Rabu, 3 Jun 2009

AL-KESAH TERSEBUTLAH


CERITERA ITU DI TERUSKAN LAGI


Maka mengikut kata tuan yang empunya ceritera Tun Bodek pun duduklah dikelilingi para juak-juaknya. Ada yang bersila di atas tilam pandak. Ada yang bersandar di tepi dinding. Ada yang mencangkong memasang lukah. Ada yang berseluar pendek berbaju singlet. Ada memakai sarong bertampal songket.

Ada yang mengobek sireh mengunyah pinang. Ada yang menggulung daun membakar bara. Semuanya duduk melangok menunggu Tun Bodek membuka mulut. Telah didengari oleh para juak betapa ayam sabung Tok Rayat berkokok ke hulu berkokok ke hilir. Seperti halilintar memecah bumi.

Maka Tun Bodek pun bersuaralah menyampai berita perihal ayam Datuk Seri Menggeliga tidak bersabung. Mengikut tuan mempunya mulut adalah diberitahu bukan kalah bukannya takut. Menjadi kiasan empunya sebab Datuk Seri ingin ke darat mencari damar, manau dan rotan. Maka menangislah para juak. Berderai air mata sedih mendengar berita menyayat hati memilu kalbu.

Lalu para juak pun berbincanglah mencari akal menguji diri. Jika Datuk Seri tidak menyabung maka tiada berkenduri kendara serata kampong. Tidak ada kerbau yang rebah ke tanah. Tidak ada ayam dan lemang untuk diratah. Tidak ada kepala kambing naik ke anjung. Maka para juak pun menangislah kerana anak dirumah tidak bersusu. Isteri si dapor merendam batu. Fulus lari hutang bertapuk. Janda menghilang entah ke mana.

Fikir punya fikir maka timbullah akal onar yang jahat. Semua difikir semua di rancang untuk memalukan To Rayat biar diketawakan orang seantero negeri ayamnya bersabung saorang diri. Maka lalu dicadangkan agar kampong di kosong. Agar pekan dikotori biar Tok Rayat tercegat seorang diri tanpa penyokong tanpa pengundi.

Ada juak mencadang agar di tangkap saja ayam Tok Rayat. Ada juak mencadang di panggil geruda melanggar kampong. Ada juak mencadang di tutup sebelah matahari akan kampong gelap gelita. Ada juak mencadang agar Tok Bomoh dipanggil memberi fatwa. Fatwa disebar menyabong ayam lemahkan tenaga batin. Ada juak yang mencadang agar ribut taufan diturunkan hendaknya takutlah orang kampong turun ke pekan melihat pesta sabung.

Adalah dibelakang semua akal ini ada niat yang busuk lagi terancang agar para juak terus memukul canang. Agar para juak tidak hilang tugas dan kerja. Agar lembu akan rebah. Agar kenduri tidak sudah-sudah. Agar fulus masuk mencurah. Onar ini memaksa Datuk Seri membuka peti besi mengeluar emas dan perak untuk para juak membuat angkara.

Maka sebulat sekepala. Diterimalah akal agar kampong di kosongkan. Diterimalah onar agar pekan dikotorkan. Lalu juak juak dan Tun Bodek memikir jalan terbaik. Jalan tercantik agar Tok Rayat dimalukan. Agar rancangan Tok Rayat hendak menyabung dan mengundi di Bukit Lanjan akan putus di tengah jalan. Telah di dengar dan dirisik tentang ayam sabung Tok Rayat telah sedia di carik untuk bertempur menyabung balik.

Maka juak cawangan pun bersuaralah. Adalah mengikut yang empunya ceritera maka sebulat suaralah para juak dan di persetujui Tun Bodek agar semua orang orang kampong akan di ajak pergi bercempera bersama gundek gundek Siam di hari menyabong. Maka di harap harapkan akan kosong seluruh kampong. Maka di harap-harapkan tidak seorang pun datang menyokong.

