Rabu, 2 September 2026

BUNUH MUSUH POLITIK


HADI PUN TAHU

KEMPEN RASUAH

MAT BURUT 

HANYA UNTUK

BUNUH MUSUH

POLITIK

KHALAS


Hadi Dakwa Perang Rasuah Kerajaan Gagal, Penguatkuasaan Pilih Kasih


KUALA LUMPUR | 2 Sep 26 – Presiden PAS,  Abdul Hadi Awang mendakwa usaha kerajaan memerangi rasuah masih gagal kerana penguatkuasaan didakwa tidak dilaksanakan secara menyeluruh dan berlaku pilih kasih terhadap pihak tertentu.

Dalam tulisan terbaharunya, Minda Presiden PAS bertajuk “Penyelesaian Yang Gagal”, Abdul Hadi berkata slogan tatakelola dan perang terhadap rasuah yang dilaungkan kerajaan tidak memadai sekiranya tindakan hanya dikenakan terhadap pihak tertentu.

Beliau mendakwa terdapat keadaan di mana “lawan tertentu” diambil tindakan, manakala pihak yang dianggap sebagai kawan atau mereka yang menyerah pula diselamatkan.

Lebih serius, Abdul Hadi mendakwa individu atau pihak yang menjadi penyumbang kepada amalan rasuah pula berada dalam kedudukan yang paling selamat.

“Gejala rasuah yang diisytiharkan sebagai perang besar juga turut gagal diatasi, jauh sekali untuk menghapuskannya,” katanya.

Menurut beliau, pendekatan sedemikian bercanggah dengan prinsip keadilan yang dituntut Islam, khususnya kewajipan berlaku adil tanpa membezakan kedudukan, hubungan atau kepentingan pihak yang terlibat.

Abdul Hadi turut mempersoalkan pendekatan kerajaan dalam menangani masalah negara yang menurutnya terlalu bergantung kepada penyelesaian bersifat material, sedangkan aspek ilmu, akhlak dan moral tidak diberikan penekanan sewajarnya.

Beliau berhujah bahawa masalah rasuah tidak boleh diselesaikan hanya melalui peruntukan atau tindakan pentadbiran, sebaliknya memerlukan perubahan terhadap nilai dan akhlak manusia yang menguruskan negara.

Dalam pada itu, Abdul Hadi turut mengaitkan amalan politik dan ekonomi berorientasikan kebendaan dengan perkembangan rasuah, khususnya apabila kekayaan dan kepentingan tertentu mempengaruhi proses pemilihan pemimpin serta pentadbiran negara.

Katanya, keadaan itu akhirnya boleh menyebabkan kekayaan negara hanya berlegar dalam kalangan kelompok tertentu, manakala rakyat umum menanggung beban akibat kebocoran hasil negara dan salah laku.

Abdul Hadi kemudian mengetengahkan pendekatan Islam yang menurutnya menuntut pemimpin menggabungkan ilmu, akhlak, keadilan dan amanah dalam pentadbiran.

Beliau turut menegaskan kewajipan melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar sebagai sebahagian daripada usaha melakukan perubahan dalam masyarakat.

Tulisan tersebut merupakan antara kritikan terbaru Abdul Hadi terhadap pendekatan kerajaan dalam menguruskan isu pentadbiran, rasuah dan pembangunan negara, dengan beliau menegaskan bahawa penyelesaian yang bersifat material semata-mata tidak mampu menyelesaikan masalah secara menyeluruh. @politiko.my



Tiada ulasan: