga Palestin ini seperti binatang yang wajib di hapuskan.

Dalam masa yang sama dalam usaha untuk lepas dari penjara Netanyahu telah merancang untuk meminda perlembagaan.

Di Israel kuasa mahkamah paling tinggi. Mahkamah boleh menolak keputusan  kerajaan. Banyak cadangan kerajaan di tolak oleh mahkamah. Ini menyusahkan Netanyahu. Dia mahu melonggarkan kuasa mahkamah. 

Projek pindaan perlembagaan ini menjemput  rakyat bangun melawan. Berbulan bulan demo besar-besaran menentang pindaan perlembagaan ini berjalan. Gerakan anti Netanyahu merebak. Negara Israel pecah dua.

Satu kumpulan Israel menjadi penganut  agama Yahudi ekstrem kanan dan satu  garis demokratik sekular.

Keadaan politik Israel makin meruncing. Ramai elit politik dan elit ekonomi  termasuk bekas kepala Shin Bet tidak menyokong Netanyahu.

Paling mengejutkan ialah apabila ada kumpulan tentera simpanan  yang mengeluarkan kenyataan jika  berlaku pindaan perlembagaan mereka akan meletakkan senjata. Mereka enggan mempertahan Israel.

Apakah projek memusnahkan Gaza  jadi penyelamat untuk Netanyahu.

Andaian ini ada kebenaran kerana dua hari selepas Taufan Al-Aqsa Netanyahu berjaya mewujudkan Kerajaan Perpaduan. Musuh politik Netanyahu kini dijinakkan.

Walau apa pun  andaian dan teori konspirasi  - apa yang jelas Israel dengan teknologi risik dan intip  amat angkuh. Lembaga intel Israel selalu mendabik dada mengklim bahawa sistem intel Israel terbaik.  Israel selamat dengan teknologi tercanggih.

Kesombongan ini  terbarai bogel pada subuh 7 Oktober 22023.

Apa yang sahih dan jelas ialah Israel sedang menjalankan dasar pembunuhan beramai-ramai – genocide. 

Apa yang sahih dan jelas  memang ada projek untuk menghalau  keluar semua warga Gaza. Israel sebuah negara haram masih menjalankan agenda penaklukan wilayah bermula semenjak 1948.

Pada Rabu 18 Oktober 2023 akhbar Times of Israel  melaporkan kenyataan Menteri Luar Israel Eli Cohen : Foreign Minister Eli Cohen tells Army Radio, “At the end of this war, not only will Hamas no longer be in Gaza, but the territory of Gaza will also decrease.”

Menteri Luar Israel  Eli Cohen memberitahu Radio Tentera, "Pada akhir perang ini, bukan sahaja Hamas tidak lagi berada di Gaza, tetapi wilayah Gaza juga akan berkurangan."

Apa yang sedang berlaku sekarang ialah memastikan semua warga Palestin di Gaza di halau  keluar. 

Air di hentikan. Api elektrik di potong. Dari udara kapal mengebom. Dari sempadan meriam membedil.  Gaza sedang di kepung. Semua ini untuk memastikan warga Gaza lari meninggalkan tanah air mereka.

Sempadan di selatan Gaza – di Rafah  kini dibuka. Wilayah ini bersempadan dengan Mesir. Tujuan menghalau warga Gaza ini ialah untuk memastikan mereka masuk  ke wilayah Mesir dan menjadi orang pelarian perang.

Ini sebenarnya ulang tayang Nakba. Penghalauan sedemikian pernah  berlaku pada tahun 1948 dahulu. Inilah caranya kaum Zionis menjajah Palestin.  Israel membantai warga Palestin. Yang takut akan lari. Yang tak lari akan mati.

 Israel didirikan melalui keganasan.

Ketika tulis ini di tulis Taufan Al-Aqsa telah berlaku 12 hari  yang lalu. Bala tentera Israel masih mengepong Gaza.  Presiden Biden   telah datang ke Israel untuk menyatakan sokongan Amerika kepada Israel.

Rancangan Biden untuk bertemu dengan pemimpin negara Mesir dan Jordan gagal. Ini kerana sebuah hospital  Al-Ahli  al-Arabi telah dibom oleh Israel.  Lebih dari 600 nyawa hilang.

Amat jelas  apa  yang di lakukan oleh Israel adalah jenayah perang. Mengikut perundangan antarabangsa -  Geneva Convention - Israel boleh di bawa ke Mahkamah ICJ -  Internasional Court of Justice di Belanda.

Tapi mustahil ini akan berlaku. 

Mahkamah ini hanya berupaya dan berani mendakwa musuh  Amerika. Contohnya Vladimir Putin akan didakwa kerana jenayah perang Ukraine. 
Satu lagi contoh  - Slobodan Milosevic  bekas Presiden Bosnia ditangkap dan di dakwa oleh ICJ pada tahun 2002. Pemimpin  Bosnia ini  dituduh melakukan jenayah perang. Milosevic mati pada  11 Mac 2006 dalam  tahanan di Belanda.

Manakala waran tangkap untuk Putin menjadikan Putin susah untuk ke luar negara.

Jenayah perang Israel amat jelas.  Sekolah, masjid dan hospital yang dibom adalah jenayah perang. Gaza sedang di kepung oleh bala tentera Israel dan menjadi warga bulur kelaparan  adalah juga jenayah perang.

Telah hampir dua  minggu askar Israel  mengepong Gaza tapi masih belum masuk menyerang Gaza.

Masuk ke Gaza  dengan dua tujuan. Pertama untuk membebaskan tawanan. Ada lebih  dari 100 orang yang ditawan oleh Hamas. Kedua untuk  musnah  hancur Hamas untuk selama-lamanya.

Di beritakan beberapa orang tawanan telah mati akibat bom. Juga ada berita melaporkan ada tawanan Hamas telah  dibunuh oleh gerila.  Berita seperti ini amat susah untuk di sahkan kerana  dalam perang yang pertama mati ialah kebenaran.

Apakah orang tawanan Hamas ini dapat diselamatkan bila askar masuk menyerang. 

Apakah bila askar Israel masuk menyerang Gaza mereka akan berjaya menghapuskan Hamas. 

Bagaimana dengan tujuan memusnahkan Hamas. Ini persoalan hakiki. Untuk jawapan sila tunggu minggu hadapan Amin.  (TT)


TULISAN INI JUGA DISIARKAN
DALAM PORTAL
THE MALAYSIAN INSIGHT.COM
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/467690


 

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

israel nak masuk bukan untk musnahkan hamas.. juga misi rampas tanah palestin.. ini yang dibuat israel setiap perang .