Adalah menjadi niat dan rancang agar emas dan perak akan di datangi secepat mungkin untuk menempah gajah dan kuda. Menjadilah tugas Tun Bodek untuk menyampai berita kepada Datuk Seri memastikan fulus akan masuk ke saku juak juak cawangan.

Inilah kerja-kerja juak cawangan mengumpul orang untuk ke Siam. Adalah tugas juak juak jika sepuluh orang dikumpul maka lima puluh yang akan di lapor. Maka Tun Bodek pula akan bergegas melapor seratus orang kampong telah pula dikumpul. Di serambi Datuk Seri Menggeliga angka ditambah lagi sehingga sepuluh ribu ianya menjadi. Maka keluarlah emas dan perak dari peti besi. Mengikut tuan yang empunya ceritera inilah kerjanya juak juak cawangan setiap kali pesta menyabung. Mereka mengumpul fulus membuat duit menabur jasa sebesar kampit.

Lalu disebarkan berita tentang gundek Siam berkopek besar sedang menjadi rebutan sekelian alam. Cerita gundek Siam ini mula menjalar dari mulut ke mulut. Dari rumah ke rumah. Orang kampong berlabon dan bergebang. Cerita makin ditambah. Cerita makin berubah. Kini ceritera mula di dengar tentang kopek gundek Siam yang boleh terbang melayang-layang ke pangkuan setiap abang.

Maka gembiralah jantan dan betina. Ingin melihat gundek Siam bogel tanpa celana. Maka beraturlah dan berbaris orang kampong ingin mendaftar untuk bergajah dan berkuda menyeberang sempadan untuk bercempera. Tiadalah lah seorang pun di kampong yang tidak berbaris. Berasak-asak berpusu pusu. Tidak sabar dan tidak sopan semua ingin dibaris hadapan.

Menurut kesah yang empunya cerita yang tinggal seorang hanyalah Dol Air Batu. Sebatang kara tegak berdiri memikir nasib anak dan bini. Meleleh air mata bersedih hati memendam rasa. Kecewalah hati di pesta menyabung tidak ada orang berkampong. Loceng di bunyi tiada pendengar. Suara bersorak tidak bersambut. Meloceng ke hulu meloceng ke hilir tidak seorang pun datang mendengar semua sedang berbaris untuk menempah ke sempadan.

Maka termenunglah Dol Air Batu membuka akal mencari jalan agar jualannya tidak dialahkan oleh gundek dari Sempadan. Berfikir dan termenung maka cerahlah mukanya. Maka melebarlah senyumnya. Maka loceng pun digoyang tanda hati telah gembira. Telah ditemui jalan selamat yang menjamin rezekinya berlipat ganda.

Esoknya hari menyabung hari mengundi malamnya bekerja keraslah Dol Air Batu hingga ke dini hari. Seorang dirinya memaku dan mengetuk. Bangsal dibuat pentas didiri. Tabir dianyam lantai di atur. Peluh mencurah letih bukan kepalang. Hampir subuh semua selesai. Di padang sawah luas melebar sebuah panggung tegak berdiri. Sepanduk terapasang poster tercacak.

Fajar menyingseng tabuh dipalu. Orang kampung mula berbaris. Menunggu kuda menunggu gajah untuk melintasi ke sempadan. Lidah terjelir air liur meleleh terbayangkan gundek Siam yang empunya kopek.

Tiba-tiba Dol Air Batu mengoyang loceng. Seluruh kampong melihat angkara. Maka terserlah sepanduk besar. Tercacak tinggi poster melintang. Orang kampong datang berpusu pusu ingin melihat nak ambil tahu. Barisan pun pecahlah. Kuda lari bertempiaran. Gajah lari masuk ke hutan.

