Tolak Lantikan, Usah Ganggu Kompas Presiden PAS
Kemenangan besar pasukan yang bersama-sama Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang membuktikan bahawa majoriti perwakilan 'tidak selesa' dengan stail perbezaan pandangan yang diamalkan PAS selama ini. Jelas lagi bersuluh bahawa majoriti perwakilan mahu kesemua pimpinan memberikan ketaatan sepenuhnya kepada Presiden parti tanpa mengatakan 'tidak' samada dalam hal pentadbiran dalaman mahupun politik.
Dalam kemahuan yang begitu kuat ke arah itu, pasukan yang kalah seharusnya faham bahawa telah tiba masanya untuk PAS mempunyai sebuah pasukan pimpinan yang solid di belakang Presiden. Lihat sahaja senarai panjang nama-nama yang menang. Tidak hanya mempunyai daya intelektual yang tinggi, ketokohan mereka diakui oleh masyarakat berbilang kaum di negara ini. Ustaz Mokhtar Senik sebagai contoh. Seorang agamawan yang sering memberikan ulasan-ulasan bernas tentang hal ehwal perdagangan, ekonomi dan polisi-polisi negara di laman facebook beliau. Tokoh sebegini sememangnya tepat dan layak untuk dikedepankan PAS dalam usaha memenangi Putrajaya.
Tidak termasuk Ustaz Zaharudin Muhammad, seorang pakar ekonomi Islam yang sering menerima pengiktirafan oleh pakar-pakar ekonomi antarabangsa. Bahkan pernah 2 kali dalam forum, Ustaz Zaharudin dipuji secara terbuka oleh sahabat saya, mantan Ketua Ekonomis Bank Islam yang pernah bertugas di Pejabat Menteri Besar Selangor, Saudara Azrul Azwar Ahmad Tajudin berhubung kupasannya yang cukup bijak berkaitan dengan asas-asas ekonomi serta terminologi-terminologi dalam ekonomi.
Kita yakin dan percaya tokoh-tokoh yang menang ini mampu memimpin PAS tanpa keterlibatan pasukan yang kalah serta sering disinonimkan sebagai 'bermasalah'. Pasukan yang kalah ini sebaliknya harus bermuhasabah diri berhubung tindakan-tindakan mereka yang sering berlagak pandai mempersoal langkah politik yang diambil Presiden. Mustahil orang nombor 2 Kesatuan Ulamak Sedunia boleh tersilap dalam hal ehwal percaturan politik, apatah lagi ditipu oleh UMNO.
Sebagai seorang yang berjiwa besar, kita yakin Tuan Guru Presiden akan melantik semula pasukan yang kalah untuk duduk dalam kabinet pimpinan selepas muktamar ini. Namun demikian, kita benar-benar mengharapkan agar pimpinan-pimpinan yang telah kalah ini 'sedar diri' dan tidak menerima pelantikan tersebut. Gesaan ini penting supaya Tuan Guru Presiden tidak lagi diganggu-gugat untuk membuat keputusan-keputusan besar dan penting selepas ini.
Shazni Munir Mohd Ithnin
Perwakilan / Timbalan Yang Dipertua
PAS Kawasan Sekijang
---------------