Orang berpusu datang mendengar. Loceng digoyang semakin membingar. Di atas pentas tecongok berdiri si Minah Ronggeng sedang menari. Inilah tarikan seantero negeri lebih hebat dari semua bidadari. Kopek Siam telah dilupkan pergi. Minah Ronggeng berpunggung besar. Goyang ke kiri goyang ke kanan. Loceng berbunyi orang bertepuk. Joget bermula rebana diketuk. Pesta menyabung telah bermula

Pecahlah berita si Minah Ronggeng. Tun Bodek datang berlari lari. Melihat rancangan berkecai tak terperi. Juak juak yang mendapat fulus mula menghilang diri. Berita pun sampai lah kepada Datuk Seri. Dia pun bergesa melihat orang kampong sakan berjoget dan menari.

Sesampai Datuk Seri di tepi pentas Dol Air Batu pun bersorak sorai. Sambil mengoyangkan locengnaya Dol Air Batu melaungkan ‘ ais skrim baru.. ais krim mangnolia.. ais krim magnolia…air skrim mongolia…’ Maka jatuh pengsanlah Datuk Seri.

Sehingga ceritera ini di surahkan Datuk Seri masih lagi terkapar pengsan. Tiada seorang pun ambil peduli kerana Minah Ronggeng sedang mengoyangkan punggung menari.(TT)

( bebas untuk dirompak jika bersedih hati )



14 ulasan:

najib berkata...

kah...kah...kah...
sunggug mencuit hati...

tq Profesor Isham...

Saudagar Mimpi berkata...

izinkan hamba memotong tampal, mencetak rompak prosa tuan hamba ini.

Keylee Daud berkata...

hahaha..sedap2

aZRoy berkata...

hahaha, good write up saudara~

TheSniper berkata...

Gumbira hati tidak terperi. Pengganti Pak Sako telah dijumpai! Kih Kih Kih! Mantap Bro!

Tanpa Nama berkata...

Kah kah kah ...kopek terbang naik AirAsia kembali ke pangkuan Abang ...Cish BangHisham buat aku teringat kopek bini aku tgh2 kerja begini kah kah kah ...

"Air Asia-EveryKopek Can Fly"

Tanpa Nama berkata...

kah kah kah
ketawa sampai berkecai telor aku...ciss

~coma of souls

Tanpa Nama berkata...

Tokok tambah cerita....

Dulu diceritakan bahawa ada sekumpulan ahli parlimen semua negeri telah dibawa lari ke negeri Taiwan untuk mengelakkan diri dari ditawan oleh Tok Rayat...

Berguni emas dan perak telah diberikan setiap seorang MP untuk mereka berjoli dan belajar menjadi ahli kung fu dalam dewan.

Bila pulang ketanah air, mereka telah mengajar para juak berpangkat Ahli Undangan Negeri Perak cara dan bagaimana berkungfu dengan speaker dalam dewan.

Setelah berguru selama enam bulan maka juak-juak dikalangan ADUN-BN telah berpakat untuk melakukan serangan mengejut dalam dewan. Akibat dari serangan itu wujudlah dua speaker dalam satu dewan.

Maka tersengehlah Datok Seri mendengar khabar kemenangan itu....

fredo berkata...

he....

Fidaiyyin berkata...

"Lidah terjelir air liur meleleh terbayangkan gundek Siam yang empunya kopek."

Ayat yg paling best...huhuhu..melambangkan kerakusan.

Fidaiyyin berkata...

Pak Sham...
takdo pulak ker cerito ala2 PPP pulak?

Gerombolan sibuk merampeh Perak...last2 org dlm gerombolan sendiri yg bergaduh tuduh rampeh-merampeh...

Si Pekik A.K.A Si Pekak berkata...

"Lidah terjelir air liur meleleh terbayangkan gundek Siam yang empunya kopek."

Ahhahaa..yep,Prosa ni mmg class!

Minah ronggeng nak masuk AF8 ker, atau da dapat offer berlakon filem 'Rose Chong: Antara Penantian, Pelebongan dan Perlembagaan'.

Tanpa Nama berkata...

wakaka..power gile,bro isham wa copy untk kwn2..k

Kucing Parsi berkata...

ni bila baca dari mula kelakar sangat, kalau 2 baca masih kelakar, macam cerita mr bean, tak pandai boring!!!